Jumaat, 6 Februari 2015

'Jajah' Minda Adalah Kuasa Yang Baru

Hujan langit membawa rezeki,
Hamparan luas buat manusia haiwan tumbuhan di bumi,
Tanah air angin api tenaga rezeki untuk dinikmati.

Ragukah pada agihan ekonomi?,
Bila niat insafkan manusiawi,
Sedang globlalisasi rangka berstrategi.

Kini alam minta tunjukkan adil,
Tiada mahu sengsara oleh 'stail ',
Biar gaya sederhana asal tiada bakhil.

Pasaran terbuka tutupkan minda,
Hati diam bibir bisu dari bicara,
Sedang mengerti jujur sifat mulia.

Adab meminta dengan senyum,
Akan luka jika teriak mengaum,
Guna gentar singkir beza prestasi kaum.

Niat ikhlas baiknya manis,
Kuntum segar jiwa khalis,
Bukan agenda berkesan sadis!

Benarkah nasib miliki tuah?,
Jika faedah sekitar pemerintah,
Memutih mata marhaen hatinya lelah.

Jajah minda tanpa senjata,
Bertarung untuk mulia sejahtera,
Ekonomi pemupuk adil saksama.

Liberalisasi seiring globlalisasi,
Elak guna istilah sosial kapitalis malah lestari,
Silang istilah yang rugi waris generasi.

Telekomunikasi penghubung jaya,
Aspirasi dari latih, serang, bina,
Agar tiada beku statis hati dan minda.

Spekulasi urusan berantaian,
Muslihat terkandung oleh berbagai aliran,
Memeras ragut tindih persamaan.

Miskin kaya kasta berdarjat,
Sukar diubah dalam masyarakat,
Agar adil agihan khidmat untuk rakyat.

Dagangan baik luaskan usaha,
Galakkan sikap percaya jiwa dan raga,
Tetap jujur asas yang utama.

Tanah teman erat Pak Tani,
Urus tanaman ternakan untuk anak isteri,
Tulang empat kerat bakti terpuji.

Air sumber semakin kehabisan,
Kreatifkan teknik pertanian perindustrian,
Dengan saluran didik juga bimbingan secara permuafakatan.

Ekonomi sumber insan berkasih sayang,
Syariatnya yang kaya kuat membantu yang miskin berhati walang,
Prinsipnya jelas saling tolong untuk semua bukan seorang.

Didikan ibu sumber kejayaan,
Ekonomi adil lahirkan keinsafan,
Pengguna tidak resah kehampaan.

Qalam Allah ajar insan bersifat ihsan,
Kepentingan ramai yang mesti di dahulukan,
Hitung untung harus semaksimum dalam perniagaan.

Pesan Rasul SAW usah menipu yang memudratkan,
Gambaran hati yang rosak oleh kotoran,
Menghilang kepercayaan sesama insan.

Apa sahaja yang baik di manafaatkan,
Tujuan agar berkasih sayang bukan perpecahan,
Permuafakatan tanpa percakaran dan penindasan. 

Terang Menyuluh Sinar


Wednesday, September 20, 2006


Mitos si Pari-Pari

Menganggap diri bak dewa-dewi,
Hakikatnya hanya seorang abdi.

Hamba mengabdi diri,
Bukan injak mentaliti,
Tetapi abdi pada Ilahi.

Merujuk kasih sepenuh hati,
Anjuran lunak budi pekerti,
Cerna bina dari acuan budi.

Muslim menjulang kasih bersaudara,
Lantaran ia pakaian agama,
Tidak sah memelihara mulia atas sengketa.

Kita mesti seperti dinding terjalin,
Batuannya saling meneguh yang lain,
Roboh kita dirikan tanpa bermain-main.

Teman baik menunjuk jalan,
Bersama mengapai kebahagiaan,
Tidak terhenti tatkala bertemu keperluan.

Muhammad Sallallah hu alaihiwasalam  bukan jelmaan,
Ia insan pillihan,
Barakah buat alam juga insan.

Juang bukan cekap berpedang,
Tetapi marah yang dikekang,
Sabar menjadi akar tunjang.

Gentar diri oleh kata jihad,
Sedang ia usaha bersama tekad,
Bukan berbunuh oleh nekad.

Pelihara diri dengan syukur,
Mahu bahagia hidup makmur,
Derita sengsara bantu dihulur.

Mati manusia meninggal nama,
Sanjung hanya jika berjasa,
Bukan derita oleh tuba.

Hulur bantu usah bersanggah,
Biar jujur tiada maksud bercanggah,
Lantaran keliru amat sukar disanggah!

Tamu kerap mengundang luka,
Sedang derita penawar tiada,
Mundur lantaran tiada maju yang nyata.

Berkat telus hati ikatnya di jiwa,
Bukan tarungan cari isu tajuk bicara,
Tidak juga untuk gelar ekstrim fanatik milik siapa?

Ilmu dicari untuk hasrat bahagiakan dunia,
Damai tanpa didikan kita bersengketa dari patah bicara,
Dasar ilmu cari kebenaran ikat diri dengan Pencipta.

Atas kasih sayang Tuhan,
Air ditabur turun sebagai limpahan,
Buat tenaga bekal untuk warisan.

Ubah dengan rangka cinta,
Bukan dengan sengketa,
Tidak juga berbalas kata. 

Lahirkan Cinta Untuk Dunia


Sunday, September 17, 2006

 

Angin perubahan adalah badai yang melanda di hati yang sering sendiri sepi.

Ingin ku simbah keringat peluh agar tidak terasa lelah oleh minda yang telah bersisa.

Lantaran...

Buana alam singgahsana.
Tertimpa bala ke atas ummat sebangsa.
Lelah oleh sengsara sengketa.
Mudah beradu kuasa sedang usaha silih berganti saat menjelma masa.
Menyelongkar cinta yang telah terbenam minta dijulang sinarnya cahaya.

Obor kasih telah tiada lagi bernyala.
Pada saat amal baik mulia teramat siksa untuk aman dari cela.

Luar biasa ikatan yang mengikat manusia.
Berlainan suku berbilang rupa tetap bersaudara.
Tonggaknya adalah cinta.
Indahnya pada didik bimbing bicara beriman kerana beragama.

Insan memerlu santun tatkala di ajar lunak mesra elak sanggah jiwa meluka.
Jika didik gagal hingga teruja.
Bantu tolong pinta apa yang perlu enakkan suara.

Sesuatu yang hilang pasti ditemu akan tersua.

Istimewa jiwa tatkala kombinasi roh menemani jasad di sisi.
Realiti dan ilusi.

Impian meruang tindakan.
Gerak memberi kesepakatan.
Idea membentuk permuafakatan.

Bertolak dari seulas bibir.
Seungkap kata melontar bicara.

"Biasakanlah lidahmu oleh perkataan yang benar penuh redha."

Di hati berbekas segala rasa namun cantumnya tetap mencari adil dan saksama. 

Variasi Warnawarta

Tafakur lalu renung ke dalam hati hujjah kepada diri. 
Bicara bersama jiwa ungkap tafsir bual yang tersirat penuh makna. 

Interpretasi terhadap kewujudan ciri untuk berintervensi memperlihatkan keintiman antara intikad dengan intimidasi sedangkan intisari bersesak nafas oleh intonasi satu introspeksi!

"Hamba tidak faham, mengapa perlu helah kata untuk bukti makna?"

" Pungutan, undian, persepakatan yang hamba dengari sekali gus mengisyaratkan penafian terhadap demokrasi."

 "Kita tidak bernegara duhai Tempua, namun atas rahmah kasih Ilahi, angkasa terbentang luas buat kita bebas berterbangan, pohon yang ditanam ranting dahannya kita jadikan sarang. Bebas kita biar kerdil tetap hayati berdirinya sebuah daulah yang berdaulat adalah lahir dari aspirasi memahami makna bebas tanpa membatas diri untuk bersikap berkecuali apatah lagi untuk menguasai."

"Lantas lalu apakah makna ujarmu wahai Serindit? "

"Dengan lidah kata-kata tidak terbatas, dengan hati dan jiwa tiada satu apa pun yang layak disembunyikan, jiwa tanpa raga ... musnah cinta... cinta atas nafsu... manusia terkedu kaku... Akal sahaja... jejaskan upaya melepasi sempadan... qalbu sahaja... singgahsananya, benar jujur bersatu letaknya culas khianah oleh amarah yang sesekali berbaur lawwamah jauh dari mulhamah apatah lagi muthmaimnah yang jauh dari radhiah."

"Hamba masih tidak dapat menafsirnya, Serindit."

"Aduh Tempua, senyum mahu hamba kuntumkan buatmu... sebegini kerap lontaran bicara, tuan hamba masih mahu penjelasan kata. Tiada tajamkah gelombang frekuensimu?"

"Tuan hamba bermadah pujangga atau berseloka... ini bukan kicauan biasa burung sebangsa kita... nanti bimbang selidik berumbi kaji tilik, kita dipagari oleh jerajak besi."

"Makna kata hamba, kita tidak boleh menolak hakikat demokrasi memiliki dasar dan intipati yang menzahirkan rupa bentuk sebuah realiti."

"Ilmiah akademik mahu disanggahikah Serindit?"

"Ujar hamba ujaran akidah... yang menyakini kita bebas untuk memilih siapa yang akan mewakili kita."

"Sistem apa yang mahu kita istilahkan jika pilihan kita pada yang tidak seleweng, yang tidak didasari oleh mahligai megah harta melimpah ruah sedang harga dan hormat diri telah tercerai oleh palsu sumpah dan janji, adab dan etika urus kerja tadbir negeri tatkala dipersoalkan... bagaimana untung mahu dikongsi, kita terusir dari bumi tempat dilahir, kita tersiksa oleh derita hanya kerana ingin menjadi mulia.
Udara di Darfur bukti dari imej yang telah tercalar oleh makna hakiki sebuah diplomasi... berabad mata kita menjadi saksi..."

"Apakah islamisasimu akan mengisolirkan dirimu dari massa?"

"Itu buah fikir yang tidak berlandas kebenaran! Seimbang yang sederhana inti pada akar syariatku, tetap kita menolak kebebasan peribadi yang keterlaluan seperti berbilang jenis bentuk pasaran... ditara antara sistem yang meminggir sedia berkorban demi belas simpati untuk berkasih sayang."

"Atau sengajakah tuan hamba tidak melihat makna pungutan suara, hak penguasa ke atas majoriti yang melahirkan minoriti yang kekal ditawar bisanya, media dan lidah bicara ilmuan yang tekun bertaakul sepi dari sejahtera rohani lalu yang muda tidak didengari yang dewasa menuntut dihargai. Perlu jelas penguasa untuk rakyat dan rakyat untuk penguasa tanpa memberi ruang untuk hak Pencipta ... kita yang akan berdosa.
Kita tidak mampu terus-terusan menjadi halimunan di sisi Allah ! Sikap kita adalah jelas dunia adalah jembatan ke akhirat... apa yangdisemai itulah yang akan dituai. Kita menuruti dunia untuk menentukan amal."

"Seolahnya tuan hamba akan terus berujar bersendirian selama-lamanya... dek kicauan burung yang tiada siapa dapat mendengarnya... apatah lagi untuk memahaminya."

" Apa salahnya hamba berolahraga bertarung akal dengan jiwa... yang berpeluh lesunya minda.Apa yang pasti qalbu obor mutiara tetap bercahaya."

Dialog bicaranya di ulas bibir menepati janji bukan sekadar untuk berdiplomasi tetapi adilnya terpinggir sepi. 

Jiwa Yang Menjejak Minda Menjadi Sebak Bila Nafas Menjadi Sesak

Bagaimanakah caranya untuk mendapatkan modal bagi meransang kasih sayang di dalam jiwa kanak-kanak?

Imbasan soalan seorang penceramah yang masih diingati ketika menghadiri kursus berkaitan emosi kanak-kanak.

Guru dan pelajar mengajar untuk belajar supaya menjadi terpelajar. 

Ragam ayat mempengaruhi emosi kerana disebut dalam minda tenang mesra untuk lahirkan rasa enak dan girang.

Harmoni adalah keseimbangan minda dan hati. Sukar untuk mewujudkannya jika guru selaku pendukong utama tidak bersedia berfikiran terbuka bertolak ansur untuk mengubah sikap semasanya.

Kanak-kanak syaksiahnya berbeza... ia menjanjikan risiko... iaitu jika tiada minat yang tinggi, guru secara tidak disedari berupaya menyalurkan bijak yang kurang hikmah... misalnya letih guru jika terzahir, bosan jemu anak-anak terungkap dalam laku yang agresif. Bila agresif ia membawa kepada perlaksanaan menghukum yang menerbitkan dendam. 

Guru sering terlupa anak-anak memerhati untuk mengamati.

Lantaran itu merealisasikan cenderung minat untuk mengasihi dengan jujur pasti akan menyalurkan cabaran minda untuk berinteraksinya antara akal dan hati... agar segar harmoni berkomunikasi. 


Tanpa komunikasi hubungan hanya sehala biarpun ada perantara!
Tidak dinamakan komunikasi jika ianya hanya sehala sahaja.


Guru wajar menyebar kasih dengan tabah dan sabar agar lahir nilai mulia untuk dicetak ulang oleh jiwa anak-anak didiknya. 


Mulianya guru kerana sentiasa bersedekah ilmu dan bimbingan.

" Setiap seruas tulang dari seluruh manusia itu harus memberikan sedekahnya pada setiap hari yang menerbitkan fajar. 


"Mendamaikan dengan cara yang adil di antara dua orang adalah sedekah, membantu saudaranya dengan mengangkat beban barangannya adalah sedekah, ucapan yang baik adalah sedekah, setiap langkah untuk solat adalah sedekah, menghilangkan perkara yang menghalang di jalan juga sedekah." 

Pembaharuan Atau Perubahan

Saya tidak boleh mengelak dari tarikan untuk memikirkan perkataan gubra. 

Ditilik dalam kamus cuma ada makna gu iaitu bermaksud balak di tengkuk lembu, kumpulan atau segolongan dan cik (panggilan untuk guru).

Jika kita bukan pelakon maka kita tidak wajar mempersoalkan apa pun isu berkaitan dengannya, minda tiba-tiba terimbas sebuah cerita melayu yang berjudul 'Gubra'.

Terimbas Ibnu Rusydi ( Averrus ) yang unggul dalam isu terhadap "fahaman" yang mengakui hanya yang "berhak" sahaja boleh menafsirkan hingga didakwa anti kebenaran. 

Apakah yang "menyampaikan" itu terlebih benarnya?...

Di Itali rasanya mukimnya Averrus, di benua Eropah (sudilah kiranya yang membaca membetulkan saya).


Sebenarnya saya suka dengan minda pengarah Gubra. Ideanya kreatif mengadun antara rasa dan fikir.

Ada surat yang ternukil. Ilham cipta dari gerak minda. Penonton yang menghayati akan merasa sesuatu di hati. Maknanya karya seninya dihayati samada mahu dicari benar atau salah. Kita akan jujur bila mengujarkannya. Ini juga dikira nilai baik yang dibawakan oleh fillem itu (saya hanya melihat filem Sepet namun menutup babak pada aksi pelakon 'suami isteri' yang berlakon mesra), saya tidak melihat Gubra tetapi tajuknya sesuai dengan isu yang merentap tangkai hati saya.


Mentaliti terbina dari ilmu andai tanpa mengangkat iman hakiki akan tersadung juga luka biarpun tanpa darah. 

Telah terakur di hati, manusia tidak sama oleh status dan pendidikan, tidak serupa oleh keyakinan dan kepercayaan. Ini membuka medan 'pertarungan' kuasa menguasai atau sedia dipengaruhi.

Kebolehan peribadi untuk meluah cela di depan mata sejak lama oleh 'moden' minda tanpa pedih terasa agama makin disita, seumpama hadiah buat setiap diri yang akur ada ironi yang mesti dihadapi dengan berani.

Seumpama inspirasi yang menginstruksikan dengan paksa terhadap teknik dan idea.
Sedangkan gabungan kedua cara ini membawa pendekatan baru untuk menyaring bukaan minda.

Teknik adalah klasik idea menerap seni untuk dibicarakan.

Kita memerlukan interaksi sebelum memulakan aksi. Bahana yang terjadi ialah sikap kita yang sedar implikasi yang akan merugi diri, kita memilih untuk bersikap mendiamkan diri... aksi bijakkah jika begini sikap yang diambil?

Ramai yang berminat untuk menterjemahkan kasih pada agama mahu agar generasi telus jujur tatkala berhadapan dengan kemelut kehidupan, di manakah kita jika perjuangan terbatas dan perlu mendapat pengesahan penegasan terlebih dahulu... minda tersarang kurung dalam tempurung.

Rasul Kekasih Sallallah hu alaihiwasalam  menyampaikan amanah risalah dengan sikap kasih sayang dengan keindahan nasihat umpama mutiara, kemahuan baginda untuk mendidik membimbing rohani nurani yang menyegarkan jasmani.

Kekasih Allah Sallallah hu alaihiwasalam tidak mengharap ganjaran tiada upah keuntungan untuk apa baginda mengadun olah sengketa jika berdusta.

Untuk menghidupkan manusia biarlah dengan kaedah yang menggunakan manusia juga agar kemuliaan insan manusia terpelihara.

Usah bersengketa minda kerana yang lelah adalah rohani dan jiwa.