Isnin, 28 September 2015

Benua Yang Ada Harga


Jauh berjalan di tengah benua bersua rupa berselisih masa.

Meredah pasir gurun berseli ribut pasir yang masin.

Terlihat mega megah megak siulan yang jinak namun liar si mergastua.

Diam-diam perlukan gagah hati dengan penuh yakin.


Di dalam kalbu selalu berpesan,
Tidak perlu bercita-cita tinggi membina kota,
Andai tak pandai mencipta kegembiraan,
Persepsi usah sekali di perhitungkan.


"Lelaki adalah pemimpin bagi wanita."
"Mengapa?"
"Kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lainnya."
"Kerana???"
"Mereka telah membelanjakan sebahagian harta mereka."


Hanya boleh jadi pemimpin bila ada yang hendak dipimpin.
Manis usah terus ditelan pahit usah terus dibuang.

Berhati-hati jangan sampai terasa diri lebih dari yang dipimpin.
Muktamatnya keserasian roh umpama pigura yang menghias sudut antara tiang-tiang.

Seutas tali adalah penyatuan keturunan manusia.
Berkembang biak lelaki dan perempuan.

Darah uratnya jantung nadinya letaknya cinta inilah rahsia.
Dari Rahmat dan Pemurahnya benua yang jauh sebenarnya adalah berdekatan.

Seorang diri kembali saya berkata-kata.

Insan yang muda di hormati.

Insan yang tua di hargai.

Manusia diperintah untuk mencipta kemakmuran di muka bumi.

Manusia diperintah untuk menyembahNya sehingga mati.

Namun alangkah indahnya jika dilaksanakan dengan saling bahu membahu atas dasar kebaikan.

Ia terbit dari takwa.

Sesudah berikhtiar kita bertawakal sekuat hati sebab sikap ini berupaya menerbitkan rasa berani menjauhi risau resah juga bimbang.

Dari tawakal ini juga akan ada rasa berani menghayati apa yang telah di tetapkan oleh Allah.

Mereka yang berjaya adalah bila berupaya melakukan perubahan.

Namun yang pastinya yang hebat adalah pemimpin yang ada nilai mulia akhlak.

"Tidak senyum ke atas namun yang di bawah sedia ditolak."


CATATAN KHAMIS  8/6/06


Sedetik Berlalu Sesaat Tak Lupa

Bergantian saat harian berlalu,
Berseliseh zaman menapak waktu,
Seakan-akan mengizinkan rasa untuk mengenang-ngenang
Pada rembulan di awanan.


Pada kesayup-sayupan bebintang di dada awan gemawan,
Pada pantai yang bertemankan pepasir putih yang redup di bawah teduhan hijau pohonan rhu,
Pada merah batuan bukit- bukau yang ditarah ditebuk dipahat robek.


Menghilangkan kicauan unggas,
Mentempiarkan beburung yang tenang berkawan-kawan,
Melontarkan tempawan yang menghias bersinar,
Menegakkan batuanbatu bata pejal yang ribuan dan jutaan di pasaran dengan tanda harga yang tidak mudah di susut nilaikan.


Mengenang pada janji-janji,
Yang bilakah mahu termeterai?
Yang sengaja di sukarkan.


Oleh tingkah kata berlainan rasa berbeza idea,
Mengilham hujjah untuk membela kemahuan yang memudarkan harapan,
Harapan sarat kemustahilan,
Yang sebenarnya punya nilai metia,
Metia yang terluncur dari berbagai rasa,
Hiba rasa sayu yang sendu seorang ibu dan anak,
Berdoa penuh harapan,
Tanggungjawab mendahulukan kemaslahatan,
Kemaslahatan insan untuk ruang mematikan bencana.

Rahmat Kekasih Allah sallallah hu alaihiwassalam jika diintai-intai,
Adalah metia bernilai tak pudar sinar.


Insan bila sedia menyakini ia mudah untuk memahami.
Faham bila ia dipandu arah,

Oleh wahyu langit dan qudwah hasanah Nabi sallallahhu alaihi wassalam.


Allah Ta'ala  Maha Mengetahui.

POSTED BY THANAIF  

Yang Indah itu Apabila Kita Insaf

                   Indah budi kerana bahasa indah bahasa kerana jiwa.

Jiwa lahir dari fitrah yang terbebas dari sifat 'ananiah' tidak terbelenggu oleh runtunan jiwa yang resah.

Insan tetap bukan malaikat yang bila dikembalikan kepada Allah , Allah dengan sifat RahmatNya akan mengasihi dan menyayangi.



Malam tadi saya ada membaca bicara hikmah Saidina Ali bin Abu Thalib.



" Usahlah termasuk di dalam golongan mereka yang apabila berkata mereka berkata dengan perkataan orang 'zahid' namun berbuat dengan pekerjaan serakah."


" Usahlah termasuk di dalam golongan yang suka kepada orang soleh namun tidak mengerjakan pekerjaan orang soleh."


" Ketika sihat 'ujub' pada diri sendiri bila diuji cepat patah hati."


" Bila menderita pada bencana berdoa dengan rasa terpaksa."


" Bila mendapat kurnia berpaling dengan menyombong diri menyanggah kata."


" Diri akur pada prasangka bukan pada keyakinan."


" Banyak menguyah petuah namun tidak menjadikannya sebagai petuah."


" Kata-kata di jadikan dalil namun tidak pada perbuatan."


" Membesar-besarkan dosa orang lain namun meremehkan dosa sendiri."


" Membangga-banggakan ketaatan sendiri namun tidak menilai ketaatan orang lain."


" Mudah mengata namun diri sendiri berpura-pura."


" Senang dengan kehidupan orang berada kurang pula gemar berzikir bersama orang fakir."


" Amat mudah membenarkan diri sendiri dan mudah menyalahkan orang lain."


" Kerap melanggar dan menuntut kebenaran namun diri sendiri jarang menepati."


" Takut dan gentar sesama makhluk tidak kerana Rabbnya namun tidak takut dan gentar Rabbnya demi makhlukNya."


Saya insaf kekerdilan dan kelemahan diri.
Airmata adalah teman yang paling setia.



Suap-Suapan Di Walimah Tur Urus


Mendapat berita salah seorang yang kita kasihi akan berumah tangga menyegarkan sejenak jiwa dan minda saya. Segar semula semua kenangan lama. 


Perkahwinan Mohd Zul Waqar dengan Wan Rukaidah yang berasal dari Kelantan tidak dapat dihadiri oleh kami sekeluarga.

Dari mula terbetik khabar," Waqar nak kahwin, mama," pasti rasa saya, kecuh tahap gaban seluruh jiwa raga kakak saya agaknya yang melahir dan membesarkan lima orang anak teruna...


Tentu tidak dapat di gambarkan bagaimana keriangannya bila akan mendapat seorang menantu perempuan.

Bertuah badan orang pantai timur......


Tetapi keseronokan melengkapkan persiapan perkahwinan sebenarnya tak semeriah dahulu.

Dulu-dulu ... ramai-ramai kejar ayam bila nak buat kenduri...ada sedara di kampung...menangis bila anak lembu selama meniti usia mahu menjadi dewasa, di manja di belai dengan berkata-kata, makan disuap .... terpaksa dijual (tidak pasti di korbankan untuk aqiqah atau koban aidil adha), seisi rumah saudara saya menangis bila ia terpaksa di lakukan...rasanya bapa saudara saya keluar meninggalkan rumah tak tahan melihat anak lembunya dibawa pergi.

Saat ini mahu sahaja nak bertanya sepupu saya Cikgu Noraida Mohd Noor (pada waktu itu) di Negeri Sembilan....jauh, mahal untuk membuat panggilan.

Pemblog(bertudung coklat keemasan) bersama sepupu-sepupu dan suami sepupunya  semasa majlis walimah anaknya(Ahmad Muttaqin bin Harith) pada 2/8/2015 yang lalu. Cik Noraidah berbaju merah.


Saudara mara jauh di kampung datang...semasa itu saya masih budak-budak lagi...tak disambut kedatangan mereka sebab tak kenal. Pernah juga tatkala masih remaja saya bertembung dengan dua orang makcik yang berpakaian orang kampung, termanggu-manggu mahu mencari bas yang perlu dinaiki untuk ke rumah adiknya. Saya membantu dan kami menaiki bas yang sama. Malamnya saya bertemu kembali ke dua makcik itu di rumah bapa saudara sepupu emak (aruah Haji Khalid), tahan telinga tahan rasa bila kena 'umpat' yang tidak pahit bahkan manis di telinga...  


Saya kembali tersenyum seorang diri.

Orang yang sedang menjadi pengantin pula banyak perlu mengorbankan diri...di suruh itu buat, di suruh ini ikut...peluh pun tak mampu dikesat sendiri perlu dibantu pengapit atau mak andam...tertib rupanya pengantin. 
Tak pernah menyuap ke mulut orang lain terpaksa pula menyuap...guna tangan atau sudu tetap kena menyuap di acara makan beradab... sopan rupanya pengantin...tersipu-sipu kena menyuap dan disuap.... kembali saya tersenyum seorang.

Semasa walimah kenduri kahwin, pengantin akan mendapat banyak hadiah. Seronok pengantin kerana ada sokongan tanpa permintaan untuk memulakan hidup baru jika pemberian itu sesuai dan memenuhi keperluan pasangan yang baru memulakan kehidupan bersama, jika tidak ia akan tersimpan berhabuk atau dikitar semula sebagai pemberian hadiah di hari perkahwinan teman-teman yang lain.

Yang tersenyum memanjang ialah ibu dan bapa...banyak undangan ramai jabat salamnya, sarat berkepuk-kepuk helaian yang belum tahu apa warnanya ...namun biasanya ini tidak pernah menjadi ukuran..
Hati ibu bapa sebenarnya bahagia bila tanggung jawab dan amanah menguruskan perkahwinan anak berjaya dilaksanakan dengan penuh kasih sayang.

Allahyarhamah nenek saya dengan pakaian yang biasa dipakai oleh wanita muslim di kampung di Negeri Sembilan menemani kami makan semasa perkahwinan kami tahun 1988.

Saya kira saya beruntung kerana tiada suap menyuap di majlis perkahwinan saya, tidak banyak hadiah diterima dan majlis hanya kecil-kecilan tanpa ramai tetamu kerana saya tidak mempunyai ramai kenalan (yang meramaikan walimah saya adalah adik beradik, saudara mara dan kenalan sahaja) tetapi emak tersenyum atau tidak, saya tak pernah perasan.


Bila begini saya rasa tidak berhutang...


posted by thanaif 

Bicara Minda Tenang


Satu ketika dahulu sewaktu keputusan S.P.M di umumkan, saya telah berkesempatan membawa beberapa orang anak-anak yang cemerlang keputusan Sijil Pelajaran Malaysianya yang memperolehi 13A, 10A, 8A dan 7A keluar makan bagi meraikan kejayaan mereka. 

Merekalah adalah rakan-rakan kepada salah seorang anak saudara saya yang bernama Nursyuhadah binti Alias yakni anak sulong kepada kembar saya (Jah binti Mohd Ali) yang pada ketika itu bersekolah di Kolej Islam Kelang.



Pemblog duduk paling kanan bertudung gelap bersama emak, kakak dan anak-anak saudaranya. Nur Syuhadah bertudung ungu muda disebelah pemblog.

Dalam bualan kami yang mesra itu ada yang sedih kerana berasa tidak berpeluang untuk menyambung pelajaran ke luar negara.
 Anak yang layak hanya mendiamkan diri tapi berwajah manis riang.
Kami berbual dalam masa yang singkat.
"Ambillah saja jurusan pendidikan ... jurusan yang sering tidak menjadi pilihan utama untuk permohonan kemasukan ke universiti."
"Nanti saya jadi cikgu sahajalah, ya makcik ."

 "Tidak usah berfikiran begitu, jika tidak menjadi Menteri Pendidikan , kelian berpeluang menjadi antara penggubal dasar pendidikan negara kita di masa depan, merangka strategi bagaimana memenuhi keperluan negara apabila ramainya bijak pandai telah berjaya dilahirkan oleh kejayaan dasar pendidikan yang ada kini..."

 "Bagaimana nanti kelian mencari-cari kaedah bagi diseimbangkan jurang kepesatan antara pencapaian pelajar perempuan berbanding dengan pelajar lelaki."

"Kelian akan lihat bagaimana begitu ramai wanita akan menjawat jawatan-jawatan tinggi dan penting negara di masa hadapan."

Saya tersenyum seorang kerana rasanya kami juga berbual-bual mesra tentang besar kemungkinan di masa hadapan wanita akan rela hidup bermadu kerana sukarnya mendapat suami yang ideal untuk beramanah memelihara kepercayaan ibu bapa dalam bertanggungjawab.

Sungguh saya terkejut ketika itu kerana melihat, merasakan dan menyedari 'keberkesanan' penghayatan ilmu pelajar-pelajar perempuan ini (mereka adalah pelajar-pelajar dari aliran agama), bila mereka menjawab sambil memegang erat tangan sesama sendiri sambil tersenyum mereka menghitung siapa yang akan menjadi madu yang tua atau yang muda.

 Mereka tersenyum -senyum dengan bahagia.

Mereka adalah pelajar-pelajar yang bermula persekolahannya dari sekolah rendah kebangsaan, sekolah bagi orang melayu yang rata-ratanya beragama islam.

Mungkinkah juga pelajar-pelajar sekolah agama rakyat akan bernada yang sama?

 This is not  a promotion to polygamy – it about the knowledge by islam – we should know about it if we think about the percentage of the divorce among muslim.

 Saya yakin mesti serupa jawapannya.
Semua ini adalah kenangan yang amat mengesankan. Banyak yang telah berjaya di capai apabila ada penyatuan pemikiran antara tanggungjawab dan kehendak.

Mengenang anak-anak ini sungguh terasa benarnya bila memiliki perasaan kasih sayang sesama insan.

Yang arif lagi budiman ada berpesan, teman yang paling baik adalah dia yang paling baik dalam tingkah laku dan perwatakannya, sedaya upaya melaksanakan kepercayaan yang menjadi amanah, ungkapan kata-katanya tidak mengecewakan dan sentiasa memelihara janjinya.

Hadapilah teman-teman kita walau apa pun rupa, warna, bentuk, pakaian, budaya, sikap dari mana pun asalnya mereka dengan ramah tamah yang manis bicara.

Usah kita mengutuk, mengeji, menghina dan berlaku kasar kepada mereka kerana itu hanya akan menghilangkan kasih sayang.

Allah tidak menyayangi orang yang tak menyayangi orang lain.

Orang yang tidak menyayangi ciptaan Allah dan anak-anak kecil mereka, Allah tidak akan menyayanginya.

Namun dalam masa kita berteman dan mengasihi sesama insan hati sekali lagi memainkan peranan.

Apakah hati perlu juga 'di rasuah' untuk menjadi setia?

Kekasih Allah ada berpesan , Allah mempunyai seratus rahmat (kasih sayang) dan menurunkan satu rahmat dari seratus rahmat itu kepada jin , manusia dan haiwan yang melata . Dengan rahmat itu mereka saling berbelas kasihan dan berkasih sayang dan dengannya juga haiwan-haiwan buas menyayangi anak-anaknya.

Dan Allah menangguhkan sembilan puluh sembilan bahagian rahmatnya itu sebagai kasih sayangnya pada hari kiamat nanti.

Persoalan yang berbangkit bagaimanakah kita boleh berusaha menjadi teman yang lebih baik dari dahulu?

 Selasa 

30/5/06 


posted by thanaif at 1:13 



Bila Jujur Berbudi Pasti Ia Di Junjung Dengan Kasih

Tanpa mengira siapa kita apabila kejujuran dengan berani ditunjukkan diiringi oleh kasih dan sayang, disulami oleh tindakan yang tulus diseri dengan senyuman...airmata sahaja tanda penghargaan di samping doa setelah berusaha.

Ingin diungkapkan sejuta rasa dan seribu kata terima kasih kepada pemimpin-pemimpin hebat abad ini.

Kita adalah insan yang berakal bila mahir menguruskan masa dengan baik.
Kita tidak berupaya memberi tumpuan kepada dua perkara yang bertentangan kerana itu perlulah selalu kita menghindari diri dari perkara dan perbuatan yang tidak penting malah mendatangkan bahaya kepada kita atau sesiapa sahaja.

Paling sederhana dengan mendiamkan diri adalah lebih baik jika dengan berkata-kata tidak memberi apa-apa makna.

Ulamak Dr. Yusof Al-Qardahawi ada berkata, " Ketidakmatangan mentadbir masa adalah jauh lebih merbahaya daripada tidak matangnya dalam menguruskan harta benda ".

Istimewa salam ingatan di tujukan buat Tuk-Tuk yang sentiasa di mata ini...barakah cahaya di hati nenenda berdua adalah sinaran dari nur yang mulia.
Buat ayahanda, ayahanda doktor terima kasih...setiap budi dijunjung dengan rasa kasih.


CATATAN PADA 25/5/06

Kendiri Bentala Betunjangkan Akidah.

Mengesahkan kewujudan blog saya. Kiriman pada 22/5/06

Blog pertama saya dengan nama pena thanaif.




Ucapan Untuk Diri Sendiri

Blog ini memuatkan catatan peribadi seorang wanita berbangsa melayu yang berakidah oleh keislamannya yang juga merupakan seorang isteri dan ibu kepada empat orang cahaya mata yang merupakan anak jati bandar diraja Klang di Selangor dan kini menetap di Abu Hamour, Doha di Qatar bersama suami dan anak-anaknya.


Puan Lelawati binti Mohd Ali adalah pemblog yang menggunakan nama pena 'thanaif' dan ' tejathanaif'. Gambar ini dirakamkan oleh Ipad.



Catatan ini telah mula dihasilkan sejak tahun 2006 dengan menambah beberapa keterangan sumber bagaimana catatan ini dihasilkan. 


Sejarah Bentala Kendiri Tunjangnya Akar Akidah mempunyai sisi pandang seperti seorang lelaki kerana wujud dilemma yang mendiskriminasi ketika itu untuk saya aktif di siber kerana saya seorang perempuan. 

Berhadapan dengan penolakan kerana tidak diberikan restu waktu itu menjadikan bicara yang terungkap oleh tinta Bentala Kendiri bagaikan bisikan-bisikan kecil dengan nada keluhan oleh ketidak bolehan ahli persekitaran memahami minat dan keinginan saya untuk berjaya sebagai penulis.


Saya boleh diibaratkan bagaikan tertumpang di biduk tiris dek senda cemuh sehingga lulus tidak berselam, hilang tidak dicari.


Catatan ini adalah hadiah dari diri saya kepada diri saya sendiri sempena genab berusia empat puluh sembilan tahun pada hari ini.


Bahasa yang digunakan adalah bahasa kebangsaan bagi tanah air saya Malaysia.

Banyak isu yang tersirat sehingga tersurat hal-hal yang saya sendiri tidak dapat menerangkannya bagaimana semua ini bermula.

Ahmad Muttaqin, Siti Hanan, Ahmad Mustaqim dan Ahmad Hilman sewaktu menjadi pelajar di Doha Cambridge School pada tahun 2005.


Perletakkan gambar ini bagi membuktikan kami tinggal di Qatar sejak 21 November tahun 2005.

Adalah khilaf untuk memikirkan bahawa berkhidmat di negara arab seseorang itu upaya menyimpan banyak wang. Nasib seseorang itu tidak serupa di antara satu sama lain.


CATATAN DIKIRIM PADA 12/6/12.

Akar Akidah Tunjang Bentala Kendiri


Bentala itu bumi atau pun tanah.
Kita berdiri atas rumpun budaya, atas kendiri bentala yang bertunjang dari akar akidah.

Bila kita kenal diri tanpa menyisih fitrah azali di mana bumi dipijak,disitulah langit dijunjung, rahmat dan barakah Kekasih Allah Azzawajalla, Muhammad sallallah hu alaihiwassalam adalah janji untuk sekelian alam kerana iktikad yang sahih dalam menunjukkan cara beribadah. 

Janji Allah Ta'ala benar. Kita akan tertunduk lara jika cuba menyanggah apa yang tertulis di Loh Mahfuz. 

Kita kerap berkongsi dalam masalah untuk menilai. Menilai ini ada penyakitnya, penyakit untuk menentukan yang baik dan buruk.


 Masalah kepada menilai adalah krisis tidak tahu membaca mana yang benar dan yang mana yang salah, yang mana yang haq dan yang mana yang batil.

 Bagi menghindari berseliseh faham, bersalahan fikir sehingga berbantah kata, apakah kita perlu selalu bersetuju tanpa berfikir tentang akibat dan kesannya?

 Sesungguhnya kita sedar kita tidak dapat melakukan banyak perkara pada satu masa, misalnya untuk berjaya melakukan sesuatu yang baru, setelah melangkah tetapi berasa ragu-ragu kerana buntu celaru yang haru biru, dengan kata lain kita menemui persimpangan untuk memilih setelah melangkah. 

Kita perlu sedar sebenarya apabila kita telah mula berinteraksi dengan punca kepada sumber keraguan kita telah berjaya menjalin satu hubungan melalui komunikasi.


Kayu pengukur hubungan ini adalah mutu yakni kualiti yang dihasilkan oleh iktiqad.

 
Mutu kepada hubungan iktiqad disusun oleh ibadah yang dicernakan dari rukun-rukun iman dan rukun-rukun islam yang menatijahkan rasa kebertanggung jawaban.

Melaksanakan tanggung jawab dalam memenuhi kehendak adalah dua tindakan yang berbeza yang boleh disatukan dalam perlaksanaan.

 Persoalan yang perlu ditafsir ialah bagaimana melaksanakannya?

Inilah makna kendiri bentala tunjangnya akar akidah. Akidah itu yang membina diri untuk berkemandirian.