Khamis, 26 September 2013

Monday, August 07, 2006

        Cemar Hati Oleh Rasukan Janji

Mahkamah di hati tidak ditara timbang oleh saksama adil bila gemar berilusi dan berimaginasi.

Mahkamah di hati kamarnya berpandu cenderung mengikut di mana letak emosi.

Sinis bertukar, perli berganti dan benci silih mengeji kerana janji.

Sesaat kemudian bila tenteram ia bertukar ria mencetu gembira bergema sebuana selang silih kerana kasih.

Dek kerana itu mahkamah hati perlu simbahan kilauan iman.

Di mana dan apa sahaja yang dilakukan niatnya adalah untuk pengabdian bukan lakonan bersandiwara masa, menatar gema berkumandang irama merentak aksi dan tari.


Beribadah untuk meningkat sejahtera sahih yakin pada pegangan lantas tidak akan ada satu jua pun yang berlaku tanpa berencana dari Allah...guna bagi menterjemah kelemahan manusia.


Apakah yang mengaktifkan manusia untuk berfungsi sebagai insan?

Adakah ia umpama bersiar-siar tanpa perancangan sehingga lama tempuh di jalan, kenderaan tersadai di tengah jalan?

Destinasi ke utara alih-alih tibanya di timur...kaedah ilmu ghaib  lagaknya.


Tidak mungkin ia ibarat pengalaman saya dahulu satu ketika masih remaja tatkala sedang menyapu di beranda, tiba-tiba masuk sepasang suami isteri.

Kami saling memberi salam dan menjawab salam lantas bersalaman. 

Pasangan itu kemudiannya duduk tanpa dipersilakan.

Menanggung segan saya menjenguk emak di dapur ... bersama emak kami berbual, bertukar cerita bertanya perihal.

"Aduh!" tersengih pakcik dan makcik memohon maaf sambil memohon berkali-kali mengujar, "kami tersalah rumah, ini bukan rumah sepupu yang dicari."

Bila mengenangnya sering saya tersenyum sendirian.

Tersilap rumah untuk menziarah saudara, rumah kami diterpa.

Namun bila silap dan kesalahan diakui sehingga dapat ditangani dengan beretika, berakhlak dan berbudaya dengan adab, tidak akan ada siapa pun mengumpatkan bicara.


Lantaran itu pentingnya adil menjadi pakaian setiap insan yang berperadaban ditambah lagi jika ia insan mulia berdarah panglima berindera singgah di mana-mana kerana memiliki kerusi kuasa.

Dinamakan zalim tatkala menjatuhkan hukum pada yang tidak berdosa hingga meragut jiwa membuat derita sesama manusia bila mana tidak bisa berhukum dengan adil.