Sabtu, 1 Jun 2013

Biar Bijak Dalam Bertindak


Teringat dahulu semasa bersekolah, setiap awal tahun akan diadakan pemilihan baru Ahli Jawatan Kuasa ( AJK ) bagi setiap persatuan. 

Waktu itu kerana ramai teman-teman memilih untuk menyertai Persatuan Ekonomi saya juga terpaksa berbuat demikian dengan alasan tidak mahu berjalan bersendirian waktu balik dari sekolah. 

Maknanya saya ketika itu terpaksa memilih menjadi lalang mengikut-ikut sahaja tanpa tujuan atau mungkin juga atas dasar menjaga hati teman-teman.

Biarpun sebelum itu saya sudah terbiasa berpersatuan namun kali ini saya suka memilih untuk menjadi pemerhati sahaja kerana ini sekolah baru dengan persekitaran yang baru dan saya perlukan masa senggang untuk menilai dan memilih-millih.


Apa yang pasti acara pemilihan itu adalah agenda lama yang biasa-biasa sahaja.

Kurang dari setengah jam acara pemilihan pun selesai.


Barisan Ahli Jawatan Kuasa secara tradisionalnya diisi oleh pelajar-pelajar 'senior' dari Tingkatan Enam Atas dan kami yang ketika itu merupakan pelajar Tingkatan Enam Bawah hanya diberikan jawatan setiausaha atau bendahari sahaja.


Tanpa bentangan apa-apa laporan yang di auditkan mesyuarat pemilihan di luluskan sebulat suara.


Begitulah cara berpersatuan pelajar-pelajar tingkatan enam di zaman saya, tiada dorongan atau panduan yang membina semangat bagaimana persatuan mahu ditadbir, ke mana nak disasarkan tumpuan dan perancangan dan apa yang perlu ada bagi memandu arah mencapai matlamat.


Sudah terbiasa diam dikatakan setuju...bangkang nanti menjadi seteru...ikut je paling membantu...
Lagipun ia memudahkan tugas cikgu.



Tidak mengenal hak untuk bersuara apalagi tahu makna pungutan suara, dengan lain kata masa itu kebanyakan kami tidak tahu adanya kebebasan memberi pendapat dan memilih pendapat apabila berhadapan harus memilih satu antara dua. 


Waktu itu majoriti belum lagi menjadi basahan lidah untuk membuktikan mandat sokongan.


Masa ini baru minda berfikir-fikir apakah yang diutamakan di antara kebenaran pendapatkah atau jumlah sokongan yang diambil kira sebagai faktor kejayaan.



Seronok juga mengenang-ngenang peristiwa lama...
Tertanya juga di manakah gerangan kawan-kawan lama... 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan