Memaparkan catatan dengan label Amanah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Amanah. Papar semua catatan

Sabtu, 9 Januari 2016

Regu Yang Ragu

Semangat berkobar menemui pudar, yang keras dibisik usah bertegas, mahu bersaudara di titip bibit ragu berbencian, bebas suara berkongsi kebenaran diunjuk mencabar kejaguhan ... sedang sendu tangis masih kedengaran ... yang merindu masih berhati rawan ... yang bebas ditawan-tawan ... saat keringat peluh merah menumpah dedah cinta pertiwi percikan bola api tumbang jiwa sanggup diredah ... saat-saat begitu sekadar sapaan manis kerana kasih lantaran iman kerana berjiran ...menjadi ungkapan beracun menerbit resah ...
... seolah-olah sunyi hening damai tidak dan bukan lagi irama merdu ...

"Serindit! Kongsikan dengan hamba senyumanmu itu."

"Tempua, senyum hamba senyum yang dipaksa dibuat-buat menunjuk-nunjuk ria!"

"Katakan apa durjanya?"

"Bagaimana mahu hamba bendung sengsara dipaksa-paksa tanpa rela?"

"Adakah bukti dakwaan tuan hamba?"

"Bukti yang hamba sering timbang tara, andai kerap beranggap kata hamba yang yang terlebih segala-gala,bijak tanpa sarjana, saksama mahu membela, bistari bermegah diri, pada masa serupa hebat pantas merembat ...
cenderungkah tingkah hamba laksana diktator?"

"Tuan hamba meremehkan teman seperguruan atau saudara sebangsa?"

"Aaahhhh, tidak pernah terlintas terbit di benak hamba dakwaan tuan hamba, yang wujud tercipta di minda hanya mahu muafakat mencari berkat ... selebihnya hamba musyawarah untuk hati dan diri sahaja."

"Hamba tidak melihat keterlanjuranmu Serindit! Darah muda kita membangunkan jiwa guna untuk memperbaiki rasa ... "

"Tuan hamba sudah pandai bermain kata ya Tempua, amat berbeza di saat dirimu masih di dalam sangkar kurungan.  Sukar gundah gulana ini dipudar ... masih bermain saat mengira masa menjarak niat yang jauh di hasrat dasar ... mahu apa jika mendidik merawat hingga bahagia bernikmat masih tersadung hasrat?"


"Perbaiki kerana perihatin, ubah kerana ingin mengelak musibah ... hamba tidak mahu hidup terus ungkit-mengungkit membangkit menyempit ... sejarah berulang tercipta cetak mengulang tayang ...hubungan dunia mengira kirai untung harta dana sahaja ... bertirai bercekak silat agar seninya seni hulubalang akur pada panglima... kini bersalahan nasib andai berpeluk tubuh sedang batuan bata diroboh melanda kepala ... memelihara mempertahan negara diri juga keluarga sudah di kelas tender hanya khas milik sebangsa ... jika yang lain mencuba diujarkan, 'awas! kamu mencari sengketa.' ... 



Bila demokrasi di junjung atas batu jemala hamba ... terdengar pula herdikan, 'awas kamu ... pandai bermadah kata,binasa!'

"Jalan kita Tempua saling berbeza, hamba kerap temui jalan yang menyingkir bebas semangat untuk sering bermungkir, dinyah usir tuah demokrasi, bimbang hamba tak mampu lagi kendali emosi...seperti itu mahu di cari.' 


'Sedangkan bicara akidah kami demokrasi itu yang paling mudah di fahami jika solat berimamlah dengan yang kamu suka juga redha.."


"Hamba mahu tegas pendirian utuh kemahuan bijak menjadi kebiasaan bukan separa strategi separa kombinasi separa regu membiar ragu, kemudian menjadi pengecut bila janji dituntut untuk amanah diturut, iman tidak dikerah dengan menjadi pak turut, bermusim-musim trend untuk berhiruk pikuk dek sifat anak muda terngadah hanya bila kepala terhantuk...berdegar-degar hati mudah ditawar..."


"Tuan hamba tetap pendirian tidak mahu di cabar? "


"Mencabar hanya jika untuk melumpuh akal rohani di tuntun jalan oleh kompas ekonomi sombong kerana iri memimpin ala diktator, seni tari berhalus oleh diplomasi bahaya polisi kerana meminggir rakyat dinamik mahu berdimensi, berakar akidah sejahtera ummah ...."


"Nanti ... nanti Serindit! Aduh ... idea-idea ini bukan kita sang burung pantas membicarakannya ... "


"Bagi kita dedak, gandum, barli, jagung dan air setabung ... cukup memadai. Begitukah?"


" Tembeluk hamba kecil sahaja ... kita haiwan yang ada rasa, akal tidak menjadi harta kita namun kita dengan manusia tetap serupa ... makhluk kepada Yang Esa ... setiap perbuatan akan di ambi kira! Tiada arang yang menconteng ke muka, kita musafir yang membawa cupak ke negeri orang, kasih yang jauh kita sahutkan sebagi pembangkit andang yang terendam."
 



"Bila berjanji usah dimungkiri, walaupun kita haiwan, kita bukan seperti bangau kasihkan kerbau!"

Jumaat, 30 Oktober 2015

Bila Yang Mudah Disukarkan


2013


Bidalan menggalas kata,
Kata mengungkap makna,
Tersimpul jalinan pada bicara mata,
Menggelandang anika rasa berbagai warna.

Mendekati gapura senak kegegeran,
Meninggalkan denai seekor denak,
Langkah di mara penuh debaran,
Melihat permai indah bicara tanpa jelak.

Kata bicaramu menyinar sinar,
Tanpa perlu tuan puan menggenggam kalamisani,
Kemendur umpama kembangan nilainya jutaan dinar,
Menukil ' fragmen ' gelombang ' frekuensi '.

Tidak ada bermusyawarah melainkan pasti Allah menunjuki langkah kebenarannya.

Setiap zaman ada tokohnya.
Sejarah di lihat dari sudut yang nyata .
Baik buruk natijjahnya adalah untuk kita.
Sebagai catitan butir pada satu kepastian.
Andai baik ia sebagai panduan.
Andai sebaliknya catat sahaja sebagai warisan khazanah.
Samada untuk di hargai atau sekadar nilai bukti.

Buat saudaraku.


Lahirkan cinta buat dunia.


-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------.

Berteman di udara tak kenal rupa,
Yang kenal menjadi tak biasa,
Yang tak kenal pula menjadi biasa,
Mengukur baju di badan sendiri,
Agar tak rasa sesal di hati,
Insan punya harga diri.


Mahu berkenal perlu beracara,
Ukuran adat bimbang tak setara,
Indah budaya santun kaya semarak bewarna,
Selamat berkasih sayang dan membina keluarga.


 Catatan pada hari Jumaat 23/6/2006 

                                                 POSTED BY THANAIF  

Isnin, 28 September 2015

Sedetik Berlalu Sesaat Tak Lupa

Bergantian saat harian berlalu,
Berseliseh zaman menapak waktu,
Seakan-akan mengizinkan rasa untuk mengenang-ngenang
Pada rembulan di awanan.


Pada kesayup-sayupan bebintang di dada awan gemawan,
Pada pantai yang bertemankan pepasir putih yang redup di bawah teduhan hijau pohonan rhu,
Pada merah batuan bukit- bukau yang ditarah ditebuk dipahat robek.


Menghilangkan kicauan unggas,
Mentempiarkan beburung yang tenang berkawan-kawan,
Melontarkan tempawan yang menghias bersinar,
Menegakkan batuanbatu bata pejal yang ribuan dan jutaan di pasaran dengan tanda harga yang tidak mudah di susut nilaikan.


Mengenang pada janji-janji,
Yang bilakah mahu termeterai?
Yang sengaja di sukarkan.


Oleh tingkah kata berlainan rasa berbeza idea,
Mengilham hujjah untuk membela kemahuan yang memudarkan harapan,
Harapan sarat kemustahilan,
Yang sebenarnya punya nilai metia,
Metia yang terluncur dari berbagai rasa,
Hiba rasa sayu yang sendu seorang ibu dan anak,
Berdoa penuh harapan,
Tanggungjawab mendahulukan kemaslahatan,
Kemaslahatan insan untuk ruang mematikan bencana.

Rahmat Kekasih Allah sallallah hu alaihiwassalam jika diintai-intai,
Adalah metia bernilai tak pudar sinar.


Insan bila sedia menyakini ia mudah untuk memahami.
Faham bila ia dipandu arah,

Oleh wahyu langit dan qudwah hasanah Nabi sallallahhu alaihi wassalam.


Allah Ta'ala  Maha Mengetahui.

POSTED BY THANAIF  

Khamis, 2 Julai 2015

Bismillah hir Rahma nir Rahim

Wajar diterima bahawa blog ini adalah titik mula saya mencatat sebagai pemblog yang mempunyai hak cipta yang sewajarnya telah diketahui mempunyai pemeliharaan hak karya oleh undang-undang digital apabila saya masih belum membukukannya.

Pendaftaran ke akaun hotmail ini telah dibuat semenjak 18 Febuari 2006 dengan menggunakan nama tejathanaif atas nama sebenar saya Lelawati binti Mohd Ali, seorang wanita yang telah berkahwin yang berketurunan melayu, beragama islam dari mazhab sunni dan berasal dari Selangor, Malaysia.

Saya menulis blog ini sewaktu berada di Qatar di mana pada ketika itu suami saya telah menyewa salah sebuah apartment di Matar Qadeem.

Saya menulis blog ini tanpa bantuan sesiapa dan tidak mengupah sesiapa untuk menulis bagi pihak saya.Dan pada pertengahan tahun 2015 ini genab sembilan tahun saya menjadi pemblog.

Untuk kesekian kalinya saya berharap keterangan ini dapat diterima dan agar tidak wujud lagi pertindihan hak milik yang upaya mencemarkan hubungan baik saya dengan mereka yang mengenali saya secara peribadi.

Ahad, 1 Jun 2014

Riak Sinar Merdeka

                                                 Wednesday, August 30, 2006

Mengizin minda menjelajah menerawang melepasi sempadan diri amat mengesankan seolah-olah jiwa berada di tempat asing.

Menyinggah dan menyanggah realiti dan ilusi menyemarakkan semangat mahu berdimensi dinamik namun tergantung oleh diskriminatif.

Seakan-akan wujud sekawan direksi berdirektif bersama seorang direktur mengadun alih suai ubah diplomasi berhadapan dengan karma yang membentuk oposisi sedang ghalib yang cuba disembunyi adalah kelahiran ramai oportunis yang sekian lamanya membeku dinginkan kebenaran dan keadilan.

Merdekakah jika raja di hati ikut tunduk pada telunjuk lurus tetapi berkait ?

 Makna maju tamadun milik hanya beberapa kerat yang arif membina ketinggian teknologi menjana kuasa sedangkan terang bimbang rantau kaya mutiara hitam akan berdikari bersemangat juang tertegak oleh iman.

Di ambang merdeka menghitung mengundang muhasabah mencari nilai harga ideal sebuah negara era masa kini biarlah di payung naungi oleh rasa damai tenang ikat erat oleh kasih dan sayang.

Megapakah bumi kita diizin jadi bumi orang sedang bumi orang tidak seinci pun milik kita?

Apakah dengan bersangka-sangka jiran yang wajar dilayan sebagai teman di ajak berkonfrantasi dan dengan mudah yang perkasa milik Pertubuhan Dunia akur merendah diri untuk sentiasa setia adil bersaksama?

Sejarah manakah mendidik begini cara minda membina interaksi menghubung jalin demokrasi beransur seli oleh diplomasi?

Sudah nyata di saat mampu mendabik dada sebuah luhur akhlak mengaku membuang ujub ego diri mengaku tersilap jangka kerana dua juga kerana tiga berbilion dollar telah tersia-sia membina semula runtuhan bata tanpa mengira melayangnya jiwa yang tidak berdosa.

Masihkah mahu menjangkit virus berbisa kepada jiran yang lain pula, bukankah ini dalih ini helah madah menjarak masa mengundang gusar sendiri sedang sudah jelas menapak maju jiran-jiran ingin rantau perkasa oleh kerjasama hubungan sefahaman bukan aturan senjata.

Semangat merdeka bukan jiwa menjulang kuasa oleh taksub bangsa menginjak agama dengan sempit minda aktif berujar bicara pada isu mencetus goyah padu bersatu kita teguh bercerai kita roboh sesama bangsa berlainan agama, bukan begitu maksud menyalakan obor pada jiwa setiap warga.

Suluh dengan akhlak agar bersinar budi yang memahat pekerti adab adat asli berseni.

Kelahiran setiap ummah tercipta oleh hanya satu Pencipta.

Berabad lamanya lateral hubungan jasad yang lemah jiwa mengurung makna jalinan kerjasama hakikat muafakat dalam ramai sahabat ada yang niat jujur ada yang sekadar membawa hajat.

Kenang ingat pada pemimpin yang berjasa baik yang tertera wajah di bingkai kaca atau hilang rupa oleh beza anutan ideologi jiwa diperkasa.

Menyertai raptai perbarisan meraikan merdeka yang terimbas pada ingatan saya hanya dua kali tatkala terpilih berbaris di panas terik di hadapan bendera sambil mendengar ucapan .

Kemudian beredar tanpa jiwa teransang menyedari makna hakikat merdeka...resah memandang anak-anak lansung tidak tahu erti merdeka tetapi sedar dan mahu jiwa bebas merdeka ... merdeka dari leteran emak dan soal jawab abah .... pada saat ketika sebenarnya ia adalah kasih sayang.

Lidah Yang Ada Kuasa

Monday, August 28, 2006


Sebelum sesuatu itu berakhir tentu ada permulaannya.

Natijah sering kekal di hati dan secara beransur-ansur detik demi detik yang berlalu pergi secara perlahan-lahan adalah proses untuk mendekati natijah pudar dan kelam oleh meriah pamer aksi untuk sedikit rasa bermegah.

Seharusnya tiada yang tersembunyi di sebalik ketrampilan yang menawan.

Begitulah dialog antara rasa nubari dan aktif minda yang sering mencipta kekusutan.

Berlari-lari anak jasad minta rohani melangkah, yang pasti bila ada persediaan barulah selangkah sama serentak antara fizikal dan jasmani diseiringkan.

Roh memberi nyawa semangat melangkah.

Apalah guna berlari ke sana singgah ke sini sedang jiwa di belenggu terkurung terpenjara.

Melihat anak suka menonton program ' Pimp My Ride ' berulang tayang cerita Coach Carter dan Remember The Titans, telah menyebabsasaya kan mengimbas pada kegemaran saya ketika remaja  yang setia dengan sabar menekun siri drama bersiri seperti Roots, Twinpeaks, Mr. Sullivan selain Peyton Place.

Rentetan masa yang panjang untuk menyudah setiap isu yang dijadikan polemik membekas di jiwa.

Ia memberi kesan impresif tentang improvisasi oleh nilai imperialisme
membahagi dua sikap tabiat pemikiran yang mengalami proses-proses menjernih dan melebarkan kesempitan ruang yang terbina dengan sengaja oleh kekeliruan.

Semasa sekolah cita-cita terbina mahu menjadi wartawan.

Beberapa kali mengikuti program Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung hingga berpeluang bertemu mata dengan Puan Rosnah Majid membaca penulisan Puan Adibah Amin rasa keinginan menjadi malap bila bertemu mata dengan abang ipar sesudah dia kembali dari operasi di Memali.

Tiada keceriaan di matanya hanya menungan panjang di buaian seperti jauh menerawang.

Waktu itu tiada laporan yang mensahihkan punca sebenar kejadian.

Tiada tempat untuk mencari kekuatan bagi mengadili hasrat mahu membuat penilaian.

Perlahan-lahan dengan suasana yang tercipta keadaan yang memaksa saya kuburkan keinginan mahu menjadi wartawan.

Pelapor adalah individu yang membuat laporan.

Laporan pula maklumat tentang sesuatu.

Melaporkan niatnya untuk memberitahu.

Musykil bila laporan bukan sekadar berita tetapi propaganda atau agenda atau lidah bicara yang memenjara bebas merdeka minda.

Selama ada sengketa senjata perhambaan pada derita tetap ada bukan sekadar pada satu dua jiwa tetapi pada setiap warga dunia.

Terima kasih kepada usaha menterjemahkan pengistilah baru terhadap makna media.