Khamis, 6 Jun 2013

Lingkaran Semalam

Monday, July 17, 2006

Lingkaran Semalam


Bersikap ekstrim dalam membetulkan persepsi supaya makna keadilan dapat dihayati adakalanya menuntut pengorbanan. Ia lahir bersama keinginan yang disuarakan samada dengan bicara bahasa atau bicara laku.

Persepsi yang berubah-ubah membuktikan ilham manusia tidak sempurna sepertimana perubahan iklim dan suhu dunia. 

Kebekuan salji diselidiki dikaji akan mencair menaikkan paras air di lautan...menenggelamkan beberapa daratan... urus tadbir Allah diakui secara tak sedar oleh manusia. 

Apa yang jarang dikaji selidik adalah bukti kesempurnaan Islam yang memperakui akal manusia yang terpimpin dengan akidah yang sahih akan terus mengalami perkembangan kreatif membangunkan kemanusiaan.

Pertarungan hanya milik berani mereka yang bertanggungjawab tidak sekadar memejamkan mata terhadap penyelewengan kesilapan yang mengorbankan harga dan maruah nilai diri.

Timbang taranya pada cerdas akal. 

Cerdas akal kerana tatasusila yang meninggikan nilai akhlak.

Penyakit oleh virus yang mudah merebak akibat dari menilai setiap sudut berpandu kepada hawa nafsu, membangunkan kelesuan lalu melumpuhkan pandangan dan keyakinan untuk menyedari manusia bukan dan tidak bersifat malaikat. 

Keutamaan membina interaksi menghubungjalinkan persefahaman sesama insan berupaya mendekatkan jurang perbezaan.

Miskin harta upaya berusaha. 

Miskin ilmu upaya menuntut. 
Miskin jiwa upayakah bercinta ? Miskin hati upayakah menurut ?

Pastinya kemiskinan adalah penyakit !

"Serulah manusia kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik dan debatah dengan cara yang baik. "

Perbuatan lebih tajam dari kata-kata. Setiap kesukaran tentu pastinya akan berakhir kerana kita perlu membenarkan bahawa kebaikan itu memutuskan lidah. Lantas jika kita berupaya menjadikan kemaafan buat musuh bermakna kita bersyukur pada keupayaan itu kerana ia anugerah Allah.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Permohonan Mengisi Jawatan Kosong
-----------------------------------------------------------
Satu ketika di zaman Khalifah Umar Al-Khattab (ra) ada seorang lelaki telah datang memohon untuk berkhidmat di salah satu jabatan.

"Datanglah kembali bersama seseorang yang mengenalimu."

Esoknya dia kembali bersama seorang teman.

"Apakah kamu mengenali lelaki ini ?",tanya Khalifah kepada teman lelaki itu.

"Ya, saya kenal."

"Apakah lelaki ini jiran kamu?"

"Tidak ya Khalifah."

"Apakah kamu pernah bersama-sama dengannya hingga kamu tahu dengan jelas tabiat dan tingkah lakunya?"

"Tidak," balas lelaki itu.

"Apakah kamu pernah meminta bantuan dengan meminjam wangnya sehingga kamu tahu bahawa dia takut dan menghindari dari mengambil yang haram?"

"Belum pernah," jawab lelaki itu.

"Apakah dia hanya kamu kenali ketika di masjid sahaja?"

"Ya."
"Nyata kamu tidak mengenalinya, kembalilah. "

Kepada lelaki yang memohon jawatan itu Khalifah memintanya datang semula dengan membawa orang lain yang benar-benar kenal dengan dirinya. 

Tragedi Tragik Yang Tragis Sebuah Demokrasi

Sunday, July 16, 2006

Tragedi Tragik Yang Tragis Sebuah Demokrasi


Kenang-kenangan bermaharajalela terhadap peristiwa-peristiwa lama yang sempat diimbas terhadap sesuatu yang pernah dikagumi di sesetengah lokasi kerana kelantangan penghuninya mempersembahkan tablorama dan dramatari yang sarat dengan isu kemanusiaan.

Di mana ada 'pencemaran' oleh kuman virus penyakit kuku besi, di situlah ada ' kuasa gagah' bersuara.

Serindit memahami amat mendalam dalam kecanggihan modenisasi sebagai kitaran yang tiada henti, sesiapa juga tidak terkecuali dari pernah tersalah silap dalam mengambil langkah dan sikap... keluh serindit di dalam diam, 'yang perlu disingkap tabirnya ialah apakah kesilapan itu sememangnya di sengajakan atau kerana sememangnya tidak mengetahui diri telah tersilap?

Serindit yakin apa sahaja pemikiran yang belum terbukti kebenarannya tidak sekali-kali salah untuk dijadikan transisi... bukan tidak biasa makna transformasi sesudah dihayati reformasi.. 

Apakah traumanya? 

Apakah perlukan sebuah tribunal untuk menjadi paksi arah mana yang melencung dari makna demokrasi?

Mana bicara demokrasi yang dicanang bersama rebana keliling penjuru alam.
Suara terbanyak utamakah atau kebenaran yang dibawa perlu menjadi agenda?

Kemajuan, benarkah menguasai kekuatan?
Keberanian, benarkah perlu dinafikan?
Kejujuran, apakah terus mahu disingkir?
Agama, apakah terus-terusan akan sudi dipinggir?

Serindit mahu demokrasi di istilah barukan... apakah keterlaluan?
Bukan kabur tiada teknologi baru upaya menerangkan...
Bukan tuli tiada isyarat bahasa untuk diterjemahkan...
Cuma bila bisu yang dipaksakan menjadi barah yang membawa kematian!

Perbezaan yang bagaimana baru jelas bahawa menjadi tuntutan untuk manusia bekerjasama saling bantu membantu bagi mencapai kebenaran dan kejayaan?

Serindit ingin mengibar sayap ke Rome....
Melihat tapak tempat Ceaser mengujarkan kata-kata,"Berikan hak Ceaser ( pemerintah ) kepada Ceaser. Berikan hak Tuhan kepada Tuhan (Gereja)."
Lama kemudian kalimah itu bertukar rangkap.
" Berikan hak Ceaser kepada Ceaser dan hak Tuhan kepada Ceaser. "

Jauh di sudut hati sepenuh jiwa serindit bersama saudara sebangsa memahat qalam Allah...

" Aku tidak jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu. " 

Aduhai Tempua

Friday, July 14, 2006

Aduhai Tempua


Serindit tidak mampu memahami bahasa Tempua meski mereka sama speasisnya...sama sebangsa.

"Mengapa tuan hamba masih enggan keluar dari sangkar ini?"

"Apakah sayapmu lemah atau telah gelitakah hatimu lantas tidak upaya memandang arah? "

"Hamba cuba menolak rasa jiwa ke dasar hati yang dalam, hamba hanya bersendirian ingin menikmati kebebasan, melihat alam tanpa tujuan, meski dalam kurungan namun hamba tidak terasa sebarang yang kurang."

"Apakah ukuran nilai antara hamba dengan ribuan mata yang tidak dapat memandang yang terpejam di dalam jaga yang sengsara tiada upaya mengkhabar berita apatah lagi untuk merisik berita...apakah mereka dikenang atau telah luput dari ingatan?..."

"Kepedihanmu tidak terluka se dalam deritaku. Siapa sahaja miliki hak memanggilku sebagai pengkhianat, pengganas, pencuri, pembuat onar, pembelot dan apa sahaja yang buruk dan hina aku diistilahkan begitu. 
Apakah rupaku ini rupa pengganas?..."

"Mengapa dek kerana segelintir yang lain berbuat salah, memahami perjuangan menurut kebenaran tafsiran dan sangkaannya, maka seluruh kami dikatakan jahat...jihad kalimat keramat, memandu arah dalam mentadbir kehidupan kami mengikut acuan akidah...memahat ad-een sebagai pegangan."

"Demi kerana ini kami sentiasa dihujani kilauan timah,emas, perak, diratah hidup-hidup dipaksa tapi kami tidak boleh memaksa."

"Kami sabar dengan yakin untuk bertawakkal kerana ini menjanjikan kemenangan. "

"Dalam mendapatkannya kami tidak berniat mengorbankan nyawa mereka yang lemah tidak berdosa..."

"Medan kami adalah sakinah..."

" Sempadannya kasih dan sayang..."

"Tembuknya adalah kejujuran..."

"Namun, aduhai Tempua..."

"Apakah yang menjadikan 'mereka' sentiasa menyamakan kami dengan mereka yang sentiasa sudi mengorbankan nyawa tanpa batasan?"

" Tempua..."

" Kami diizinkan mempertahankan diri."

" Namun itu tidak bermakna kami tidak berusaha mencari pilihan yang lebih bermanafaat."

"Sekatan, pemulauan, genjatan, bersilih ganti hidup kami ingin aturkan..."
" Bertahun kami dalam kesepian ..."
"Mereka' menafikan hak kami terang-terangan..."
"Kini bila ada yang mengasihi kami ada yang mahu mmbela kami, begitu nekad ' mereka ' memusuhi dan membenci kami."

" Entahlah Tempua..."

" Seakan- akan seriyal umpama sebutir peluru yang diguna buat membolosi hati dan jantung kami." 

Jauhari Insan Purbakalakah?

Thursday, July 13, 2006

Jauhari Insan Purbakalakah ?


Ubah dan baiki adalah kata kerja yang berbeda makna. Tatabudaya yang tidak meninggalkan ciri-ciri kejatian diri tidak mungkin dapat melarikan diri dari aspek kemanusiaan kerana kesejagatan kemanusiaan menghampiri ke arah fitrah asal penciptaan manusia memerlukan ibadah yang menyalurkan sandaran dan harapan kepada Penciptanya.

Penciptaan manusia yang sempurna bila dihala susur kepada peristiwa dan adegan yang berlaku di dunia kini, ternampak jelas kesempurnaannya telah tercemar dan jika benar usaha-usaha yang jujur tanpa serampang dua mata tidak difungsikan secara aktif, apa yang di khuatiri terhadap berlansungnya ' jenayah-jenayah terancang ' yang bersendi kekuatan ketenteraan ialah tidak mampu di hindari ketegangan yang mengakibatkan perpecahan di kalangan masyarakat setempat.

Simboliknya, fenomena yang teratur oleh Pencipta tidak mampu ' disahut ' oleh pentadbir-pentadbir dunia kerana ketiadaan hikmah dan tersasar dari kebenaran.
Rentetannya akan menyebabkan mereka yang sewajarnya dihukum akan terlepas tanpa dipertanggungjawabkan.

Tidak sekadar memahami dan menghormati bahawa manusia bebas berbuat apa yang dikehendakinya, tidak salah jika kita mula menghayati dengan penuh kesedaran bahawa manusia juga mesti dipertanggungjawabkan ke atas setiap perbuatannya.

' Wanita, orang tua dan kanak-kanak adalah antara mutiara yang tidak menyerlah sinarnya, hanya jauhari yang mengenal manikam, di sini letak harga dan nilai diri insan. '