Sabtu, 1 Jun 2013

Pesan Emak Usah Tamak






Emak bersama anak-anak saya Hanan, Mustaqim dan Hilman Ogos 2015


Bila mahu memulakan perjalanan,
Emak selalu memberi pesan,
Jika sesat berjalan balik ke pangkal jalan,
Usah malu bertanya nanti diri banyak membuang masa,
Usah terlalu bertegas bila ternyata ada jalan pintas.


Emak... emak... ujar hati kecil saya,
Jalan pintas tak selalunya ku temu,
Matlamat bisakah menghalalkan cara yang beribu?

Dunia yang luas terbentang menimbul seribu persoalan,
Pabila mahu memilih tindakan,
Mana satu yang tepat kewajaran pilihan,
Mengikut persepsi atau menurut-nurut pandangan,
Merelai sangka-sangkaan atau menunduk-nunduk pada andaian...

Kesudahannya saya yang jadi buntu namun tidak sedia diri bertukar dungu,
Pabila membuka semula lipatan sebuah sendu.

Berliku jalan bersimpang selekoh,
Bisa akhirnya bertemu jalan yang satu,
Sudut di hati sekian lama terbina kukuh,
Kepercayaan kita adalah serupa sama kerana asalnya satu.

Usah bohongi hati di dalam,
Iri dan hasad tak membawa kejayaan,
Dendam hanya bisa menyuram seluruh alam,
Sengsara menyepi merana di kuburan.

Yakin yang baik memberi faedah,
Buat seluruh makhluk di dunia,
Akan indah bila sedia bertukar kaedah,
Dari iman menerbitkan amal ia adalah kurnia. 

Keroncong Terkenang-Kenang

 

Serindit menebarkan sayap jauh termanggu-manggu, ke manakah arah mahu dituju, 
ke manakah mahu dilabuhkan sayap ini. 

Ruang udara seakan tidak cukup terbuka keluasannya untuk diredahi seakan perlu ada pengenalan diri untuk memastikan serindit ini benar-benar burung yang kerdil, 
boleh dipaksa hijrah andai sayapnya tidak mampu diangkat lagi?

Apakah telah dilupakan?


 Serindit ini lahirnya di sini di tengah dentuman bersama letusan lahar marah nan berapi. 
Ini angkasa ruang tempat ia menghirup dan melepaskan udara biarpun ada ketikanya udara yang dihidu berbau nitrogen ia tetap hirup bagaikan menghirup secangkir madu sedangkan sebenarnya ia menghirup secawan racun.


Serindit tidak bisa mati oleh apapun kerana biarpun kerdil, serindit miliki jiwa yang suci tak mampu ditebuk hatta oleh sebilah jarum....


Serindit masih berkicau. Kicauannya masih sama sama serupa.



Serindit terfikir mahu berdiam diri sahaja kerana menyedari hakikat bahawa jika mahu berkata-kata biarlah bicaranya yang benar dan baik sahaja.


Bunyian dari lidah bahasanya mudah tidak sesukar bahasa perbuatan. 


Namun bahasa perbuatan lebih menjadikan manusia mudah terpengaruh.


Serindit hijau bersama kerabatnya berfikir-fikir dan terkenang-kenang, benarkah jika terlalu kerap memikir natijjah, lama berkekalan akan memudarkan niat yang benar......



Serindit terbawa-bawa dalam perasaannya, hingga bilakah burung sebangsanya harus memamah masa untuk dijadikan alasan, baru teman sepeguruannya bangau, flamingo, kasawari, cenderawasih malah itik nila menyedari kelayuan dan kelesuan kuakkan sayap serindit dan saudara-saudaranya?


Menyendiri serindit meminggir diri. 


Benarkah kepatuhan itu adalah dengan menurut dan menunduk sahaja?


" Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya.
Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya ( iaitu ) ketika dua orang malaikat mencatat amal perbuatannya. Seorang duduk di kanannya dan yang lainnya duduk di sebelah kirinya.
Tiada satu ucapan pun yang diucapkannya melainkan ada dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir. " 

Ketuk-ketuk Nurani Hati

Wednesday, July 05, 2006

 

Rabu
5/7/06
Aus dan Khazraj,
Bersahabat seperti sedarah sedaging,
Berkasih sayang seperti bercantum hati,
Satu saat pada satu ketika diungkit sejarah lama.

" Masihkah kau ingat ... Perang Ba-ats...? "

Lantas tiba-tiba keras bertegang urat,
Membantah dalam menyelongkar,
Mengganas kata tingkah merubah,
Sesaat yang mesra jadi sengketa.

" Sudahkah kau lupa...? "

Siapa yang ada hasad, awas ! akan menjadi benci,
Siapa yang berkuasa, awas ! akan merana bila tidak adil saksama,
Siapa yang zalim menindas memeras mengganas, awas ! ekonomi sosial budaya akan terhakis.

Usah cemas oleh kata-kata bersandar semata pada otak,
Bila yakin pada jalan yang satu,
Barakah meliputi setiap gerak yang sentiasa menolak,
Apa sahaja yang menghalang biar sekeras kerikil batu.

Jika tidak bercerai berai,
Pasti kekuatan upaya dipupuk,
Mari bersama membina peribadi insan,
Yang menjadi teladan,
Berpulang ke pangkal jalan,
Sebelum merangkak usia ke hujung landasan. 

Terbang Rendah Bukannya Mengalah

Tuesday, July 04, 2006

 

Selasa 
4/7/06


Seekor serindit kerdil berbulu hijau terbang rendah melewati kabus nipis memijar mata, sayunya dari kejauhan terlambak runtuhan-runtuhan bata yang membentuk berbagai petak, perisai-perisai besi tebal yang seakan-akan lesu dipaksa sekian lama meredah menerjah membedil apa sahaja... menurut dengan setia.

Serindit terkejut kiranya panas terik tiada upaya membawa manusia berteduh berlindung buat menyeka nafas seketika...sebelum diiring ke pendidihan jutaan megawatt.

Jauh di sudut hati serindit sentiasa terasa kekerdilan diri bilamana tersua rakan sebangsa...itik nila, bangau flamingo, kasuari juga cenderawasih.....
Namun serindit ini merasa ia telah diberi hak telah dipelihara untuk berada di sini.
Jalannya jalan yang sahih yang didukong oleh hakikat sebuah kemenangan...anih, apakah kerana bulunya hijau serindit di dakwa punya kuasa seekor helang yang sentiasa memburu menerkam dengan gelojoh mangsanya sebelum menjadi santapan....serindit cuma menjejaki kerabatnya yang terus tanpa bicara terpenjara.
Tiadakah hak serindit di angkasa tempat ia mengirai sayap?

Hajat hati ingin pulang begitu keluhan serindit dalam kicauannya. Namun emosinya mengawal sepenuh kemahuan hati itu... sayapmu masih lemah, kuakannya sentiasa terganggu oleh tiupan angin yang menderu, kekerdilanmu serindit akan memaksa dirimu menyinggah di celah rimbun pepohonan kering....
Ada ketikanya kau terjah melawan menyonsang tiupan angin itu, berkali-kali...
Meskipun tertunda terbangmu, kau tetap memastikan kedudukanmu sentiasa berubah dari asalmu berdiri.

Serindit burung kerdil paruhmu tidak mampu mengeryih di saat kau tersasar arah.
Serindit burung kerdil paruhmu juga tidak mampu kau kernyingkan di saat berkali-kali kau bersua permainan yang di perolok-olokkan.
Serindit si burung kerdil dahimu juga tidak mampu berkernyit...
Cuma jantungmu yang berdenyut.
Kernyutnya menikam hati nuranimu.
Sesak dan bersama rebas hujan yang menitik matamu sahaja yang berkaca.

Serindit berbicara sendiri kekerdilanku bukan halangan mengujar alasan.
Cuma bisik serindit aku belum mahu menempuh kenangan lama biarpun ia telah berzaman hilang dari hatiku.
Dan kerana di sini serindit bebas berkicau megah buat cenderawasih yang bermahkota melagukan keroncong refleksi bersegi reformis......... 


Biar Bijak Dalam Bertindak


Teringat dahulu semasa bersekolah, setiap awal tahun akan diadakan pemilihan baru Ahli Jawatan Kuasa ( AJK ) bagi setiap persatuan. 

Waktu itu kerana ramai teman-teman memilih untuk menyertai Persatuan Ekonomi saya juga terpaksa berbuat demikian dengan alasan tidak mahu berjalan bersendirian waktu balik dari sekolah. 

Maknanya saya ketika itu terpaksa memilih menjadi lalang mengikut-ikut sahaja tanpa tujuan atau mungkin juga atas dasar menjaga hati teman-teman.

Biarpun sebelum itu saya sudah terbiasa berpersatuan namun kali ini saya suka memilih untuk menjadi pemerhati sahaja kerana ini sekolah baru dengan persekitaran yang baru dan saya perlukan masa senggang untuk menilai dan memilih-millih.


Apa yang pasti acara pemilihan itu adalah agenda lama yang biasa-biasa sahaja.

Kurang dari setengah jam acara pemilihan pun selesai.


Barisan Ahli Jawatan Kuasa secara tradisionalnya diisi oleh pelajar-pelajar 'senior' dari Tingkatan Enam Atas dan kami yang ketika itu merupakan pelajar Tingkatan Enam Bawah hanya diberikan jawatan setiausaha atau bendahari sahaja.


Tanpa bentangan apa-apa laporan yang di auditkan mesyuarat pemilihan di luluskan sebulat suara.


Begitulah cara berpersatuan pelajar-pelajar tingkatan enam di zaman saya, tiada dorongan atau panduan yang membina semangat bagaimana persatuan mahu ditadbir, ke mana nak disasarkan tumpuan dan perancangan dan apa yang perlu ada bagi memandu arah mencapai matlamat.


Sudah terbiasa diam dikatakan setuju...bangkang nanti menjadi seteru...ikut je paling membantu...
Lagipun ia memudahkan tugas cikgu.



Tidak mengenal hak untuk bersuara apalagi tahu makna pungutan suara, dengan lain kata masa itu kebanyakan kami tidak tahu adanya kebebasan memberi pendapat dan memilih pendapat apabila berhadapan harus memilih satu antara dua. 


Waktu itu majoriti belum lagi menjadi basahan lidah untuk membuktikan mandat sokongan.


Masa ini baru minda berfikir-fikir apakah yang diutamakan di antara kebenaran pendapatkah atau jumlah sokongan yang diambil kira sebagai faktor kejayaan.



Seronok juga mengenang-ngenang peristiwa lama...
Tertanya juga di manakah gerangan kawan-kawan lama... 

Santun Menghias Peribadi

 

Sabtu
1/7/06

 


Memiliki harta bertimbun tinggi tidak sama manisnya memiliki saudara yang selalu memberi tanpa diminta lantaran murni pekertinya.
Memiliki seberkas impian tidak akan menjadi mekar jika tiada jangkauan yang sederap maju selangkah ke hadapan.

Indah bulan di waktu malam,
Kian suram menjelang malam,
Sendirian mencari makna yang dipendam,
Atas hitungan hati-hati yang berang.

Manusia bukan haiwan tidak juga malaikat,
Manhaj Rasul salallah hu alaihiwassallam jelas dalam berinteraksi,
Mengapakah hati-hati yang jauh masih tidak rasa ingin berdekat,
Sedang sudah nyata begitu jelas palsunya aksi-aksi.

Beberapa generasi telah melihat berbagai kedukaan,
Tangisan yang mengubah masyarakat dan keluarga,
Apakah rela terus menebar jaring kelukaan,
Untuk merubah atau meruntuh nilai yang berharga.

Mahukah sengsara lampau terus kekal,
Lantaran banjaran pertingkahan sengketa,
Lupakah akan sentiasa ada pembela cekal,
Asal sahaja sabar jujur berakhlak tidak sekadar kata-kata.

Sudah-sudahlah menindas tanpa silu,
Menekan tanpa rasa bersalah,
Mengaut segala yang mampu hingga menerbit pilu,
Paling tidak meninggalkan bantah berbalah-balah.

Usah seperti ayam beranak itik,
Masa kecil dipelihara bagai mata air,
Bila dewasa bertukar hala mengikut tilik,
Ibu di darat mencari anak di air.

Mari saling santun menyantuni sesama manusia. 

Allah Melihat Kita!

 بسم الله

Saya tidak mahu blog ini dikaitkan dengan mana-mana komuniti  masyarakat pekerja   yang mendiami Zone56 Abu Hamur Maamoura yang  telah dikongsikan secara tidak sah oleh kemudahan akses pelbagai kemudahan dari jalur  fiber optik.



Kediaman sah kami ialah Unit 6 - Beverley Hills Garden 11, Abu Hamur di 

Al-Mamoura kira-kira 20 kilometer dari Doha.


Ini perlu dijelaskan kerana di Qatar ini kedapatan beberapa 'compound' yang beralamatkan Beverley Hills Garden bermula dari Beverley Hills Garden 1, Garden 2, Garden 3 sehinggalah Beverley Hills Garden 12 dan 13 jika saya tidak silap (kerana pernah melihatnya ketika memandu jalan-jalan di sekitar Al Maamoura)



Apabila kekal ketepatan lokasi diabaikan oleh pengesanan dari GPS alat-alat komunikasi serta fiber optik ia upaya menjadi titik kepada penularan fitnah.



"Diwajibkan atas kamu berperang (pada jalan Allah) sekali pun kamu membenci peperangan itu."



Ya, amat meletihkan apabila perlu berperang bersendirian bagi menangkis ketidak tepatan bacaan lokasi menerusi bacaan teleportasi menerusi talian digital yang kini diparahkan oleh penggunaan telefon bimbit yang menghalunisasikan kewujudan sesetengah pihak yang bertindak sebagai pengawal.



Ianya sangat bahaya apabila keluasan persegi yang dijadikan sasar semakin meluas bagi pengintipan menerusi gelombang yang mewujudkan kesan psikologi ke atas kehidupan ummat manusia yang perlu bersiap sedia berdepan dengan realiti ketidakterlihatan para syaitan yang menjadi batalion dajjal malah usaha-usaha untuk melahirkan 'penyelamat atau messiah' yang tidak beriman.


Adalah satu kesalahan jika dibenarkan pihak di luar lingkaran fikrah muslim membenarkan istilah perang sama seperti pendudukan Amerika di Vietnam atau Afghanistan dan Iraq misalnya dan
 seperti pendudukan tentera British di Falkland atau tentera Rusia di Afghanistan.


Pengawalan jarak jauh yang sering tersasar ini sangat tidak adil apabila pihak keselamatan bagi negara tertentu menggunakannya ke atas individu awam yang tidak melakukan kesalahan.



Peperangan ke atas kejahiliahan untuk iman menjadi hala tuju insan berpradigma adalah jihad di zaman moden dekad 21 ini yang sepenuhnya dikuatkan oleh akidah yang menghayati zat Penciptanya tanpa tertakluk kepada sandaran akal semata-mata.




Peperangan ke atas fikiran yang tidak mampu menubuwwahkan wahyu-wahyu Allah ke atas  akal, minda, mental dan intelektual meski pun rohani dan emosi serta jasmaninya waras dan sihat merupakan cabaran yang perlu ditangani oleh generasi muda yang tidak  sepenuhnya memahami makna menjadi muslim setelah menerima islam.