Ahad, 1 Jun 2014

Riak Sinar Merdeka

                                                 Wednesday, August 30, 2006

Mengizin minda menjelajah menerawang melepasi sempadan diri amat mengesankan seolah-olah jiwa berada di tempat asing.

Menyinggah dan menyanggah realiti dan ilusi menyemarakkan semangat mahu berdimensi dinamik namun tergantung oleh diskriminatif.

Seakan-akan wujud sekawan direksi berdirektif bersama seorang direktur mengadun alih suai ubah diplomasi berhadapan dengan karma yang membentuk oposisi sedang ghalib yang cuba disembunyi adalah kelahiran ramai oportunis yang sekian lamanya membeku dinginkan kebenaran dan keadilan.

Merdekakah jika raja di hati ikut tunduk pada telunjuk lurus tetapi berkait ?

 Makna maju tamadun milik hanya beberapa kerat yang arif membina ketinggian teknologi menjana kuasa sedangkan terang bimbang rantau kaya mutiara hitam akan berdikari bersemangat juang tertegak oleh iman.

Di ambang merdeka menghitung mengundang muhasabah mencari nilai harga ideal sebuah negara era masa kini biarlah di payung naungi oleh rasa damai tenang ikat erat oleh kasih dan sayang.

Megapakah bumi kita diizin jadi bumi orang sedang bumi orang tidak seinci pun milik kita?

Apakah dengan bersangka-sangka jiran yang wajar dilayan sebagai teman di ajak berkonfrantasi dan dengan mudah yang perkasa milik Pertubuhan Dunia akur merendah diri untuk sentiasa setia adil bersaksama?

Sejarah manakah mendidik begini cara minda membina interaksi menghubung jalin demokrasi beransur seli oleh diplomasi?

Sudah nyata di saat mampu mendabik dada sebuah luhur akhlak mengaku membuang ujub ego diri mengaku tersilap jangka kerana dua juga kerana tiga berbilion dollar telah tersia-sia membina semula runtuhan bata tanpa mengira melayangnya jiwa yang tidak berdosa.

Masihkah mahu menjangkit virus berbisa kepada jiran yang lain pula, bukankah ini dalih ini helah madah menjarak masa mengundang gusar sendiri sedang sudah jelas menapak maju jiran-jiran ingin rantau perkasa oleh kerjasama hubungan sefahaman bukan aturan senjata.

Semangat merdeka bukan jiwa menjulang kuasa oleh taksub bangsa menginjak agama dengan sempit minda aktif berujar bicara pada isu mencetus goyah padu bersatu kita teguh bercerai kita roboh sesama bangsa berlainan agama, bukan begitu maksud menyalakan obor pada jiwa setiap warga.

Suluh dengan akhlak agar bersinar budi yang memahat pekerti adab adat asli berseni.

Kelahiran setiap ummah tercipta oleh hanya satu Pencipta.

Berabad lamanya lateral hubungan jasad yang lemah jiwa mengurung makna jalinan kerjasama hakikat muafakat dalam ramai sahabat ada yang niat jujur ada yang sekadar membawa hajat.

Kenang ingat pada pemimpin yang berjasa baik yang tertera wajah di bingkai kaca atau hilang rupa oleh beza anutan ideologi jiwa diperkasa.

Menyertai raptai perbarisan meraikan merdeka yang terimbas pada ingatan saya hanya dua kali tatkala terpilih berbaris di panas terik di hadapan bendera sambil mendengar ucapan .

Kemudian beredar tanpa jiwa teransang menyedari makna hakikat merdeka...resah memandang anak-anak lansung tidak tahu erti merdeka tetapi sedar dan mahu jiwa bebas merdeka ... merdeka dari leteran emak dan soal jawab abah .... pada saat ketika sebenarnya ia adalah kasih sayang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan