Jumaat, 27 September 2013

Kisah Serindit, Tempua, Tiung, Kasawari Dan Cenderawasih

Gerimis Bukan Menangis

Embargo paksi dermaga amat menguja tatkala ia dicanang sebagai dermaga saluran dagangan yang berwibawa.

Dagangan sarat muatan benih-benih hitam yang menyubur melancar luncur segala jentera... alih-alih ada yang sedia dengan rela mengocak keras ombak lantas basah membanjiri laluan pelabuhan...


"Kali ini tuan hamba berbahasa apa duhai Serindit?"

"Mahu diapakan ombak yang memang menggelombangkan arus sebagai sifatnya ... mudah ditafsir tidak sukar diterjah ... tidak jemu dan tidak puas menghempas di pantai..."


"Hamba sedang memeriksa diri yang laksana berhadapan dengan muslihat tipuan memperdaya. Miripnya juga umpama rayuan pedih dek tertusuk duri bila dipegang, ibarat bunga bila dipandang ... tatkala memohon sesuatu ... sikapnya tiba-tiba bagaikan api ... panas membakar tak bisa dingin biarpun berbekam ketulan ais."


"Ombak bersama dermaga pada hamba umpama rezeki yang perlu dihambat cari jika lewat terasa diri akan rugi ... hamba suka memantas masa tidak mahu berlengah saat ...suka mendengar terikan riang berpekik nyaring ... seperti juara megah terasa."


"Silap jika begitu Tempua...yakinkah Allah pemberi rezeki ... apabila sesuatu telah ditakdirkan buat mu tidak mungkin ia diperuntukkan buat orang lain ... meski rezekimu jauh di dasar lautan ... namun harus pasti bahawa usaha kita penentu kejayaan. Usah rela mendapat dorongan untuk memperolehi kekayaan hanya dengan bersenang-senang ..."


"Dari manakah tuan hamba Serindit, seperti jauh terbangnya?"


"Hamba terpukau oleh laut hijau kebiruan Perthshire ... lelah memang meletihkan namun di sana tenang yang aman dan damai. Hamba suka melihat Tudornya ... hening ... tak pasti pula ada Tulip Lincolnshire atau tidak di situ."


"Tuan hamba sudah mula mesra bermanis sapa dengan hamba, Serindit? Jika awal dahulu tuan hamba agak berprasangka bila berbicara.'


'Barang siapa yang tidak menyayangi nescaya Allah dan manusia tidak akan menyayangi."


"Namun perlu juga dilihat sebab untuk dikasihi... tidak wewenangnya kasih boleh diberi, Tempua."


"Jika tuan hamba seorang tabib, tuan hamba pasti sedar setiap jantung yang berdenyut ada pahala bila ada niat untuk berbuat kebaikan."


"Serupa juga jika tuan hamba suka bermain api pasti satu hari nanti tuan hamba akan terbakar oleh kepanasan bara api itu."


"Tuan hamba mengumbang-ambingkan fikiran hamba, seperti hamba tidak berakal fikir berjiwa tidak berderai."


"Tidak begitu Tempua, bila terlalu pintar berbicara, keberanian dan ketegasan terdampar jauh dari tubuh."


"Banyak hamba ikuti isem itu dan ini ... terasa diri semakin tenggelam oleh kekeliruan juga keraguan. Hamba pasti dan yakin sungguh jika saat ini hamba seorang tabib tidak mungkin bisa dikenal punca derita pesakit-pesakit yang memerlukan rawatan, hamba tidak layak digelar tabib!"


"Tabib tidak hanya sekadar berteori, dia perlu praktikkan apa yang menjadi teorinya. Tidak sekadar menambah wibawa untuk mengubati punca penyakit supaya hilang ... tidak sekadar memberi kebah atau meredakan sakit yang datang bahkan berbuat kebajikan untuk tidak terlalu ditinggikan caj runding bicara setelah mewah menjadi gaya, ubat-ubatan pula menjadi mahal ..."


"Jika tuan hamba benar-benar tabib, mahukah tuan hamba sentiasa berteori setelah diketahui pernah diwujudkan keadaan di mana kawalan terhadap kualiti makanan dijuruskan untuk mengawal pertambahan bilangan penduduk?"


Serindit sudah jenuh lelah untuk melayan pertanyaan yang berungkap berbagai alasan, meski di dalam hati ia percaya kedamaian tetap akan tercapai biar pun ianya menjadi bahan persendaan untuk ditertawakan...asal ada kejujuran dan kemahuan. Jika iannya masih gagal biarlah masa sahaja yang menentukan.


Masa untuk membina kekuatan bermula dengan mengenal kelemahan dan ketidakbolehan khalayak yang didakwa berupaya menangani segala permasalahan bukan dengan memangsakan khalayak yang tidak berdosa yang tidak mengetahui apa-apa yang dirahsiakan.