Sabtu, 5 Disember 2015

Lingkaran Semalam

Bersikap ekstrim dalam membetulkan persepsi supaya makna keadilan dapat dihayati adakalanya menuntut pengorbanan. 
Ia lahir bersama keinginan yang disuarakan samada dengan bicara bahasa atau bicara laku.


Persepsi yang berubah-ubah membuktikan ilham manusia tidak sempurna sepertimana perubahan iklim dan suhu dunia. 


Kebekuan salji diselidiki dikaji akan mencair menaikkan paras air di lautan...menenggelamkan beberapa daratan... urus tadbir Allah diakui secara tidak sedar oleh manusia yang berproaktif menguruskan kekayaan dunia tanpa sedar Ar-Rabb turut menguruskan hal-hal alam yang menjadi milikNya.

Apa yang jarang dikaji selidik adalah bukti kesempurnaan Islam yang memperakui akal manusia yang terpimpin dengan akidah yang sahih akan terus mengalami perkembangan kreatif membangunkan keinsanan setelah membaik pulih nilai kemanusiaan.

Pertarungan hanya milik mereka yang berani bertanggungjawab tidak sekadar memejamkan mata terhadap penyelewengan kesilapan yang mengorbankan harga dan maruah nilai diri manusia.

Timbang taranya pada cerdas akal setelah wahyu-wahyu langit menegaskan orang yang beriman itu adalah orang-orang yang sering memikirkan kejadian langit dan bumi oleh kecerdasan aqal mereka. 

Cerdas akal kerana tatasusila yang meninggikan nilai akhlak apabila Ar-Rabb menjadikan Al-Quran dalam bahasa arab agar kamu mengerti. 

(Namun mengapakah bukan pemilik bahasa ini yang kelihatan seolah-olah lebih mengerti?)

Penyakit oleh virus yang mudah merebak akibat dari menilai setiap sudut berpandu kepada hawa nafsu, membangunkan kelesuan lalu melumpuhkan pandangan dan keyakinan untuk menyedari manusia bukan dan tidak bersifat malaikat. 

Keutamaan membina interaksi menghubungjalinkan persefahaman sesama insan berupaya mendekatkan jurang perbezaan.

Miskin harta upaya berusaha. 

Miskin ilmu upaya menuntut. 

Miskin jiwa upayakah bercinta ? Miskin hati upayakah menurut?

Pastinya kemiskinan adalah penyakit!

"Serulah manusia kepada jalan Ar-Rabbmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik dan berdebatlah dengan cara yang baik. "

Perbuatan lebih tajam dari kata-kata. Setiap kesukaran tentu pastinya akan berakhir kerana kita perlu membenarkan bahawa kebaikan itu memutuskan lidah. Lantas jika kita berupaya menjadikan kemaafan buat musuh bermakna kita bersyukur pada keupayaan itu kerana ia anugerah Allah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan