Sabtu, 2 Mei 2015

Teriring Doa Munajat Harapan

Thursday, October 12, 2006

 


Hari semakin meninggi oleh cahaya yang kini menjelmakan bebayang separas sama diri tatkala berdiri.Hanya dedaunan kering yang silih berganti gugur bersama desir angin yang menemani sepi di puncak pohon yang berupa tunggul kaku tanpa dahan dan ranting.

"Usah dinanti dia telah pergi. Berdoalah agar takdir mengembalikannya semula ke sini."

"Begitu sahaja... tanpa lambai dan ucap salam?"

"Tuan hamba satu-satunya teman sebicaranya biar tanpa perkongsian hati... dengan hanya kerana itu telah mengasuh tertib kuntum rasa di jiwanya."

"Tahukah dia hamba ada menyimpan rasa?"

" Ya,hamba yakin dia tahu kerana ujarnya sebelum pergi,"hamba kerap terleka hingga tidak mengukur baju di badan sendiri, gentar hamba pada qalam Ilahi,adakah patut kamu menyuruh manusia berbuat baik tetapi kamu melupakan diri kamu sendiri, sedang kamu membaca Kitab, tidakkah kamu mengerti?"

Hamba tanyakan, apakah tuan hamba berduka?" 

Seperti biasa ujarnya, selagi Allah menjadi saksiku, selagi Raqib dan Atiq mencatit benar dan salahku, hamba tidak akan berpedih hati."

" Hamba akui sesekali kebencian menguasai diri tatkala berhadapan dengannya, namun hanya sekadar di awal ketika tatkala kami belum saling memahami. Semakin hari hamba hayati nyata dia tidak mampu menyembunyi resah sendiri lantaran tidak pasti dengan stuasi yang dilalui." 

Marah hamba, mengapa suka dengan rela diizin bergabung memberi makna yang mudah diteka?" 

Ujarnya,perlukah
membenarkan makna paksa hingga menjadi rela, sedangkan kekurangan diri andai diteliti ia meningkat kualiti peribadi."

Pesannya lagi, "Usah lemah apabila berpisah, berpecah itu umpama retak-retak menanti belah, kekerdilan kita kuatnya pada setia bersatu teguh menyandar utuh pada kalimah Allah... hidupkan bashirah
kerana hidayah tidak putus menziarah, barakah Ramadan sinar menerang kegelapan... " Jangan berseliseh kerana sesungguhnya orang-orang sebelum daripada kamu telah binasa iaitu hancur musnah kerana perselisehan di antara mereka."

" Pemergiannya membuktikan dia lemah, tidak mampu mengendali emosi kerap mengizin pasrah oleh kata-kata caci."

" Tidak! Belum ada sepatah kata pun yang melumpuhkan semangat Serindit kerana yakinnya pada akal yang sihat melahir minda yang kuat.
Hati yang jujur menempat kasih tanpa diukur pada sempadan dan jarak, pada bangsa maju atau mundur kerana ad-deen nilainya satu di sisi Allah cuma menjadi berbilang di tangan kita atas dasar pecah dan perintah. Itulah musykil yang membawa dia pergi meninggalkan kita.
Selain itu dia memperihalkan akan kisah bagaimana Bilal (r.a) sahabat Kekasih Allah SAW tatkala sejenak berehat di satu tempat bernama Badaria... malamnya ia bemimpi Rasulullah SAW yang ketika itu telah wafat... bersabda, "Wahai Bilal, kini mengapa kau melupakan aku? Tidakkah kau teringat untuk menziarahiku?" Bilal terjaga lantas mengunjungi Madinah dan menangis di makam baginda lantaran rindu dan sedih atas kealpaan diri. Waktu itu Hassan dan Hussin menerpa kepada Bilal memohon agar Bilal kembali mengumandangkan azan.
" Duka kerana di bumi barakah... Rasulullah SAW hanya menjadi simbol
sejarah."antara sebab dia perlu pergi.

" Tidak adakah yang lain di fikiran teman kita itu?"

" Burung kerdil itu sukanya melihat ikan kerana perlu dilumur garam di darat untuk menjadi masin... tapak sulaiman pula di laut tidak berubah bentuk membulat nekad Serindit mengharung badai biar kelihatannya pelik dan ganjil, takutnya pada bangsa hamba kerana virus berpenawar vaksin jika rebah kerana 'flu' hatinya tidak menentu, gemarnya melihat kucing yang semakin gentar tatkala bersua tikus kerana manja hingga mudah ditawan... bimbangnya pada ketam yang mengajar anak berjalan betul sedang cacatnya bila berjalan sentiasa bengkok."

Biarlah Serindit pergi lantaran menggalas amanah tanpa janji, setia kerana mengenang jasa dan budi... burung kerdil terbangnya tidak tinggi
kehendaknya sahaja yang masih belum dipenuhi... jujur tidak bermakna dia bebas mendedah aib diri... dia tidak berilmu kerana masih mencari pada banyak maksud yang tidak di ketahui. 

Sepi Yang Menyingkir

Monday, October 09, 2006

 


"Kemana jua perginya si Jelatik, masih gagah bersahut gigih sedang tatkala hentam membentak hengit, di kurungan ini kita saling bersahut kicau... hening tanpa herdik biarpun kita hanyalah haiwan herbivor."

"Herbivor lantang suara tidak membawa ke mana pun Serindit... bilamana hanya butir gandum pucuk dedaunan dan buah-buah kecil menjadi hidrat yang diserat menjadi uraian di saraf halus, kicauan kita hanya bisikan yang tidak kedengaran."

"Hiba merayu rintih meracau jiwa ibarat racun yang memusnahkan perkasa,Tempua. Tidakkah terhidu olehmu bagaimana kicau kita walau di tepi jendela, di sudut genting juga rembia... ia menawan ashik hingga Tekukur ,Tiung dan saudara yang lain dijejaki oleh Pemikat Burung untuk disangkar dan dikurung demi kerana merdu suara... bebas dibatas
biar sangkar indah terhias ia tetap kongkongan yang membatas luas."


"Terfikir juga hamba, kita yang kerdil ini sering bertempat di hati Sang Pemikat. Mengapakah Helang dan Cenderawasih yang menawan tidak disangkar agar sentiasa berdekat dengan Sang Pemikat sedangkan mereka ini jinak mudah dirapat?"


"Perbandinganmu tidak menyinarkan positif Tempua. Inilah yang akan menguburkan kita kerana dorong semangat tanpa imbangan antara rasa dan keinginan ia mencela sikap bersahaja lantaran hanya cekap mendengar lantas pantas menterjemah hingga kerap berkhilaf."

"Lama dimenung hamba semakin bingung melihat ukur tanda yang menjurus menang sahajakah atau menilik lemah untuk melahir hemah yang menjulang hikmah."

"Kelihatannya kita kehilangan syumul yang memenuhi ruang intelek kerana bangsa kita masih berbilang dinasti dengan ciri kebanggaan sendiri... kita tidak lagi ada mukim urus menadbir dengan pembinaan masyarakat tanpa cemar. Selaku makhluk ciptaan Allah kita masih rapuh untuk digugat terheret dalam berbagai karenah... urus dagang kita sahaja tampak cemerlang..."

"Untuk itu mari kita jadi cerdas dengan mencari madu dari kuntuman bunga pula... sihat kita melingkar nafas yang nyaman sejahtera suasana bernatijahkan bahagia."

"Madu... yang manisnya terbina dari runtuhan sebuah satu rasa...
Mana tahu jika ia pembuka bahagia?"

"Madu mempunyai alasan ia tidak menjadi pahit. Mungkinkah kerana hudud tidak mampu diintelekkan oleh peradaban  moden muslimin.
Namun akan tersingkirkah gelap buat seorang buta jika celiknya di malam dan siang tetap serupa? 

Santun Budi Kerana Rasa

Friday, October 06, 2006


Riak-riak kocak alunan ombak merela perlakuan angin mencerna pusar air yang hijau kebiruan bersatu berpecahan menghempas ke pantai. 

Ciak-ciak sekawan kelicap menjadikan bingar seketika angkasa yang hanya bertemankan deruan ombak yang berburuan di pantai.

"Tidak adakah pertanyaan lain untuk tuan hamba luahkan pada hamba?"

"Sekian lama itu yang ingin hamba tanya... tidakkah tuan hamba milik sesiapa?"

"Saudaraku bilangannya tidak terkira... satu waktu hamba punyai ibu dan bapa juga saudara-saudara... hinggalah turun dugaan... saat itu kami terlontar menjadi hina oleh kelaparan... kami derita oleh kemiskinan.
Hamba masih tidak dapat melupa... saat akhir hayat ibunda memohon pinta,"Serindit, pergilah ketuk pintu jiran kita... mintalah sebutir dua terigu emping atau ulas-ulas roti kering baki bersisa... lihat saudara-saudaramu yang
sudah tidak mampu membuka kelopak mata... tiadakah hibamu menyentuh jiwa?"

"Waktu itu bukan hamba sengaja engkar pada permintaan bonda...
Cuma hamba berahsia, sudah berkali-kali hamba kehilangan suara... melaung merintih hingga luka paruh dan berdarah kuku kaki... mengetuk pintu-pintu agar terbuka... hamba kelilingi segenab inci luas mukim kejiranan pintu yang ada... bukan sehari dua atau sepurnama malah bertahun hampir berabad lama... jiran-jiran hamba tidak punya jendela pintu itu tidak juga mahu terbuka... hingga satu demi satu saudara hamba terkorban nyawa..."


"Sudah Serindit tiada mahu lagi ku dengar tentang keluargamu...

Tuan hamba bukan si lemah oleh sebuah rasa... kerana rasa sukma tuan hamba menggagahkan jiwa...imbas semula pesan Kekasih kita Sallallah hu alaihiwassalam, menuntut ilmu itu wajib bagi setiap muslim... berdagang punca rezeki ...mari kita cari itik nila, angsa, kasawari jika tersua cenderawasih diajak bersama... berguru untuk menyantun bahasa bukan beradu oleh sengketa hasil minda beragenda."

"Benar Tempua, Rasulullah Sallallah hu alaihiwassalam ada bersabda yang menerusi pertanyaan di satu ketika:

"Mengapakah sesetengah kaum tidak berusaha memahamkan dengan mengajar, tidak memberi nasihat tanpa menyuruh berbuat kebaikan melarang berbuat yang jahat kepada jirannya. Dan mengapa sesetengah dari mereka tidak mempelajari dari jirannya untuk memaham dan menambah ilmu dan tiada menerima nasihat? Demi Allah hendaklah sesuatu kaum itu mengajar jirannya, memahamkan, menasihati, menyuruh sambil melarang terhadap sesetengah perbuatan.
Hendaklah ada suatu kaum itu mempelajari dari jirannya memahamkannya, menerima nasihatnya atau disegerakan balasan terhadap mereka." 

Punah Yang Pedih

Thursday, October 05, 2006

Semalaman mata ini pudar penglihatan oleh kepedihan asakan desir angin yang menerjah paksa. "

Angin dari arah kutub yang berbeza bukan lagi pandangan luar biasa bila peka rasa indera tidak perlu dipaksa mengakui apa yang dirasa... lazimnya umpama sesudah ranum buah-buahan, maka pasti ada sisa teriang di ranting dahan, luruh sebelum berbunga semula.

"Tidak ada sehelai daun pun yang gugur yang tidak diketahui olehNya. Tidak ada sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak pula sesuatuyang basah atau yang kering tidak tertulis di dalam Loh Mahfuz.

Waktu ini terigu atau dikenali juga sebagai jerlai atau gandum  sudah masak ranum hanya menanti dituai... angan-angan imbauan masa silam... mengusik kenangan yang kerap menggugah rasa.


"Masih gemar menyendiri hingga hamba lelah menanti! Apalah makna teleku tuan hamba jika sirat tidak mampu menyurat dilemma."

"Sudah panjang tela telaahku... telahan yang hanya singkap telagah...
Tekstur seni pada hasil tenunan dapat ditekuni, malang tekstur seni hati elak di amati... ia sering kecundang bila di adili... akhirnya sia-sia itu yang pasti."

"Telanjur memungkin kembali ke destinasi, mahu tuan hamba menyanggahi?"

"Tempua, tidak kita berkias pada nama kerana ia bukan memberi beza tetapi yang mesti kita lihat adalah niatnya... nukilan pusat keinginan hasratnya! Syariat kita dukung bukan sekadar hanya untuk sesuatu prestasi bermisal jana paksi ekonomi sedang kita diriba oleh mainan yang teliti... hamba sangsi pada imbuh dan janji kerana sumber bukan yang pasti...qalam Ilahi dipinggir sepi... sedang ia menjalin bentuk fikir dan hati... mantap yakin diri kerana sifat insani bukan segi detik helah memagari agenda buat selari paksi merintangi..."

" Bangsa kita hanya jenis beburungan... kerdil berbilang rupa... terbang tidak mahu berkawan-kawan... memagut tidak mahu sehidangan... gurau bukan sepermainan... 
sehati sejiwanya tatkala mengadap ke Baitullah... sesudah itu bertempiaran 'bernafsi-nafsi' hingga tersadung akar dan duri."

" Manusiakah, burungkah, kucingkah,. seroja atau kembojakah (kemboja adalah sejenis tanaman bunga yang lazimnya ditanam di pusara oleh bangsa melayu muslim di Malaysia) ... kita ini makhluk ciptaan siapa? 

Menyelongkar diri usahakan kaji jikalah kita ini berlainan Pencipta... 
Maju gemakan bukti dalaman kita adalah roh... cuma akal sahaja tidak menjadi semata-mata senjata. Bangsa manusia gemar pada kata sengketa tatkala ada yang tidak kena di jiwa... sangka-sangka dengan duga dari rasa percaya... inginnya memecah cerakinkan upaya... utamakan diri kerana kurang periksa... sudah sepikah pada mata perlunya bina, cuba, bertarung untuk pengukuhan kematangan kaji, bila wujud kekeliruan susun semula secara tertib menurut adab hingga maksud tercapai.
Sikap kita ya Tempua, sikap kita tatkala bertemu kontra... ganjilnya bila haru sendu Hittin dikambus bersama putaran masa... Islam dasarnya merangkumi akidah yang benar... hukumnya yang mensejahterakan dan mengistimewakan kita... kerana adil dan saksamanya bersama benar. Hittin itu sejarahnya tidak lagi dibaca."


"
Ketuklah pintu hatimu demi penerus generasi warisan yang semakin keliru oleh permainan, mundur oleh perpecahan di setiap penjuru alam.

Mulia kita bersama Islam tanpanya siapakah kita di sisi Tuhan Rabbul A'lamin, Allah pemilik seluruh alam.