Sabtu, 22 November 2014

Soal Tanya Selidik (Mengapa DiKhususkan Warna Yang Hanya Menzahirkan Diskriminasi?)

Wednesday, September 13, 2006


Apakah lumrah setiap lorong yang dilewati mesti ditinggalkan jejak sebagai bukti kita pernah berada di situ?

Lumrah jugakah begitu banyak sejarah penindasan hanya satu jenis diskriminasi sahaja yang diperhitungkan?

Bersangka baikkah kita tatkala memandang dengan curiga?

Jujurkah bicara bila hati kerap bersarang ragu pada setia yang telah hilang?

Perlukah tanda bagi setiap kenangan?

Mampukah hati yang bersuara sedang bibir ulasnya tiada membalas kata, memandang juga tidak bisa?

Relakah terus rasa derita sedang sering mimpi mahu bahagia?

Terbalaskah budi dengan sentiasa mendamba dipuji dan rindu dipuja?

Muliakah diri oleh beza pendirian menolak kemanusiaan?

Bahagiakah jiwa oleh noda dan cela kerana jelas ada yang binasa sengsara dan merana derita tatkala sesungguhnya Allah Subhanahu Wata'ala mencintai orang-orang yang adil dalam berbuat kebaikan?

Tidak Semua Miliki Tuah

Sunday, September 10, 2006


Ada ketika manusia dengan sifat celanya kerap melakukan perkara anih dan pelik akibat bersalah faham dan silap menterjemah.


Rasa pelik memberi makna hati celik. 



Lebih molek bila minda beransur-ansur mampu membina daya intelek. 



Usah gusar pada makna kata intelek. Ia bukan milik sesuatu golongan sahaja apabila istilah intelek dikenal pasti adalah proses membina kefahaman dan menganalisa samada secara sistematik atau berkala ikut masa dan keperluan.

Proses itu disertai oleh celik akal dan budi... sifatnya jernih rohani.

Apabila usang dek lapuk mamah oleh zaman mudah terlerai apa yang selama ini difahami.

Wajarkah ini berlaku?

Lantas mengertilah diri terhadap perjuangan yang bagaimanakah tidak saling mencari silap dan salah?

Berkhilafkah kita di atas segala kesakitan dan kelukaan hanya lemah, disebelah bahu sahaja direbahkan?

Penerokaan hati tidak pantaskah seiring dengan penerokaan ekonomi?

 Bagaimanakah krisis-krisis tercipta? 

Tepatkah jika di ujar angin air, api dan tanah adalah tenaga yang turut dicatur untuk kuasa?
Siapakah pemilik sumber kuasa ini jika hanya juara diundang menjadi juara sedang sahaya sekadar berimaginasi apa yang ada di mata?

Kelemahan yang tidak sukar ditafsir adalah kerugian yang terhasil bila wujud sikap dingin dalam hubungan. Berkira-kira tagih kecekapan mengurus masa menyalur yakin dengan gabungan erat tingkat persefahaman. Sedangkan akrab karib yang meruntuh pesat jaya matlamat idea menolak sangka, adalah dengan kreatif mengambil peluang membina dagang. Bukan dagang yang merempat menagih simpati tetapi dagang yang diusahakan dengan jihad, bukan jihad guna senjata tapi jihad dengan usaha melonjak semangat berjuang menolak rela terus-terusan dijadikan 'radas percubaan' berbagai ekspedisi eksperimen yang mengeksploitasi ekonomi yang berkepentingan.
Sedang waris ditinggal tanpa nikmat didik yang cemerlang.

Jaya berdikari tatkala sedia mengambil peluang mengketengahkan kemahuan dan keinginan. 

Lantas kita akan berani dengan tolak ansur yang tinggi terhadap ekspresi juara yang sebenarnya tidak perlu harus kerap diterima sebagai komitmen yang ditunaikan hajatnya.

Cabaran terhadap perlunya perkongsian secara adil diibaratkan taburan benih di tanah subur... biar kita yang menanam tetapi mungkin bukan kita yang memetiknya. Namun hasilnya bertukar milik dirasa dari bibir ke bibir...

Barakah usaha oleh tangan petani.

Soalnya mengapa tiada selaras makna bagi yang menanam dengan yang mengatur selia di pasar terbuka?

Petanikah juga yang tidak miliki tuah tatkala penternak pula bagaikan sering bertuah.

Makanan di tangan muslim adalah barakah bila harganya murah kerana telah dianjurkan agar menuruti jejak para rasul yang diajar supaya memakan makanan yang baik-baik, dan mengerjakan kebajikan.

Sekatan Sudut Mindaku

Saturday, September 09, 2006


Dalam melayani mata yang lesu minta terlena, tanpa sedar tangan mencapai 'remote control'. 



Berhadapan dengan lebih seratus saluran edar dari pancar gelombang (channel di televisyen negara teluk sangat banyak ketika itu yang disiarkan secara percuma) seperti biasa perlukan rasional memillih saluran.

Adegan pertarungan menyunting segar kelopak mata. 
Sengit beradu menghayun bilah pedang menzahir imej rupa timur yang mengkagetkan. (Ketika itu penggunaan kereta kebal, letupan oleh bom dan senjata api antara Lebanon dan Israel menjadi slot rangkaian berita.)
Peperangan klasik tentera di bawah dinasti Tang hanya itu yang diingati apabila tajuknya tidak terimbas oleh hati. 

Minda bertaakul mengamati dalam stuasi mencengkam diri, panglima berani menegak hormat diri berpaling dari sengketa (menghentikan serangan). 
Taajub dengan perubahan panglima, kesatria yakni tentera panglima itu mula mencongak terkedu apakah sandiwara yang dipamerkan atau kemenangan oleh kawalan agenda yang seakan-akan merugikan pihak yang berotoriti.

Panglima dibantah kerana kesatria melihat penegahan mereka bersua pihak atasan sebagai bukti tiada pengiktirafan akan perjuangan mereka selama ini.

Panglima mencorak info mengurusnya dengan memo menyembunyi kritikal mencelah diplomasi kerana ada yang tidak mahu dikongsi. 
Panglima itu juga dilihat seolah-olah mendapat sokongan melalui pujukan untuk mengelak sanggahan dengan berjabat sebelah tangan.

Cerita terhenti di situ kerana waktu maghrib telah mengumandangkan azan.

Tanpa disangka saluran berikutnya menyiarkan filem yang sama, kami menyambung tontonan sambil menyemak tugasan kerja, anak-anak berumus wira-wira bangsa cina amat perkasa bermain senjata biar pun hanya berlakon.

Waktu ini terbayang wajah Mr. Jackie Chan.

Strategi, mahu sahaja saya berujar biar rumit tentu yang ikhlas jujur tidak akan disia-sia. 

Janji, juga usah bermetos sumpah jika tidak mampu setia.

Kekuatan komitmen panglima berkualiti bila misi utamanya adalah menunai janji terhadap pendeta muda yang spiritualnya membawa kebenaran damai hingga terkorban oleh dendam Sang Penguasa yang bertindak kejam lantaran tidak dapat bernikah dengan anak dara panglima musuhnya.

Gerak tari hayunan pedang, larian kuda tangkas selang lewat oleh unta yang pergerakannya terhad, amat mengashikkan seni tinggi bermutu asli filem yang kami tonton itu.
Seperti biasa filem yang tinggi ehsan insannya menyulamkan hukum yang keras adabnya, tetap dibalas dengan setimpal.

Sentuhan spiritual adalah hukum akan hanya terlaksana sesudah pasti wujud kezaliman dan kekerasan dilakukan.

 Akhirnya apakah ada alasan untuk memaafkan atau bertindak untuk membalas dendam?

Sesekali menonton filem aksi epik klasik memang tak diduga amat menghiburkan. 

Namun sungguhnya benar di dalam islam bahawa talqin itu adalah pengajaran yang berulang-ulang dan diulang-ulangkan secara lisan kerana melaluinya banyak pembetulan dan pembaik pulihan dilakukan dalam membimbing dan mengasuh kesan dari kelemahan yang dapat dikesan dari amalan dan trampilan serta pembentukan perwatakan anak-anak.

Inderaloka Si Individualis

Friday, September 08, 2006


Entah sekian mana dalamnya luka itu. 

Nurani beku sumbang mengadun fikir berbelah rasa. 
Obor semangat dinyalakan bila pudar malap suram oleh khianat diri. 
Bertentang parah paksi menarah retak membelah dua pendirian minta beraksi. 
Ragam denyut nadi sudah mula menggegar irama.Bermulanya dari selaut warisan khazanah moyang.

Hampa hati mukimnya resah menggamit gelisah. Benar, tidak semua fikiran jiwanya jernih bermadu sesangkar bertahan semusim dua.

"Masihkah bermenung durja wahai Serindi? Lebat rimbunan dedaup tidak mampu menyembunyikan tubuhmu yang hijau itu."

"Usah meletak harga pada warna Tempua, damai kicauku tidak sandar pada rasa dari prasangka, kicauku hayati berasas implikasi...
imbas dari imbauan imejnya sekujur arca."

"Maksudmu ... patung ... boneka ... atau bayang-bayang yang menjelma ikut putar edar waktu? ..."

" Pengarca seumpama Arjuna, ukur pahatnya menekun tanpa lesu jenuh bergantian masa musim bergilir, tetap setia memahat. Namun implikasinya arca tetap hanya fungsi hiasan."

"Lantas apa silapnya hiasan... indah laman oleh ukiran.
Tidakkah abstrak pilihan tajam pengimaginasi..."


"Di sebalik arca seperti terlihat kurungan sesangkar berbilah buluh yang menyula hiris jiwa yang rapuh..."


" Imaginasi juga bukankah menciri jitu erat mendakap akal. Kini logik mengadili massa...teknik kaedah paparnya jaya..."


" Akal sahaja minda mudah tersadung, terdorong cenderung untuk rebah rombak jika tanpa jalur aras sukat, waris apakah buat tinggalan pusaka generasi... minda segerak dengan proses pindahan roh mencari damai dengan makna hakiki. Dan Tempua, meski kita hanya burung kecil, kita tunduk pada  Al-Khalik. Menyinggah di benak hati, " janganlah sampai kerana kebencianmu terhadap sesuatu kaum, menyebabkan
kamu tidak dapat berlaku adil."


" Benar Serindit kerana kerdilnya kita mudah dirempuh tatkala berseliseh sayap biar hanya dengan itik nila, apatah lagi cenderawasih helang atau kasawari."

" Usah merendah tidak pada tempatnya Tempua.Kita hanya membatas sikap kerana kecenderungan fitrah bersederhana pada setiap tindak dan kata. Siapapun kita sorotlah seketika hiba di dada bonda... tatkala bergelimpangan terbujur sekujur jasad... tanya suara bisik terjah ... tanpa menilik apa seragamnya... apa rupa warnanya... tiadakah kedengaran hiba tangis sedu sedan... tatkala perginya dilambai sayu ... pulangnya melara rindu bila wajah tidak lagi ditemu... hanya kerana segagas dasar memenuh kertas... bila muafakat rapi tertutup tak terbolos oleh sinar bersefahaman merangka damai."

Cacat cela milik manusia. 

Tilik Menilik Siapa Pemilik

Thursday, September 07, 2006


Blog saya di nurlailamohdali.blogspot.com, dengan tajuk Tilik Menilik Siapa Pemilik diambil sempena catatan di bawah ini yang saya tuliskan kira-kira lapan tahun yang lalu iaitu pada hari Khamis, 7 September 2006. Catatan-catatan di blog Kendiri Bentala Tunjangnya Akar Akidah ini adalah sejarah permulaan di mana saya mula menulis di siber. Ia memiliki seni kreatif penulisan kepada saya.



Tilik sejarah ikhbar disebar.
Hijrah jiwa minda tercabar.
Sengketa suku bangsa damainya pudar.

Puluhan tahun jiwa punah terkorban.
Kasih terkubur oleh gelap penglihatan.
Pada mega imlak bergabungan.

Helah menganugerah lelah.
Sedar bila yang tersirat tanpa hikmah.
Misi tetap diselongkar ummah.

Saduran iman marata lata manusia.
Gusarnya yakin terbenam dengan sia-sia.
Seleweng agama ilmu jahil tersua.

Usah gentar pada liku yang panjang.
Tegak adil saksama dengan bijak dijulang.
Muafakat runding bicara ini yang hilang.

Senjata berbilang berbagai jenama.
Bukti dalam medan kita masih tidak bermaya.
Bila teknologi dan ekonomi kita terhina.

Bukan tak sedar minda diasuh mungkar.
Terjajah dalamnya luka bila diselongkar.
Majoriti masih ria pana dek engkar.

Jadikan demokrasi ibarat senjata.
Diplomasi dengan bijak urus tadbir kuasa.
Supaya makna pilihanraya fahamnya berleluasa.

Individu bersama kreatifkan deria.
Runtuh empayar kerana abai agama.
Dusta cela taat beragama mundur didakwa !

Lalu bukan tidak gelisah malah luka bernanah.
Pada mangsa di mana-mana hancur dimamah.
Oleh tindas zalim diskriminasi berdarah !

Mari bersama luah rasa yang terbit.
Kita benar-benar telah berjaya seperti " Matahari Terbit " ?
Tewas dalam sengketa dunia kini berbilang sejarah tercatit.

Unggul generasi kerana sifat rabbani.
Bergerak seiring qalam dan sunnah nabi.
Indah pendidikan dari imej pekerti.

Setiap dari kita amanah berpesan nasihat.
Luas sebar biar seulas senyum yang terpahat.
Tunjukkan pada yang membenci amalan yang sihat.

Berhak kita jelaskan silap selama ini.
Buktikan maju kita kerana pendidikan tidak sekadar ekonomi.
Mahu duduk sama rendah bila berdiri sama tinggi.

Tertanya-tanya ' merdekakah ' kita?