Sabtu, 18 April 2015

Sukar Yang Susah

Tuesday, October 03, 2006


"Apa khabar dirimu? Semenjak kelmarin tidak banyak yang hamba dengar selain melihat gugur airmata teman-temanmu. Hamba semakin terasa lelah... kobar semangat meruntuh seiya sepakat kata... hamba juga gundah terasa duduk berseliseh bahu kini seakan jarak berbilang batu."


"Hamba sedang dan ingin juga mahu menilai mana saudara mana sahabat, mana yang hanya sekadar teman pengiring langkah.
Roboh kota... oleh nilai tafsir kata... seperti memungkinkan nyawa dan badan sebagai pertaruhan."


"Jika tidak di hirau sumbing senyum, dengarlah tangis anak dan isterimu."


"Tuan hamba tewas bukan di gelanggang... kalah di medan pertaruhan percaturan yang memungkinkan segala-galanya andai undang-undang Maha Hakim dikira mulia tetapi sebak di dada hamba ujarkan, kita dakwa hanya sesuai pada sekian-sekian ketika, sempurna hanya pada setengah-setengah manusia, manafaatnya dikira-kira dahulu labanya...."


"Sedari awal, terbang kita tidak berkawan-kawan... Kita tidak sama sekufu biarpun sama sebangsa... kita terbang bersendirian
 cuma sesekali
kita bersua, teman bukan semua sahabat dan sahabat tidak semua saudara, saling berkenal untuk bersapa apakah gugur hormat dan akan pudar bisa?"


"Benar... selama ini hamba cuma unggulkan kata setia tetapi tidak hamba hirau erti setia... hamba mara menyabung nyawa... hamba menyisir lembah mawaddah tatkala riak saudara sebangsa meminggir, hamba tersingkir..."


"Kita harus bebas dari cengkaman syak bercuriga. Andai tuan hamba dapat kuasai kesamaran yang selama ini menyelisehkan makna bebas, tuan hamba tidak akan terasa berat berhadapan dugaan..."


" Mahu ku tahu apakah selama ini hidupmu bertumpu pada sasaran ingin menang sahaja, atau ingin mengubah semata-mata, atau ingin bertaghyir sahaja atau ingin akidahmu sejahtera terpelihara untuk memelihara jiwa dan minda... amanah tanggungjawab yang amat berat redha Allah menjauhimu dari bencana."


"Pilihan di tanganmu Jelatik, semalam anak-anakmu berdoa di hujung kakimu... saudara sebangsa kita membisik merintih sayu melihat keadaanmu... muafakat membawa berkat. Hak tetap tidak akan tergugat jika dialog hati dan mindamu saling bertukar dengan minda dan hati anak-anakmu... usah biarkan isterimu sayu..."

----------------------------------------------------------------------------

Memutih kolam hati dengan putik-putik rasa... yang gugur oleh 'benarnya' rasialisme hingga kerasionalan sebagai pembelajaran mengutama tanggungjawab sebagai keperluan sering mahu di asing-asingkan.

Cerdas akal oleh ilmu bukan desak ransang untuk pengaruh oleh radang kuasa hingga tersebar dakyah bersarikata. 

Sikap orang yang
berpendirian ia mencari mendalami untuk memahami pengetahuan tentulah berbeza dengan orang yang sekadar mudah menyerah minta ditunjuk jalan.

Penguasa yang cinta ilmu ia mendidik agar rakyat tidak menjadi keliru. 

Mengujar tidak dengan hanya teori namun mengutamakan aksi kerana natijah telah ditinggal sebagai bukti... 

Andalusia, Sicille juga Cardoba bumi yang menjadi saksi.

Penjajahan fikiran akan terturas oleh roh ulamak, cendekiawan, ilmuan dan negarawan yang beriman.

Muhammad sallallah hu alaihiwassalam seorang yang ummi namun hatinya celik oleh ilmu yang dihayati menjadi amalan bukan semata-mata kerana baginda seorang nabi tetapi baginda adalah saksi makhluk di hadapan Ilahi.

Semakin Menjauh

Sayup sapaan mata lesu Jelatik menghiris sukma... apakah ia akan begini selamanya?

Tuhanku andai lemah dirinya berilah ia kekuatan,
andai parah luka sakitnya berilah penawar menyembuh sengsara...
andai... andai ... andai... airmata sudah semakin lebat.

"Serindit, sejenak kita menoleh kepada Jelatik seakan selamanya kita akan terus bertilik umpama tidak puas dahaga oleh embun setitik."

"Bagaimana hati tidak menangis bersendu talu oleh diri yang dihimpit ragu. Semakin terpinggirkah kebenaran dalam mencari saksama.
Terlindungkah hak oleh batil yang gagah menjenguk wajah...
tiada putuskah bicara lidah... yang kelunya adalah pada amal yang semakin menjauh jarak."


"Tafakurlah guna untuk istirehat jiwa... andai tuan hamba terasa lelah"

"Masih bersemi kuat mengikat hati kudrat pemberian Ilahi. Hiba ini sebentar sahaja... guna membina nekad minda. Untuk rasa gundah hingga lelah tidaklah ia mudah bersebati dengan diri... membazir masa tidaklah ia akan memberi rugi kerana apa yang ditempuhi adalah rasa senggang untuk menggilap lusuh hakikat diri."


"Hamba akur pada resahmu... kini kita semakin jauh dari nyaman udara angkasa, semakin kerap kita membina sarang semakin galak hujan angin menghempas menerbangkan sarang hingga pecah berselerakan... sisa yang tinggal untuk dibuang..."

"Melihat Jelatik sukar hamba bertilik dari tindas menghukum khilaf apakah pemikiran Jelatik irama dari nada tradisi demi isbat menghulur klasik ironi oleh gagal menukar maju moden alir langkah memikir."

"Maksudmu ... Jelatik masih berfahaman kampungan hingga ia tidak mampu mengolah suai selaras apa yang tuan hamba hasratkan.
Jelatik hanya seekor ayam sabungan... segarnya di fajar mega bersahutan kokok melaung gema... tahunya hanya mematuk empingan bertih bersama seteguk air menjelmakan kuasa tika berpecak silat di gelanggang. Jika baik untungnya, di redup suria ia bersuara, jika tidak akan terbiarlah ia disangkar durja... merawat luka buat mengumpul tenaga."

Tanpa sedar tanpa rasa resah asuhan minda sudah hilang arah lantaran tiada peka pada cabaran kuasa alih berpandangan.

Hati ini semakin sayu. 

Rentak-Rentak Luka

Sunday, October 01, 2006


"Sudah ku fikirkan kata-katamu, aku tidak akan membebaskan diri dari kurungan ini... di sini udara berbelerang adalah segar di rongga hiduku... "

(Seolah-olah sindiran buat kaum yang melindungi sifat ganasnya sendiri ke atas tindakan pembelaan diri kaum yang dijadikan mangsa.)

" Liat jiwamu menduga rasa di kalbuku. Lidahku ingin ligat mendasar liku, mataku melilau melihat likat airmatamu, mindaku kelu kuyu terhenyak oleh kutuk yang menyusut nilai di jasadku... "

" Serindit, akukah yang menyeleweng tatkala bersanggah hujjah denganmu... dalam upaya yang semakin pupus kudrat yang semakin putus... aku tetap membina tugu membilang waktu biarpun bersama sendu...
Aku tidak engkar pada makna setia bebas , kerana ia pilihan yang disajikan secara hormat... namun sayapku telah dirempuh dengan gopoh ... aku tidak bisa terbang lagi..."


"Jelatik, erti setia tidak semua mampu menghadamnya selagi mana tiada nokhtah untuk mata lahap mengadili
selagi itu erti setia tidak akan membawa apa-apa makna..."


"Mari ku hidangkan bertih jagung juga gandum untuk sarapanmu... "


"Hati-hati! Itu sisa kelmarin... dengan kulat ia bisa menjadi racun di ususmu... bercampur debu dedak luntur khasiat ... pasti tuan hamba semakin menjauh dari nikmat sihat.."


"Barangkali tuanmu menyimpan terlalu banyak empingan bertih jagung dan gandum untuk menunggu untung bila harga merundum, perubahan suhu dan ketidak tentuan iklim hanya merosakkan bertih-bertih emping ini...andai ia bermotif, berolahlah perut kita, ini bukan dakwa tapi fakta ukur selidik kaji..."


"Biarlah Serindit, Jelatik hanya perlukan air dan istirehat. Membetulkan salah dan silap ia tidak menyelewengkan kewajipan untuk terus setia, Jelatik. Cuma akibat dari penanggungan rasa sesal sesudah berkali-kali minta di amati, agar usah memilih untung sendiri ... pilihah jua faedah segenerasi... seakan-akan memberi tanda perlu kita bertindak menurut hukum... hukum pada jenayah yang menjadi resam lemah diri.
Taakullah dengan adil, ia tidak mampu merubah andai terus rasa bersalah ... tersudut pasti kreatifmu bertimbang tanpa tuju. "


"Tuan hamba perlu tidak terus ditekan mindanya bagi meraikan nikmat bebas bila terserlah jujurmu tidak berpura-pura ... Peri lakumu memelihara luhur, adab dan laku, ideal juangmu tidak mengeruhkan jernih sahih akidahmu..."

"Hingga lemah lesu seluruh badan tanpa dapat nikmat makanan lalu sakit dalam rintihan... Tidakkah ini akan menguburkan nilai kehaiwanan kita ? "


"Tempua, mengambil sikap membisu sahaja hanya akan menghancurkan bangsa kita. Tepukah ingin dicipta pada anak bangsa yang kian menghujjah berbagai dakwa... terhadap global antara bangsa lunaknya seindah kata sedang ia menyulit akar budaya bangsa kerana pinggir kebenaran agama... maaruf dan mungkar sudah sepi oleh syariat tidak berani diungkapi apalagi untuk dihayati... kerana kita gentar pada bicara yang benar setiap kali beraksi... sedang bila detik hancur tiba... yang baik juga yang berdosa tetap akan menerima bahana..."


Hatikah yang mahu diadili? 

Manhaj Kekasihku

Friday, September 29, 2006


Ayam yang disabung itu kerap mengumpul kudrat antara teriak dan jerit, lesu dan sakit, pitam pudar pandangan berkelam-kelam setelah hangat suria tiada diendahkan oleh khalayak di persabungan oleh keashikan...haiwan yang kesakitan tiada diendahkan.

Hinggalah yang tewas disangkar semula dalam kurungan ... terkapar-kapar angkara sadis patuk dan cakaran.


"Hiba hatiku melihat dirimu merana begini duhai Jelatik... sudah ku khabarkan pergilah membawa dirimu ke belantara sunyi... putuskan ikatan yang membelenggumu... yang membuat dirimu kaku hingga kau sentiasa membatu diam membisu ... "


"Nasib burung sebangsa kita hasrat yang benar sentiasa dicuriga ... lelah kita berpaksa menimba duka...letih orang dek sarat diduga laba... batin kita menunduk lara... batin orang ria merdeka..."


"Bersuaralah Jelatik, agar ku tahu kau tidak tewas mengalah demi menebus maruah biarpun telah berselerak carik biring bulu-bulumu..."



"Serindit, Tempua ... berbicaralah kelian, meski aku diam hatiku mendengarnya..."


"Moyang"ku pasti kembali di barakah Ramadhan menyaksi sajian rintis sejarah gemilang namun keturunannya tetap menjadi dagang terbuang..."



" Tidak! Usahlah ingin menyiksa diri dengan kata-kata hina mencela diri, bencana tanggungan generasi ke generasi mesti dihenti! "

" Tuan hamba lupa bagaimana duka melihat bangsa derita hingga sebelum menjadi rasul, nabi kita Musa alaihissalam pernah mengorbankan satu jiwa? "

"Ya, lantaran tidak betah melihat tindas yang menyonsang damai... kejam menular ibarat bara di dalam sekam ... api tiada, panas yang terasa ... "

"Benar, inilah yang hamba runsingkan. Pengulangan dari kebiasaan hingga tiada batas oleh keinginan hingga penguasaan acapkali adalah kebenaran..."

"Andai kicau hamba adalah suara, akan hamba laungkan untuk benua berpenghuni manusia... bahawa cinta adalah senjata bahagia... bukan sukar untuk diperdagang jual... tidak pula menjadi sisa jika ditinggal masa. Ia sumber dari cahaya kerana di dalam hati semua manusia ada hasrat ingin berjasa... fitrah bekal dari saat nuthfah menjadi mudhghah tempuh empat puluh hari adalah bilangan kasih dari Allah Taála buat hamba-hambaNya... Hikmah jazirah ini, barakah telah mengumandangkan bahawa Kekasih Allah Sallallah hu alaihiwassalam tidak pernah kecewa... tidak berbalas sengketa hatta menyimpan rasa untuk beradu kata ... tidak juga terasa aib pilu oleh malu... kerana penyampaian baginda tidak menurut sukat selera... ia sederhana... tetapi benar lantaran cinta Ar-Rahman dan Ar-Rahim.  Yang manakah salah di manakah yang khilaf, tatkala Kekasih Allah Sallallah hu alaihiwassalam  hanya mahukan kesemuamanusia beroleh bahagia ... sama-sama menghulur mesra oleh merdeka yang suluhnya merata menyinar cahaya ... lalu disanggah oleh bebas bersuara oleh kemahuan jiwa... sahut nyaringnya hanya duka... sedang ilmu tidak begitu sewajarnya bicara..."



" Sayang sekali tuan hamba hanya seekor burung yang kerdil... masa kini tidak mahu orang mendengar bicara tanpa menyelidik siasat empunya suara kerana afdalnya adalah atas semangat apa ia dituturkan kata, label pakaian mana yang membalut jasadnya, rupa wajah berkancah variasi atau ' sefesyen ' sahaja...."



" Senyumku larut pada derita Jelatik wahai Tempua..."

Rungkaian Yang Rumit

Friday, September 29, 2006

 
Bicara adalah suara. 
Suara dari jiwa. 
Jiwa menyentuh minda. 
Minda mengadun berjuta rasa.

Menjauhi syak curiga menghitung rumit yang rugi memerangkap waspada menjelma upaya. 
Layar mega gelap cerah suram menyinar cahaya ekuinoks melatar fajar evolusi.

Klausa mengobar kata membenih imaginasi hingga mengelabui pelangi senja... indah namun tiada bercahaya.

Sesudah berturutan gema memantul sumbang nada... kerangka manusia mendajjal individu lalu dipuja bisu sedang ia menghimpit keliru...

Lumrah bila bertilik teori... ilmiah adalah normal bilamana dalil kerap berubah suai mencari adil... seperti citrawara purbakala kisah Sang Sakuriang dengan Odipus ..."


Hati bila jernih pantulannya membuka lubuk nurani insan. 

Terlupa Lalu Teruja

Wednesday, September 27, 2006



Santunan minda menceria jiwa terpegun sukma tatkala diri menekan kesungguhan agar Andalusia menjadi replika, terawang di fikir dipejam mata jantung pula merenyut... berbudi kiranya Andalus di benua Tudor dan haruman segar Tulip yang beranika warna...

Terpaku renyah di mata akal merayau menyelinap berorientasi menepis renyuk untuk reparasi agar tidak terjadi repatriasi... kerana yang pasti repetisi antara proses yang melelahkan...

Lalu pancarkanlah bual yang tidak bercela seperti misalnya tanpa puji dan puja tidak juga jika bersama caci yang cela... harus tidak meruntuh apa yang dibina ... kombinasi urai untuk cantum... jernih untuk resapan bersih mendekati yang berjarak menghimpun yang berselerak.

Agar bungkah yang bersegi dapat di dimensikan dengan harapan moga terbundar juzuk-juzuk dek terlalai ia di cerakinkan. Cerbis celaan biarlah sekadar sebagai kicauan siulan si ceriwit yang merungut bukan tanda cerewet,sekadar hanya membenarkan hukum hak bebas diri hadirnya bersama demokrasi.


Rempuhan para delegasi mendelik mata hitam yang berseri putih tatkala demam bervirus tidak kebah telah berabad lama... kerana hubungan yang sekadar melepasi hajat naluri... lantas perlu di orak langkah agar hidup berdestinasi lebih produktif serius untuk sentiasa kreatif. 
Aktif dalam acara kebajikan beriring mulia budiman
yang dermawan agar sosial tidak terlepas dari lingkungan politik dan ekonomi sehingga individu tidak lagi hidup menyendiri.

Mengarah dengan niat untuk melaksanakan penyerahan diri agar selamat duniawi dan ukhrawi.
 Jujur adalah juara amanah kerana yakin Islam agama yang berperanan sebagai pencetus ketentuan yang menyeimbangkan kehendak dan tanggung jawab jiwa manusia.

Setelah sekian lamanya generasi saling dilahirkan, pengalaman yang bagaimanakah upaya menambah maju darjat manusia? 

Jiwa Yang Menjejak

Friday, September 15, 2006



Bagaimanakah caranya untuk mendapatkan teladan bagi meransang kasih sayang di dalam jiwa kanak-kanak?

Imbasan soalan seorang penceramah yang masih diingati ketika menghadiri kursus berkaitan emosi kanak-kanak.

Guru dan pelajar mengajar untuk belajar supaya menjadi terpelajar. Ragam ayat mempengaruhi emosi kerana disebut dalam minda tenang mesra untuk lahirkan rasa enak dan girang.

Harmoni adalah keseimbangan minda dan hati. Sukar untuk mewujudkannya jika guru selaku pendukong utama tidak bersedia berfikiran terbuka bertolak ansur untuk mengubah sikap semasanya.

Kanak-kanak syaksiahnya berbeza... ia menjanjikan risiko... iaitu jika tiada minat yang tinggi, guru secara tidak disedari berupaya menyalurkan bijak yang kurang hikmah... misalnya letih guru jika terzahir, bosan jemu anak-anak terungkap dalam laku yang agresif. 

Bila agresif ia membawa kepada perlaksanaan menghukum yang menerbitkan pertikaian. 

Guru sering terlupa anak-anak memerhati untuk mengamati.

Lantaran itu merealisasikan cenderung minat untuk mengasihi dengan jujur pasti akan menyalurkan cabaran minda untuk berinteraksinya antara akal dan hati... agar segar harmoni berkomunikasi. Tanpa komunikasi hubungan hanya sehala biarpun ada perantara!


Guru wajar menyebar kasih dengan tabah dan sabar agar lahir nilai mulia untuk dicetak ulang oleh jiwa anak-anak didiknya. 

Mulianya guru kerana sentiasa bersedekah ilmu dan bimbingan, teladan dan simpati kasih sayang.

" Setiap seruas tulang dari seluruh manusia itu harus memberikan sedekahnya pada setiap hari yang menerbitkan fajar. Mendamaikan dengan cara yang adil di antara dua orang yng bersengketa adalah sedekah, membantu saudaranya dengan mengangkat beban barangannya adalah sedekah, ucapan yang baik adalah sedekah, setiap langkah untuk solat adalah sedekah, menghilangkan perkara yang menghalang di jalan juga sedekah. "