Sabtu, 31 Oktober 2015

Keroncong Terkenang-Kenang

Serindit menebarkan sayap jauh termanggu-manggu, ke manakah arah mahu dituju, 
ke manakah mahu dilabuhkan sayap ini. 

Ruang udara seakan tidak cukup terbuka keluasannya untuk diredahi seakan perlu ada pengenalan diri untuk memastikan serindit ini benar-benar burung yang kerdil, 
boleh dipaksa hijrah andai sayapnya tidak mampu diangkat lagi?

Apakah telah dilupakan?

 Serindit ini lahirnya di sini di tengah dentuman bersama letusan lahar marah nan berapi. 
Ini angkasa ruang tempat ia menghirup dan melepaskan udara biarpun ada ketikanya udara yang dihidu berbau nitrogen ia tetap hirup bagaikan menghirup secangkir madu sedangkan sebenarnya ia menghirup secawan racun.


Serindit tidak bisa mati oleh apapun kerana biarpun kerdil, serindit miliki jiwa yang suci tak mampu ditebuk hatta oleh sebilah jarum....

Serindit masih berkicau. Kicauannya masih sama sama serupa.


Serindit terfikir mahu berdiam diri sahaja kerana menyedari hakikat bahawa jika mahu berkata-kata biarlah bicaranya yang benar dan baik sahaja.

Bunyian dari lidah bahasanya mudah tidak sesukar bahasa perbuatan. 

Namun bahasa perbuatan lebih menjadikan manusia mudah terpengaruh.


Serindit hijau bersama kerabatnya berfikir-fikir dan terkenang-kenang, benarkah jika terlalu kerap memikir natijjah, lama berkekalan akan memudarkan niat yang benar......


Serindit terbawa-bawa dalam perasaannya, hingga bilakah burung sebangsanya harus memamah masa untuk dijadikan alasan, baru teman sepeguruannya bangau, flamingo, kasawari, cenderawasih malah itik nila menyedari kelayuan dan kelesuan kuakkan sayap serindit dan saudara-saudaranya?


Menyendiri serindit meminggir diri. 

Benarkah kepatuhan itu adalah dengan menurut dan menunduk sahaja?


" Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya.
Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya ( iaitu ) ketika dua orang malaikat mencatat amal perbuatannya. Seorang duduk di kanannya dan yang lainnya duduk di sebelah kirinya.
Tiada satu ucapan pun yang diucapkannya melainkan ada dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir. " 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan