Sabtu, 1 Jun 2013

Terbang Rendah Bukannya Mengalah

Tuesday, July 04, 2006

 

Selasa 
4/7/06


Seekor serindit kerdil berbulu hijau terbang rendah melewati kabus nipis memijar mata, sayunya dari kejauhan terlambak runtuhan-runtuhan bata yang membentuk berbagai petak, perisai-perisai besi tebal yang seakan-akan lesu dipaksa sekian lama meredah menerjah membedil apa sahaja... menurut dengan setia.

Serindit terkejut kiranya panas terik tiada upaya membawa manusia berteduh berlindung buat menyeka nafas seketika...sebelum diiring ke pendidihan jutaan megawatt.

Jauh di sudut hati serindit sentiasa terasa kekerdilan diri bilamana tersua rakan sebangsa...itik nila, bangau flamingo, kasuari juga cenderawasih.....
Namun serindit ini merasa ia telah diberi hak telah dipelihara untuk berada di sini.
Jalannya jalan yang sahih yang didukong oleh hakikat sebuah kemenangan...anih, apakah kerana bulunya hijau serindit di dakwa punya kuasa seekor helang yang sentiasa memburu menerkam dengan gelojoh mangsanya sebelum menjadi santapan....serindit cuma menjejaki kerabatnya yang terus tanpa bicara terpenjara.
Tiadakah hak serindit di angkasa tempat ia mengirai sayap?

Hajat hati ingin pulang begitu keluhan serindit dalam kicauannya. Namun emosinya mengawal sepenuh kemahuan hati itu... sayapmu masih lemah, kuakannya sentiasa terganggu oleh tiupan angin yang menderu, kekerdilanmu serindit akan memaksa dirimu menyinggah di celah rimbun pepohonan kering....
Ada ketikanya kau terjah melawan menyonsang tiupan angin itu, berkali-kali...
Meskipun tertunda terbangmu, kau tetap memastikan kedudukanmu sentiasa berubah dari asalmu berdiri.

Serindit burung kerdil paruhmu tidak mampu mengeryih di saat kau tersasar arah.
Serindit burung kerdil paruhmu juga tidak mampu kau kernyingkan di saat berkali-kali kau bersua permainan yang di perolok-olokkan.
Serindit si burung kerdil dahimu juga tidak mampu berkernyit...
Cuma jantungmu yang berdenyut.
Kernyutnya menikam hati nuranimu.
Sesak dan bersama rebas hujan yang menitik matamu sahaja yang berkaca.

Serindit berbicara sendiri kekerdilanku bukan halangan mengujar alasan.
Cuma bisik serindit aku belum mahu menempuh kenangan lama biarpun ia telah berzaman hilang dari hatiku.
Dan kerana di sini serindit bebas berkicau megah buat cenderawasih yang bermahkota melagukan keroncong refleksi bersegi reformis......... 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan