Sabtu, 18 April 2015

Manhaj Kekasihku

Friday, September 29, 2006


Ayam yang disabung itu kerap mengumpul kudrat antara teriak dan jerit, lesu dan sakit, pitam pudar pandangan berkelam-kelam setelah hangat suria tiada diendahkan oleh khalayak di persabungan oleh keashikan...haiwan yang kesakitan tiada diendahkan.

Hinggalah yang tewas disangkar semula dalam kurungan ... terkapar-kapar angkara sadis patuk dan cakaran.


"Hiba hatiku melihat dirimu merana begini duhai Jelatik... sudah ku khabarkan pergilah membawa dirimu ke belantara sunyi... putuskan ikatan yang membelenggumu... yang membuat dirimu kaku hingga kau sentiasa membatu diam membisu ... "


"Nasib burung sebangsa kita hasrat yang benar sentiasa dicuriga ... lelah kita berpaksa menimba duka...letih orang dek sarat diduga laba... batin kita menunduk lara... batin orang ria merdeka..."


"Bersuaralah Jelatik, agar ku tahu kau tidak tewas mengalah demi menebus maruah biarpun telah berselerak carik biring bulu-bulumu..."



"Serindit, Tempua ... berbicaralah kelian, meski aku diam hatiku mendengarnya..."


"Moyang"ku pasti kembali di barakah Ramadhan menyaksi sajian rintis sejarah gemilang namun keturunannya tetap menjadi dagang terbuang..."



" Tidak! Usahlah ingin menyiksa diri dengan kata-kata hina mencela diri, bencana tanggungan generasi ke generasi mesti dihenti! "

" Tuan hamba lupa bagaimana duka melihat bangsa derita hingga sebelum menjadi rasul, nabi kita Musa alaihissalam pernah mengorbankan satu jiwa? "

"Ya, lantaran tidak betah melihat tindas yang menyonsang damai... kejam menular ibarat bara di dalam sekam ... api tiada, panas yang terasa ... "

"Benar, inilah yang hamba runsingkan. Pengulangan dari kebiasaan hingga tiada batas oleh keinginan hingga penguasaan acapkali adalah kebenaran..."

"Andai kicau hamba adalah suara, akan hamba laungkan untuk benua berpenghuni manusia... bahawa cinta adalah senjata bahagia... bukan sukar untuk diperdagang jual... tidak pula menjadi sisa jika ditinggal masa. Ia sumber dari cahaya kerana di dalam hati semua manusia ada hasrat ingin berjasa... fitrah bekal dari saat nuthfah menjadi mudhghah tempuh empat puluh hari adalah bilangan kasih dari Allah Taála buat hamba-hambaNya... Hikmah jazirah ini, barakah telah mengumandangkan bahawa Kekasih Allah Sallallah hu alaihiwassalam tidak pernah kecewa... tidak berbalas sengketa hatta menyimpan rasa untuk beradu kata ... tidak juga terasa aib pilu oleh malu... kerana penyampaian baginda tidak menurut sukat selera... ia sederhana... tetapi benar lantaran cinta Ar-Rahman dan Ar-Rahim.  Yang manakah salah di manakah yang khilaf, tatkala Kekasih Allah Sallallah hu alaihiwassalam  hanya mahukan kesemuamanusia beroleh bahagia ... sama-sama menghulur mesra oleh merdeka yang suluhnya merata menyinar cahaya ... lalu disanggah oleh bebas bersuara oleh kemahuan jiwa... sahut nyaringnya hanya duka... sedang ilmu tidak begitu sewajarnya bicara..."



" Sayang sekali tuan hamba hanya seekor burung yang kerdil... masa kini tidak mahu orang mendengar bicara tanpa menyelidik siasat empunya suara kerana afdalnya adalah atas semangat apa ia dituturkan kata, label pakaian mana yang membalut jasadnya, rupa wajah berkancah variasi atau ' sefesyen ' sahaja...."



" Senyumku larut pada derita Jelatik wahai Tempua..."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan