Sabtu, 5 Disember 2015

Permohonan Mengisi Jawatan Kosong


Satu ketika di zaman Khalifah Umar Al-Khattab (radiallah hu anha) ada seorang lelaki telah datang memohon untuk berkhidmat di salah satu jabatan kerajaan.


"Datanglah kembali bersama seseorang yang mengenalimu, pinta Khalifah Umar Al-Khattab."


Esoknya dia kembali bersama seorang teman.


"Apakah kamu mengenali lelaki ini ?",tanya Khalifah kepada teman lelaki itu.

"Ya, saya kenal beliau."

"Apakah lelaki ini jiran kamu?"

"Tidak ya Khalifah."

"Apakah kamu pernah bersama-sama dengannya hingga kamu tahu dengan jelas tabiat dan tingkah lakunya?"

"Tidak," balas lelaki itu.

"Apakah kamu pernah meminta bantuan dengan meminjam wangnya sehingga kamu tahu bahawa dia takut dan menghindari dari mengambil yang haram?"

"Belum pernah," jawab lelaki itu.

"Apakah dia hanya kamu kenali ketika di masjid sahaja?"

"Ya."


"Ternyata sebenarnya kamu tidak mengenalinya, pulanglah.. "


Kepada lelaki yang memohon jawatan itu Khalifah memintanya datang semula dengan membawa orang lain yang benar-benar kenal dengan dirinya. 

Lingkaran Semalam

Bersikap ekstrim dalam membetulkan persepsi supaya makna keadilan dapat dihayati adakalanya menuntut pengorbanan. 
Ia lahir bersama keinginan yang disuarakan samada dengan bicara bahasa atau bicara laku.


Persepsi yang berubah-ubah membuktikan ilham manusia tidak sempurna sepertimana perubahan iklim dan suhu dunia. 


Kebekuan salji diselidiki dikaji akan mencair menaikkan paras air di lautan...menenggelamkan beberapa daratan... urus tadbir Allah diakui secara tidak sedar oleh manusia yang berproaktif menguruskan kekayaan dunia tanpa sedar Ar-Rabb turut menguruskan hal-hal alam yang menjadi milikNya.

Apa yang jarang dikaji selidik adalah bukti kesempurnaan Islam yang memperakui akal manusia yang terpimpin dengan akidah yang sahih akan terus mengalami perkembangan kreatif membangunkan keinsanan setelah membaik pulih nilai kemanusiaan.

Pertarungan hanya milik mereka yang berani bertanggungjawab tidak sekadar memejamkan mata terhadap penyelewengan kesilapan yang mengorbankan harga dan maruah nilai diri manusia.

Timbang taranya pada cerdas akal setelah wahyu-wahyu langit menegaskan orang yang beriman itu adalah orang-orang yang sering memikirkan kejadian langit dan bumi oleh kecerdasan aqal mereka. 

Cerdas akal kerana tatasusila yang meninggikan nilai akhlak apabila Ar-Rabb menjadikan Al-Quran dalam bahasa arab agar kamu mengerti. 

(Namun mengapakah bukan pemilik bahasa ini yang kelihatan seolah-olah lebih mengerti?)

Penyakit oleh virus yang mudah merebak akibat dari menilai setiap sudut berpandu kepada hawa nafsu, membangunkan kelesuan lalu melumpuhkan pandangan dan keyakinan untuk menyedari manusia bukan dan tidak bersifat malaikat. 

Keutamaan membina interaksi menghubungjalinkan persefahaman sesama insan berupaya mendekatkan jurang perbezaan.

Miskin harta upaya berusaha. 

Miskin ilmu upaya menuntut. 

Miskin jiwa upayakah bercinta ? Miskin hati upayakah menurut?

Pastinya kemiskinan adalah penyakit!

"Serulah manusia kepada jalan Ar-Rabbmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik dan berdebatlah dengan cara yang baik. "

Perbuatan lebih tajam dari kata-kata. Setiap kesukaran tentu pastinya akan berakhir kerana kita perlu membenarkan bahawa kebaikan itu memutuskan lidah. Lantas jika kita berupaya menjadikan kemaafan buat musuh bermakna kita bersyukur pada keupayaan itu kerana ia anugerah Allah.


Tragedi Tragik Yang Tragis Sebuah Demokrasi

Kenang-kenangan bermaharajalela terhadap peristiwa-peristiwa lama yang sempat diimbas terhadap sesuatu yang pernah dikagumi di sesetengah lokasi, kerana kelantangan penghuninya mempersembahkan tablorama dan dramatari yang sarat dengan isu kemanusiaan.


Di mana ada 'pencemaran' oleh kuman virus penyakit kuku besi, di situlah ada ' kuasa gagah walaupun kecil'  bersuara.


Serindit memahami amat mendalam dalam kecanggihan modenisasi sebagai kitaran yang tiada henti, sesiapa juga tidak terkecuali dari pernah tersalah silap dalam mengambil langkah dan sikap... 


Keluh Serindit di dalam diam, 'yang perlu disingkap tabirnya ialah apakah kesilapan itu sememangnya di sengajakan atau kerana sememangnya tidak mengetahui diri telah tersilap?

Serindit yakin apa sahaja pemikiran yang belum terbukti kebenarannya tidak sekali-kali salah untuk dijadikan transisi... bukan tidak biasa makna transformasi sesudah dihayati reformasi.. 

Apakah traumanya? 

Apakah perlukan sebuah tribunal untuk menjadi paksi arah mana yang melencung dari makna demokrasi?

Mana bicara demokrasi yang dicanang bersama rebana keliling penjuru alam.


Suara terbanyak utamakah atau kebenaran yang dibawa perlu menjadi agenda?

Kemajuan, benarkah menguasai kekuatan?
Keberanian, benarkah perlu dinafikan?
Kejujuran, apakah terus mahu disingkir?
Agama, apakah terus-terusan akan sudi dipinggir?

Serindit mahu demokrasi di istilah barukan... apakah ianya keterlaluan?
Bukan kabur tiada teknologi baru upaya menerangkan...
Bukan tuli tiada isyarat bahasa untuk diterjemahkan...
Cuma bila bisu yang dipaksakan menjadi barah yang membawa kematian!

Perbezaan yang bagaimana baru jelas bahawa menjadi tuntutan untuk manusia bekerjasama saling bantu membantu bagi mencapai kebenaran dan kejayaan?

Serindit ingin mengibar sayap ke Rome....


Melihat tapak tempat Caeser mengujarkan kata-kata:

"Berikan hak Caeser (pemerintah) kepada Ceaser. Berikan hak Tuhan kepada Tuhan (Gereja)."

Lama kemudian kalimah itu bertukar rangkap.


"Berikan hak Ceaser kepada Ceaser dan hak Tuhan kepada Ceaser. "

Jauh di sudut hati sepenuh jiwa Serindit bersama saudara sebangsa memahat qalam Allah...

" Aku tidak jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu." 

Aduhai Tempua

Serindit tidak mampu memahami bahasa Tempua meski mereka sama speasisnya...sama sebangsa walau berbeza usia.


"
Mengapakah cik hamba masih enggan keluar dari sangkar ini?"
Apakah sayapmu lemah atau telah gelitakah hatimu lantas tidak upaya memandang arah?"

"
Hamba cuba menolak rasa jiwa ke dasar sanubari hati yang dalam, hamba hanya bersendirian ingin menikmati kebebasan, melihat tujuan alam diciptakan, meski dalam kurungan namun hamba tidak terasa sebarang yang kurang.

"
Apakah ukuran nilai antara menjadi hamba dengan ribuan mata yang tidak dapat memandang yang terpejam di dalam jaga, yang sengsara tiada upaya mengkhabar berita apatah lagi untuk merisik khabar...apakah mereka dikenang atau telah luput dari ingatan?..."

"
Kepedihanmu tidak terluka sedalam deritaku. Apakah sesiapa sahaja miliki hak memanggilku sebagai pengkhianat, pengganggu, pencuri, pembuat onar, pembelot, pemuslihat dan apa sahaja yang buruk dan hina aku diistilahkan begitu?Apakah wajahku ini wajah seorang pendusta??...


Mengapa dek kerana segelintir yang lain berbuat salah, memahami perjuangan menurut kebenaran tafsiran dan sangkaan dugaan, maka seluruh kami dikatakan jahat...jihad kalimat dari sumber yang hak, memandu arah dalam mentadbir kehidupan kami mengikut acuan akidah...memahat ad-een sebagai pegangan.

Demi kerana inikah kami ditawarkan untuk sentiasa dihujani kilauan timah,emas, perak yang kini menjadi sebahagian dari salutan pada radas komunikasi, setelah diratah hidup-hidup, dipaksa tapi kami tidak boleh memaksa, diusir kerana sempadan menjadi cagaran untuk ditebus guna sehingga kami menjadi pelarian??


Kami sabar dengan yakin untuk bertawakkal kerana ini menjanjikan kemenangan meski tidak diraih di dunia ia dipastikan dapat diraih di akhirat! ."

Masihkah mereka tidak menyedari dalam usaha bagi mendapatkannya kami tidak berniat mengorbankan nyawa mereka yang lemah tidak berdosa, tidak wanita dan kanak-kanak dijadikan mangsa meskipun tata layar skrin berskripkan para gadis dan wanita dituntut untuk syahid dengan peledak mortar yang sesungguhnya di antara mereka itu bukan dari kalangan kami dan ianya kesan dari kekecewaan kerana tidak diberikan ruang untuk menikmati udara yang damai, untuk berasa aman dan terjamin keselamatannya apabila berada di luar pintu rumah mereka!!!!...

Medan kami adalah sakinah...

Sempadannya kasih dan sayang...

Tembuk dan dindingnya adalah kejujuran...


"
Namun, aduhai Tempua..."


"
Apakah yang menjadikan 'mereka' sentiasa menyamakan kami dengan khalayak yang sentiasa sudi mengorbankan nyawa tanpa batasan walaupun ke atas usia yang tua untuk layak dilihat sebagai ibu dan bapa mereka sendiri, ke atas gadis, wanita dan kanak-kanak yang tidak bersenjata tanpa pakaian seragam menyaluti tubuh mereka?"

"
Tempua...


Kami diizinkan mempertahankan diri.
Namun itu tidak bermakna kami tidak berusaha mencari pilihan yang lebih bermanafaat.

Sekatan, pemulauan, genjatan, bersilih ganti hidup kami ingin aturkan...


Bertahun kami dalam kesepian ...


Mereka' menafikan hak kami terang-terangan...


Kini bila ada yang mengasihi kami ada yang mahu mmbela kami, begitu nekad ' mereka ' memusuhi dan membenci kami.

" Entahlah Tempua.
.."

"Seakan- akan seriyal umpama sebutir peluru yang diguna buat membolosi hati dan jantung kita." 

Jauhari Insan Purbakalakah?

Ubah dan baiki adalah kata kerja yang berbeda makna. 

Tata budaya yang tidak meninggalkan ciri-ciri kejatian diri, tidak mungkin dapat melarikan diri dari naluri kemanusiaan kerana kesejagatan kemanusiaan itu menghampiri ke arah fitrah asal penciptaan manusia yang memerlukan ibadah bagi menyalurkan sandaran dan harapan kepada Ar-Rabbnya sebelum bergelar insan.

Penciptaan manusia yang sempurna bila dihala susur kepada peristiwa dan tragedi yang berlaku di dunia kini, ternampak jelas kesempurnaannya telah tercemar.


 Dan jika benar usaha-usaha yang jujur tanpa serampang dua mata (semata-mata kerana Allah dan mendapat keredhaannya) tidak difungsikan secara aktif, apa yang di khuatiri terhadap berlansungnya ' jenayah-jenayah terancang ' yang bersendi kepada kecapaian perluasan teknologi ketenteraan ialah, kita tidak mampu menghindari ketegangan yang mengakibatkan perpecahan di kalangan masyarakat setempat di dalam sebuah negara.

Simboliknya, fenomena yang teratur oleh Pencipta tidak mampu ' disahut ' oleh pentadbir-pentadbir dunia kerana ketiadaan hikmah dan tersasar dari kebenaran.


Rentetannya akan menyebabkan mereka yang sewajarnya dihukum akan terlepas tanpa dipertanggungjawabkan.

Tidak sekadar memahami dan menghormati bahawa manusia bebas berbuat apa yang dikehendakinya, tidak salah jika kita mula menghayati dengan penuh kesedaran bahawa manusia juga mesti dipertanggungjawabkan ke atas setiap perbuatannya.

' Wanita, orang tua dan kanak-kanak adalah antara mutiara yang tidak menyerlah sinarnya, hanya jauhari yang mengenal manikam, di sini letak harga dan nilai diri insan. '
 

Raja Adil Raja DiKasihi

Kicauan yang bergema memandu Serindit menghampiri pinggiran sepi yang terkurung di dalamnya seekor Tempua kecil yang sedang menajam paruh kerana perut telah terisi kerongkong telah basah... 

Berkedip-kedip mata Serindit tatkala bertentang mata dengan Tempua kecil... ' ayuh mari kita terbang bersama... akan ku temani pemergianmu dari sangkar ini... '

Serindit merenung bersendirian melihat kerabat sebangsa yang jauh hingga menyentuh hati.

Serindit cuma mahu bebas mematuk-matuk bijirin yang dulunya begitu mudah ditabur oleh pejalan kaki atas sikap pemurah... 


Serindit juga mahu bebas menghirup air yang dulunya ditakung khusus untuknya menghilang dahaga setelah jauh terbang membelah angkasa...

Serindit sedar kini, helang yang mengawasi angkasa hanya tinggal bayang-bayang...

Kesunyian mencengkam hati serindit...

'Seperti makhluk lain Serindit juga teringin bersama sanak saudara... yang ada kekuatan kerana akrab kasih kerana ikrab sayang... kerana Serindit biarpun hanya seekor haiwan kecil  ia juga tunduk dan patuh pada tuntutan Pencipta, ingin berkasih sayang apabila ia anugerah fitrah Ar-Rabb yang Esa.'

Biar dengan kicauan yang lemah namun nyaring Serindit hijau berbicara di jiwa... agama itu asas dan kerajaan adalah pengawal...jika sesuatu tidak mempunyai asas yang mengukuh kekuatan akan rebahlah ia... sesuatu yang tidak ada pengawal akan hilanglah juga ia....'

Serindit tetap mahu terbang sambil berkicau-kicau melagu apa sahaja yang bisa mendamaikan jiwa.


---------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Kini dari hanya miliki tiga anak teruna tanpa diduga Allah 'menganugerah' seketika tiga lagi anak teruna yang tampan untuk menjadi anak-anak saya apabila mereka kerap mengunjungi rumah kami.

Sering saya tidur lewat malam menjadi pembuka pintu, membakar pizza di tengah malam... bila mereka tidak tidur saya juga perlu berjaga... sebelum mereka tidur seteko nescafe dengan gorengan ayam sering menjadi buah kasih antara kami...

(Uzeir yang kini di Canada, Ali seorang usahawan dan Haytem antara yang masih diingati)

Semalam mereka belumba-lumba bercerita tentang pengalaman mereka ketika menonton acara piala dunia di sebuah ' warung syisya ' secara ringkas difahami. 

(Saya tidak dapat mengesahkannya kerana ianya kisah yang tidak dialami oleh saya)

Seorang lelaki tua yang berseri wajah begitu ashik bersama anak-anak itu menonton acara dari peti televisyen.
Tanpa di sangka-sangka beberapa anak muda yang gagah tampan menyambar alat kawalan jauh menukar-nukar rangkaian stesyen tanpa silu..

Lelaki tua ini dengan rasa hormat meminta izin supaya di kembalikan rangkaian acara piala dunia...(saya tidak pasti - ianya acara bola untuk kejohanan apa)

'Aaaaaaaaahhhhhhhhhh! ' kata anak sulong saya yang ketika itu berusia lapan belas tahun, begitu durjana karenah anak-anak muda yang mungkin berpangkat abang kepada mereka...sambil menyergah marah meninggi suara menunjal jari ke muka lelaki tua bahkan ada yang dengan sadisnya menampar pipi lelaki tua tadi (ianya hanya tamparan lembut yang biasa dilakukan sesama mereka yang sebaya) ...membantah permintaan yang sopan penuh adab.

' Sedih emak... pakcik tu cuma menjawab dengan tenang, Allah akan membalas setiap perbuatan mu! '


' Makcik, kami menganggap ini pendidikan buat kami untuk lebih menyedari Allah sentiasa kasih pada mereka yang teraniaya...' 


Bagai di cita saya menokok tambah, 'Ini perubahan ini kurniaan buat kamu semua. Mulakan dengan menjadi anak yang taat...berusaha menjaga solat yang lima, jujur pada diri usah bertingkah pada perkara yang kecil, saling mengasihi dan menghormati.'

Saya tidak boleh berujar panjang apabila masing-masing sudah mula menguap.


..'Pergilah tidur, tengah hari nanti kita makan nasi lemak bersambal udang!...' 

Badmintonlah Pula

Apabila melihat anak mula membelek raket tenis abahnya, saya mula memasang angan-angan mahu mencari dewan untuk bermain badminton sambil terimbas semula dahulunya saya handal juga dalam permainan ini semasa bersekolah dahulu. 

Ketika itu saya hanya  mewakili sekolah  ketika bersekolah di Sekolah Kebangsaan Jalan Low Ti Kok Kajang. Waktu itu Cikgu Yahya yang  bertangungjawab ke atas pasukan bulu tangkis sekolah. Antara rakan sepasukan yang masih dingati ialah Zainab binti Buang. 

Malangnya kami tidak pernah menang.

Selain dari Cikgu Yahya cikgu-cikgu yang masih dingati yang mengajar kmi di sekolah Kebangsaan Jalan Low Ti Kok antara tahun 1973  sehingga tahun 1975 adalah allahyarhamah Cikgu Fatimah Hj Hassan, Cikgu Mustpaha Rafie, Cikgu Normah, Teacher Mariadas, Cikgu Aminah dan Cikgu Abdul Jalil. 

Saya tidak mengetahui apakah guru-guru saya ini masih boleh ditemui kembali atau tidak.

Namun alhamdulilah saya masih dapat menemui beberapa orang rakan sepersekolahan dahulu di facebook iaitu Puan Norhanizah Kudus. Puan Rossilawati Abdullah dan Puan Fatimah Anuar.


Berbalik semula kepada permainan badminton, saya masih ingat lagi ketika itu hanya China dan Indonesia sahaja yang mengungguli permainan sukan ini.

Badminton mempunyai nilai seni permainannya yang tersendiri... berstrategi, semakin lama pertarungannya berlansung di situlah kejaguhan sebenar pemain terserlah. 

Hantaran tinggi, pendek, menjunam, perlahan di depan jaring, melintang, diakhiri dengan 'smash' yang kencang memberi kutipan mata.



Hantaran-hantaran tidak boleh keluar dari gelanggang menjadikan permainan badminton memerlukan penumpuan seluruh sudut... dari saat berinteraksi dari mata ke mata dengan pihak lawan di awal permainan... hinggalah membantah keputusan pengadil jika berat sebelah.

Kombinasi yang bersefahaman pula adalah paling penting untuk menentukan rentak permainan beregu... perlu bertolak ansur, saling memberi ruang dan mencari peluang bagi mengutip mata demi mata untuk mendapatkan kemenangan.

Apabila semakin sukar rentak ditemui bermakna dengan mudahlah pemain beregu itu tewas di tangan lawan.
Sebaliknya bila gandingan rentak lancar licin dan seiring maka semakin panjang dan lamalah tempuh perlawanan akan berakhir.

Tanpa pernah menduga salah seorang rakan rapat sewaktu bersekolah di Sekolah Menengah Sultan Abdul Aziz Shah, KM 22, Kajang telah bertemu jodoh dengan pemain utama badminton negara kami membuatkan saya sering tersenyum sendirian setiap kali membaca nota ini.


Ya,peranan mata dengan hati juga kiranya memberikan pengaruh kepada pemain kebangsaan negara dengan penonton permainannya.

Seni permainan badminton ini adalah sukar kerana pemainnya mesti berupaya mengekalkan kecergasan dari awal hingga tamat permainan kerana itu bukan semua negara berjaya menyimpan Piala Thomas begitu kerap seperti mana yang pernah diakukan oleh negara China dan Indonesia.

Ke dua-dua negara ini  penduduknya terkenal dengan sikap rajin berusaha tidak suka menyukarkan orang lain... rajin merantau namun masih kuat memelihara adat resam budaya peninggalan nenek moyang mereka.

Biar di uji mereka tetap miliki keyakinan tinggi membangunkan ekonomi dengan cara yang baik dengan membetulkan diri dan berkongsi dengan adil kerana itu banyak barangan mereka murah dan mudah ditemui dimana-mana. 

Lagukan Kedamaian

Apakah sama dan serupa antara kepala dan ekor?

 Sambil terbang serindit bertenang mengilham bicara menyimpulkan rasa... 
Beburung akan berterbangan berkawan-kawan bersama jenisnya.

 Seperti mana manusia,sekufu dan setaraf membuatkan mereka senang berhimpun oleh persamaan sesama mereka... 
Selangkah bersama sederap segerak kehadapan bilamana keyakinan segar menguntum, jujur megah terjulang dari gelodak jiwa yang membawa mekar menjadi damai dan tenang...


Serindit tahu beza akal, adab dan harga diri. 

Emas kemilaunya pada warna kuning. 

Cendana wangi pada baunya yang harum bila dibakar.

Serindit menyimpul senyum... mengibar sayap menyantuni himpunan kedukaan semalam yang kini jelas berbeda warna... umpama warna pelangi yang pernah tercalar dihiris gerimis.


Seketika di saat melepas lelah di hujung laman taman yang sunyi... terbisik di telinga serindit bicara sahabat utama di hadapan jenazah Rasul sallallah hu alaihiwasallam,

 "Aku telah diangkat menjadi pemimpin kamu, tidak bemakna aku ini yang lebih baik daripada kamu. Orang yang lemah di antara kamu menjadi kuat di sisiku kerana haknya akan aku ambil dari yang kuat. Dan orang yang kuat antara kamu lemahlah dia di sisiku kerana hak yang lemah akan ku ambilkan darinya... 

Erti keadilan dari sudt pandangan Khalifah Abu Bakar As-Siddik radiallah hu anhu.

Sendirian serindit berkicau melagukan rasa hati...

Kemanusiaan telah lama hilang,
Kini yang tinggal hanya ketakutan,
Musnah kasih sayang dan persaudaraan,
Tandus akhlak dan keimanan,
Menyemai persengketaan.

Namun dalam kicauannya serindit pasti... lagu kedamaian akan kedengaran kembali...

"Apabila engkau telah berazam maka bertawakkallah kepada Allah." 

Pesan Emak Usah Tamak.



Emak bergambar bersama anak-anakku Hanan, Mustaqim dan Hilman sehari sebelum kami pulang dari bercuti (20/8/15)

Bila mahu memulakan perjalanan,
Emak selalu memberi pesan,
Jika sesat berjalan balik ke pangkal jalan,
Usah malu bertanya nanti diri banyak membuang masa,
Usah terlalu bertegas bila ternyata ada jalan pintas.

Emak... emak... ujar hati kecil saya,
Jalan pintas tak selalunya ku temu,
Matlamat bisakah menghalalkan cara yang beribu?

Dunia yang luas terbentang menimbul seribu persoalan,
Pabila mahu memilih tindakan,
Mana satu yang tepat kewajaran pilihan,
Mengikut persepsi atau menurut-nurut pandangan,
Merelai sangka-sangkaan atau menunduk-nunduk pada andaian...

Kesudahannya saya yang jadi buntu namun tidak sedia diri bertukar dungu,
Pabila membuka semula lipatan sebuah sendu.

Berliku jalan bersimpang selekoh,
Bisa akhirnya bertemu jalan yang satu,
Sudut di hati sekian lama terbina kukuh,
Kepercayaan kita adalah serupa sama kerana asalnya satu.

Usah bohongi hati di dalam,
Iri dan hasad tak membawa kejayaan,
Dendam hanya bisa menyuram seluruh alam,
Sengsara menyepi merana di kuburan.

Yakin yang baik memberi faedah,
Buat seluruh makhluk di dunia,
Akan indah bila sedia bertukar kaedah,
Dari iman menerbitkan amal ia adalah kurnia.