Sabtu, 1 November 2014

Pimpin Memimpin Agar Terpimpin

                                     

Kendiri Bentala Tunjangnya Akar Akidah 

 ( 4/September/2006)



Dua hari yang lalu anak yang sulung dan teman-temannya meluahkan rasa hati. 
Kekeliruan terhadap cara penyampaian salah seorang guru hingga mereka tidak dapat menerima kekurangan itu. Sedangkan guru itu miliki ijazah kedoktoran. 

Semakin jauh saya biarkan luahan hati-hati itu dizahirkan, semakin jelas duduk perkara sebenarnya.

Gambar milik AhmadMuttaqin bin Harith -

Kesimpulannya sebagai bakal calon untuk menduduki peperiksaan bulan September nanti, mereka khuatir tentang bagaimana Pengetua meletakkan tanggungjawab guru-guru yang seharusnya berkelayakan mengajar kelas mereka. 
Namun akhirnya apa yang dapat difahami adalah anak-anak ini berhadapan dengan masalah bahasa. Dialek kenegeraan yang tebal menjadikan ucap kata guru yang menggunakan bahasa inggeris tidak dapat difahami oleh mereka. 

" Masalah kecil sahaja, kami akan menulis surat kepada Pengetua." 
Mereka membuat keputusan.

Hal-hal anak-anak sering memaksa saya seperti biasa berfikif dan berbicara sendirian. 

Mereka adalah pemimpin yang memimpin diri sendiri.

Ujaran-ujaran mengistilah pemimpin wujud dalam berbagai sebutan.

Pada saya, pemimpin adalah orang yang berkuasa terhadap dirinya sendiri tanpa pengaruh tanpa kawalan untuk diletakkan di bawah pengaruh sesiapa. Tetapi pemimpin yang berkualiti mesti berdiri imej selari dengan peribadi. Ketrampillan semata-mata menggaya wibawa bukanlah bukti lengkap untuk dinilai jaya gagal sesuatu kepimpinan.

Pemimpin yang memperkemas rapikan spritual yakni rohani yang dibina oleh akidah  bagi membentuk akhlak akan berjaya melakukan perubahan. 

Syaksiahnya berupaya menarik sokongan dan meransang kekuatan. 
Dia juga berinspirasi yang sentiasa memanafaatkan setiap hubungan. 

Peka bahawa manusia saling memerlukan tanpa ada dorongan untuk saling menguasai menyelia kuasa. 

Pemimpin yang bijak menyedari tidak semua keinginan dapat dicapai jika dia sentiasa bersikap menyendiri dan berkecuali. Sewajarnya dia membuktikan sikap berdikari yang menambah yakin teguh kepercayaan rakyat terhadap dasar dan gagasan yang mahu dibawanya. 

Berinteraksi aktif menjalin hubungan dengan sangkaan-sangkaan baik bukan beragenda mengeruh harmoni.

Kekuatan dan keyakinan yang dipegang mampu diterjemahkan dalam perbuatan. Pemimpin baik dan adil melahirkan saf pemimpin bukan sekadar pengikut. 

Melahirkan teknokrat yang diberi peluang dan kesempatan dengan adil untuk sering bermuafakat.

Pemimpin dihargai apabila budaya dan akar budi bangsanya berupaya dijadikan neraca untuk menilai beza antara manusia.

Agama tidak dapat diabaikan bagi membantu meneladani kepimpinan para Kekasih Allah khususnya Rasulullah sallallah hu alaihiwassalam yang berjaya menatijjahkan makna kepimpinan dengan terbinanya Kota Mukminin di Madinah.

Sejarah agama dijadikan asas membina budaya sesebuah negara adalah antara kekuatan membina negara.

Sebagai seorang muslim gambaran seorang pemimpin adalah menurut ukur jati diri Rasul Kekasih Allah sallallah hu alaihiwassalam . Diplomasi baginda sallallah hu alaihiwassalam menyemai benih kasih sayang yang menyantun akal dan hati.
Kuasa baginda rasulullah sallallah hu alahiwassalam  bukan megah pada tawaran, hadiah juga harta, tidak juga rasa senang pada pujian melainkan amanah tanggung jawab sebagai kewajipan yang diminta persaksiannya oleh Allah Ta'ala.

Budi dan pekerti baginda sallallah hu alaihiwassalam menyingkir keras tindakan dan keputusan  tanpa akhlak.

" Dan sesungguhnya engkau ( Muhammad sallallah hu alaihiwassalam ) berada di atas budi pekerti yang tinggi. "