Rabu, 13 Jun 2012

Kulluman Kulluhum Kulliyun

Emak (Nafsiah binti Salleh)

Selasa
13/6/06

Mimpi balik kampung tersesat berpusing-pusing. Penunjuk arah gagal di fahami akhirnya bersua ' Al-Baiti '.


Tiada pohon rimbunan pandan, serai, sekentut, kesum tiada juga tepak sireh yang setia bersama kapur seulas pinang yang banyak melalang hanyalah lingkaran dedalu yang semalu.

Ada air tanpa angsa atau itik berenang-renang. Ada beranika juadah yang manis pedas berwarna- warni menjilat jari yang berlengas melihat kusyuk menyantun bicara mengalas budi menjadi serba tak menjadi.... aduh kampungkukah ini ?

I

" Nasihatilah perempuan-perempuan ( isteri-isteri ) dengan cara yang baik. Maka sesungguhnya kamu mengambil mereka dengan amanah Allah dan di halalkan bagi kamu kehormatannya dengan kalimah Allah. "

Ada sikap yang menuntut kemahiran berfikir bagi mencetus idea bernas yang berakar tunjang dari akidah yang benar....

Mahu bersikap melampau atau bersikap mempermudah .............

Runtuh nilai insan bila menyelewengkan fitrah yang asalnya bersih waktu di lahirkan.
Tanpa mengenal rupa siapa kita, bermata biru, bermata hijau, hitam atau coklat.
Fitrah asal tetap sama. Naluri ingin mengabdi pada yang Mencipta.
Kesempurnaan roh di batas oleh akal. Ada yang berjiwa tapi tidak berakal.
Ada yang berakal kurang pengertian untuk taat sebab tak mengerti akal untuk beribadat.

" Apabila ada dua isteri di sisi seorang lelaki lalu ia tidak melakukan keadilan di antara kedua mereka nescaya datanglah ia pada hari kiamat nanti di mana sebelah badannya jatuh atau senget sebelah. "


II

Menemani emak ke majlis ilmu setiap Sabtu satu kemestian masa remaja dahulu.


Satu ketika allahyarhamhu Ustaz Sahar bercerita tentang mengapakah keturunan India dari kasta rendah tidak mudah sombong jika mereka berada di puncak kejayaan.

" Satu hari saya tersua seorang 'aya' yang kerjanya mengangkut tong najis ( mungkin sekitar tahun lima puluhan atau enam puluhan ). "


" Tak malukah 'aya' ?
Tak busukkah 'aya' ?"  Ustaz bercerita.


" Apa mau kira itu bau busuk, ini kereja saya guna tulang empat kerat punya untuk cari duit tampung belajar empat orang anak saya belajar di universiti..."

Terpasak cerita itu membenam di hati hingga ke hari ini.
Juga tertanam di minda ' manusia membuat setiap keputusan penuh dengan implikasi moral


Basuhi hina dan rendah diri dengan airmata mengundang ehsan insan.

Meniti Waktu Melangkah Masa


                                                  Embun yang dinihari.
Dingin menyentuh jari.
     Dari titisan yang 'nafsi-nafsi'.
     Tampung ladung titisan yang menyukat suci
.



Bina akrab aqal dan qalbu,
Ikat simpulan tali temali mengurai rancu,
Mesra kasih adab berbeza bila bertamu,
         Menjernih kabut yang melinang mata anak dan ibu.


Buah dari fikir untaian gagasan manusia,
     Menjemput pemerhatian namun tidak mahu percaya,
Turun temurun menyedari akan hancurnya tulang belulang pada beberapa ketika.


Saat itu alam bingung ketar dan gentar bak paksi yang berputar tiba-tiba berhenti pada gandarnya.


Indah pada mata bukan janji pasti bahagia tatkala menerima serela hati.

Benua Yang Ada Harga

 

Khamis
8/6/06

Jauh berjalan di tengah benua bersua rupa berselisih masa.

Meredah pasir gurun berseli ribut pasir yang masin.

Terlihat mega megah megak siulan yang jinak namun liar si mergastua.

Diam-diam perlukan gagah hati dengan penuh yakin.


Di dalam kalbu selalu berpesan,
Tidak perlu bercita-cita tinggi membina kota,
Andai tak pandai mencipta kegembiraan,
Persepsi usah sekali di perhitungkan.


" Lelaki adalah pemimpin bagi wanita."
" Mengapa? "
" Kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lainnya. "
" Kerana ??? "
" Mereka telah membelanjakan sebahagian harta mereka. "


Hanya boleh jadi pemimpin bila ada yang hendak dipimpin.
Manis usah terus ditelan pahit usah terus dibuang.

Berhati-hati jangan sampai terasa diri lebih dari yang dipimpin.
Muktamatnya keserasian roh umpama pigura yang menghias sudut antara tiang-tiang.

Seutas tali adalah penyatuan keturunan manusia.
Berkembang biak lelaki dan perempuan.

Darah uratnya jantung nadinya letaknya cinta inilah rahsia.
Dari Rahmat dan Pemurahnya benua yang jauh sebenarnya adalah berdekatan.

Seorang diri kembali saya berkata-kata.

Insan yang muda di hormati.

Insan yang tua di hargai.

Manusia diperintah untuk mencipta kemakmuran di muka bumi.

Manusia diperintah untuk menyembahNya sehingga mati.

Namun alangkah indahnya jika dilaksanakan dengan saling bahu membahu atas dasar kebaikan.

Ia terbit dari takwa.

Sesudah berikhtiar kita bertawakal sekuat hati sebab sikap ini berupaya menerbitkan rasa berani menjauhi risau resah juga bimbang.

Dari tawakal ini juga akan ada rasa berani menghayati apa yang telah di tetapkan oleh Allah.

Mereka yang berjaya adalah bila berupaya melakukan perubahan.

Namun yang pastinya yang hebat adalah pemimpin yang ada nilai mulia akhlak.

" Tidak senyum ke atas namun menolak ke bawah. "

Sedetik Berlalu Sesaat Tak Lupa

 

Rabu 
7/6/06
Bergantian saat harian berlalu,
Berseliseh zaman menapak waktu,
Seakan-akan mengizinkan rasa untuk mengenang-ngenang
Pada rembulan di awanan.


Pada kesayup-sayupan bebintang di dada awan gemawan,
Pada pantai yang bertemankan pepasir putih yang redup di bawah teduhan hijau pohonan rhu,
Pada merah batuan bukit- bukau yang ditarah ditebuk dipahat robek.
Menghilangkan kicauan unggas,
Mentempiarkan burung yang tenang berkawan-kawan,
Melontarkan tempawan yang menghias bersinar,
Menegakkan batuan pejal yang ribuan di pasaran dengan tanda harga yang tidak mudah di susut nilaikan.


Mengenang pada janji-janji,
Yang bilakah mahu termeterai?
Yang sengaja di sukarkan.
Oleh tingkah kata berlainan rasa berbeza idea,
Mengilham hujjah untuk membela kemahuan yang memudarkan harapan,
Harapan sarat kemustahilan,
Yang sebenarnya punya nilai metia,
Metia yang terluncur dari berbagai rasa,
Hiba rasa sayu yang sendu seorang ibu dan anak,
Berdoa penuh harapan,
Tanggungjawab mendahulukan kemaslahatan,
Kemaslahatan insan untuk ruang mematikan bencana.

Rahmat Kekasih Allah sallallah hu alaihiwassalam jika diintai-intai,
Adalah metia bernilai tak pudar sinar.


Insan bila sedia menyakini ia mudah untuk memahami.
Faham bila ia dipandu arah.


Allah Ta'ala  Maha Mengetahui.

posted by thanaif at 12:33 AM 0 comments    

Yang Indah itu Apabila Kita Insaf

 

Rabu
7/6/06

                    Indah budi kerana bahasa indah bahasa kerana jiwa.


Jiwa lahir dari fitrah yang terbebas dari sifat 'ananiah' tidak terbelenggu oleh runtunan jiwa yang resah.


Insan tetap bukan malaikat yang bila dikembalikan kepada Allah , Allah dengan sifat RahmatNya akan mengasihi dan menyayangi.



Malam tadi saya ada membaca bicara hikmah Saidina Ali bin Abu Thalib.



" Usahlah termasuk di dalam golongan mereka yang apabila berkata mereka berkata dengan perkataan orang 'zahid' namun berbuat dengan pekerjaan serakah."


" Usahlah termasuk di dalam golongan yang suka kepada orang soleh namun tidak mengerjakan pekerjaan orang soleh."


" Ketika sihat 'ujub' pada diri sendiri bila diuji cepat patah hati."


" Bila menderita pada bencana berdoa dengan rasa terpaksa."


" Bila mendapat kurnia berpaling dengan menyombong diri menyanggah kata."


" Diri akur pada prasangka bukan pada keyakinan."


" Banyak menguyah petuah namun tidak menjadikannya sebagai petuah."


" Kata-kata di jadikan dalil namun tidak pada perbuatan."


" Membesar-besarkan dosa orang lain namun meremehkan dosa sendiri."


" Membangga-banggakan ketaatan sendiri namun tidak menilai ketaatan orang lain."


" Mudah mengata namun diri sendiri berpura-pura."


" Senang dengan kehidupan orang berada kurang pula gemar berzikir bersama orang fakir."


" Amat mudah membenarkan diri sendiri dan mudah menyalahkan orang lain."


" Kerap melanggar dan menuntut kebenaran namun diri sendiri jarang menepati."


" Takut dan gentar sesama makhluk tidak kerana Rabbnya namun tidak takut dan gentar Rabbnya demi makhlukNya."


Saya insaf kekerdilan dan kelemahan diri.
Airmata adalah teman yang paling setia.



 

Suap-Suapan Di Hari Bahagia

 

Sabtu 
3/6/06

Mendapat berita salah seorang yang kita kasihi akan berumah tangga menyegarkan sejenak jiwa dan minda saya.
Perkahwinan anak saudara saya Moh Zul Waqar dengan Wan Rukaidah binti Wan Abdullah tidak dapat dihadirii kerana kami berada di Qatar.

Segar semula semua kenangan lama.

Dari mula terbetik khabar," Qar nak kahwin, mama," pasti rasa saya, kecuh tahap gaban seluruh jiwa raga kakak saya agaknya yang melahir dan membesarkan lima orang anak teruna...




Tentu tidak dapat di gambarkan bagaimana keriangannya bila akan mendapat seorang menantu perempuan.

Bertuah badan orang pantai timur......



Tetapi keseronokan melengkapkan persiapan perkahwinan sebenarnya tak semeriah dahulu.



Dulu-dulu ... ramai-ramai kejar ayam bila nak buat kenduri...ada sedara di kampung...menangis bila anak lembu selama meniti usia mahu menjadi dewasa, di manja di belai dengan berkata-kata, makan disuap .... terpaksa dijual (tidak pasti di korbankan untuk aqiqah atau koban aidil adha), seisi rumah saudara saya menangis bila ia terpaksa di lakukan...rasanya bapa saudara saya keluar meninggalkan rumah tak tahan melihat anak lembunya dibawa pergi.

Saat ini mahu sahaja nak bertanya sepupu saya Cikgu Noraida Mohd Noor di Negeri Sembilan....jauh, mahal nak buat panggilan.



Bersama sepupu-sepupu saya dan suami serta anak-anak mereka. Cik Noraidah binti Mohd Noor berdiri paling kiri adalah sepupu saya di sebelah emak.


Sedara jauh datang...masa tu masih budak-budak lagi...tak disambut kedatangan mereka sebab tak kenal.




Perkahwinan kami berlansung pada 16 Jamadil Awal 1409


Pernah juga tatkala masih remaja saya bertembung dengan dua orang makcik yang berpakaian orang kampung, termanggu-manggu mahu mencari bas yang perlu dinaiki untuk ke rumah adiknya.

Saya membantu dan kami menaiki bas yang sama.

Malamnya saya bertemu kembali ke dua makcik itu di rumah bapa saudara sepupu emak (aruah Haji Khalid), tahan telinga tahan rasa bila kena 'umpat' yang tidak pahit bahkan manis di telinga...  Saya kembali tersenyum seorang diri.


Orang yang sedang menjadi pengantin pula banyak kena korban diri...di suruh itu buat, di suruh ini ikut...peluh pun tak mampu dikesat sendiri perlu dibantu pengapit atau mak andam...tertib rupanya pengantin.
Tak pernah menyuap ke mulut orang lain terpaksa pula menyuap...guna tangan atau sudu tetap kena menyuap di acara makan beradab... sopan rupanya pengantin...tersipu-sipu kena menyuap dan disuap.... kembali saya tersenyum seorang.



Masa berkahwin ini pun pengantin akan mendapat banyak hadiah. Seronok pengantin kerana ada sokongan tanpa permintaan untuk memulakan hidup baru jika pemberian itu sesuai, jika tidak ia akan tersimpan berhabuk atau dikitar semula sebagai pemberian hadiah di hari perkahwinan teman yang lain.

Yang tersenyum memanjang ialah ibu dan bapa...banyak undangan ramai jabatan salamnya, sarat berkepuk-kepuk helaian yang belum tahu apa warnanya ...namun biasanya ini tidak pernah menjadi ukuran..

Hati ibu bapa sebenarnya bahagia bila tanggung jawab dan amanah menguruskan perkahwinan anak berjaya dilaksanakan dengan penuh kasih sayang.

Saya kira saya beruntung kerana tiada suap menyuap di hari bahagia saya, tidak banyak hadiah diterima dan majlis hanya kecil-kecilan tanpa ramai tetamu kerana saya tidak mempunyai ramai kenalan (yang ramai saudara dan kenalan adalah keluarga) tetapi emak senyum atau tidak saya tak pernah perasan.


Bila begini saya rasa tak berhutang...


posted by thanaif at 9:42 PM 0 comments  

Bicara Minda Tenang

Satu ketika dahulu sewaktu keputusan S.P.M di umumkan, saya telah berkesempatan membawa beberapa orang anak-anak yang cemerlang keputusan Sijil Pelajaran Malaysianya yang memperolehi 13A, 10A, 8A dan 7A keluar makan bagi meraikan kejayaan mereka. 

Merekalah adalah rakan-rakan kepada salah seorang anak saudara saya yang bernama Nursyuhadah binti Alias yakni anak sulong kepada kembar saya (Jah binti Mohd Ali) yang pada ketika itu bersekolah di Kolej Islam Kelang.




Pemblog bertudung biru gelap paling kanan bersama ahli keluarganya di Kelang, Selangor Malaysia

 Dalam bualan kami yang mesra itu ada yang sedih kerana berasa tidak berpeluang untuk menyambung pelajaran ke luar negara.
 Anak yang layak hanya mendiamkan diri tapi berwajah manis riang.
Kami berbual dalam masa yang singkat.
"Ambillah saja jurusan pendidikan ... jurusan yang sering tidak menjadi pilihan utama untuk permohonan kemasukan ke universiti."
"Nanti saya jadi cikgu sahajalah, ya makcik ."

 "Tidak usah berfikiran begitu, jika tidak menjadi Menteri Pendidikan , kelian berpeluang menjadi antara penggubal dasar pendidikan negara kita di masa depan, merangka strategi bagaimana memenuhi keperluan negara apabila ramainya bijak pandai telah berjaya dilahirkan oleh kejayaan dasar pendidikan yang ada kini..."

 "Bagaimana nanti kelian mencari-cari kaedah bagi diseimbangkan jurang kepesatan antara pencapaian pelajar perempuan berbanding dengan pelajar lelaki."

"Kelian akan lihat bagaimana begitu ramai wanita akan menjawat jawatan-jawatan tinggi dan penting negara di masa hadapan."

Saya tersenyum seorang kerana rasanya kami juga berbual-bual mesra tentang besar kemungkinan di masa hadapan wanita akan rela hidup bermadu kerana sukarnya mendapat suami yang ideal untuk beramanah memelihara kepercayaan ibu bapa dalam bertanggungjawab.

Sungguh saya terkejut ketika itu kerana melihat, merasakan dan menyedari 'keberkesanan' penghayatan ilmu pelajar-pelajar perempuan ini (mereka adalah pelajar-pelajar dari aliran agama), bila mereka menjawab sambil memegang erat tangan sesama sendiri sambil tersenyum mereka menghitung siapa yang akan menjadi madu yang tua atau yang muda.

 Mereka tersenyum -senyum dengan bahagia.

Mereka adalah pelajar-pelajar yang bermula persekolahannya dari sekolah rendah kebangsaan, sekolah bagi orang melayu yang rata-ratanya beragama islam.

Mungkinkah juga pelajar-pelajar sekolah agama rakyat akan bernada yang sama?

 This is not  a promotion to polygamy – it about the knowledge by islam – we should know about it if we think about the percentage of the divorce among muslim.

 Saya yakin mesti serupa jawapannya.
Semua ini adalah kenangan yang amat mengesankan. Banyak yang telah berjaya di capai apabila ada penyatuan pemikiran antara tanggungjawab dan kehendak.

Mengenang anak-anak ini sungguh terasa benarnya bila memiliki perasaan kasih sayang sesama insan.

Yang arif lagi budiman ada berpesan, teman yang paling baik adalah dia yang paling baik dalam tingkah laku dan perwatakannya, sedaya upaya melaksanakan kepercayaan yang menjadi amanah, ungkapan kata-katanya tidak mengecewakan dan sentiasa memelihara janjinya.

Hadapilah teman-teman kita walau apa pun rupa, warna, bentuk, pakaian, budaya, sikap dari mana pun asalnya mereka dengan ramah tamah yang manis bicara.

Usah kita mengutuk, mengeji, menghina dan berlaku kasar kepada mereka kerana itu hanya akan menghilangkan kasih sayang.

Allah tidak menyayangi orang yang tak menyayangi orang lain.

Orang yang tidak menyayangi ciptaan Allah dan anak-anak kecil mereka, Allah tidak akan menyayanginya.

Namun dalam masa kita berteman dan mengasihi sesama insan hati sekali lagi memainkan peranan.

Apakah hati perlu juga 'di rasuah' untuk menjadi setia?

Kekasih Allah ada berpesan , Allah mempunyai seratus rahmat (kasih sayang) dan menurunkan satu rahmat dari seratus rahmat itu kepada jin , manusia dan haiwan yang melata . Dengan rahmat itu mereka saling berbelas kasihan dan berkasih sayang dan dengannya juga haiwan-haiwan buas menyayangi anak-anaknya.

Dan Allah menangguhkan sembilan puluh sembilan bahagian rahmatnya itu sebagai kasih sayangnya pada hari kiamat nanti.

Persoalan yang berbangkit bagaimanakah kita boleh berusaha menjadi teman yang lebih baik dari dahulu?

 Selasa 

30/5/06 


posted by thanaif at 1:13 AM 2 comments  

Bila Jujur Berbudi Pasti Ia Di Junjung Dengan Kasih

 

Khamis 
(25/5/06)

Tanpa mengira siapa kita apabila kejujuran dengan berani ditunjukkan diiringi oleh kasih dan sayang, disulami oleh tindakan yang tulus diseri dengan senyuman...airmata sahaja tanda penghargaan di samping doa setelah berusaha.

Ingin diungkapkan sejuta rasa dan seribu kata terima kasih kepada pemimpin-pemimpin hebat abad ini.

Kita adalah insan yang berakal bila mahir menguruskan masa dengan baik.
Kita tidak berupaya memberi tumpuan kepada dua perkara yang bertentangan kerana itu perlulah selalu kita menghindari diri dari perkara dan perbuatan yang tidak penting malah mendatangkan bahaya kepada kita atau sesiapa sahaja.

Paling sederhana dengan mendiamkan diri adalah lebih baik jika dengan berkata-kata tidak memberi apa-apa makna.

Ulamak Dr. Yusof Al-Qardahawi ada berkata, "ketidakmatangan mentadbir masa adalah jauh lebih merbahaya daripada tidak matangnya dalam menguruskan harta benda ".

Istimewa salam ingatan di tujukan buat Tuk-Tuk yang sentiasa di mata ini...barakah cahaya di hati nenenda berdua adalah sinaran dari nur yang mulia.
Buat ayahanda, ayahanda doktor terima kasih...setiap budi dijunjung dengan rasa kasih. 

Kendiri Bentala Berakar Aqidah


Isnin 
22/5/06

Tulisan tangan saya tidak kemas.

 

thanaif itu hanyalah nama pena bagi pemblog Lelawati binti Mohd Ali


Rupa blog Bentala Kendiri Tunjangnya Akar Akidah.blogspot.com tahun 2006 - 2008