Sabtu, 22 November 2014

Inderaloka Si Individualis

Friday, September 08, 2006


Entah sekian mana dalamnya luka itu. 

Nurani beku sumbang mengadun fikir berbelah rasa. 
Obor semangat dinyalakan bila pudar malap suram oleh khianat diri. 
Bertentang parah paksi menarah retak membelah dua pendirian minta beraksi. 
Ragam denyut nadi sudah mula menggegar irama.Bermulanya dari selaut warisan khazanah moyang.

Hampa hati mukimnya resah menggamit gelisah. Benar, tidak semua fikiran jiwanya jernih bermadu sesangkar bertahan semusim dua.

"Masihkah bermenung durja wahai Serindi? Lebat rimbunan dedaup tidak mampu menyembunyikan tubuhmu yang hijau itu."

"Usah meletak harga pada warna Tempua, damai kicauku tidak sandar pada rasa dari prasangka, kicauku hayati berasas implikasi...
imbas dari imbauan imejnya sekujur arca."

"Maksudmu ... patung ... boneka ... atau bayang-bayang yang menjelma ikut putar edar waktu? ..."

" Pengarca seumpama Arjuna, ukur pahatnya menekun tanpa lesu jenuh bergantian masa musim bergilir, tetap setia memahat. Namun implikasinya arca tetap hanya fungsi hiasan."

"Lantas apa silapnya hiasan... indah laman oleh ukiran.
Tidakkah abstrak pilihan tajam pengimaginasi..."


"Di sebalik arca seperti terlihat kurungan sesangkar berbilah buluh yang menyula hiris jiwa yang rapuh..."


" Imaginasi juga bukankah menciri jitu erat mendakap akal. Kini logik mengadili massa...teknik kaedah paparnya jaya..."


" Akal sahaja minda mudah tersadung, terdorong cenderung untuk rebah rombak jika tanpa jalur aras sukat, waris apakah buat tinggalan pusaka generasi... minda segerak dengan proses pindahan roh mencari damai dengan makna hakiki. Dan Tempua, meski kita hanya burung kecil, kita tunduk pada  Al-Khalik. Menyinggah di benak hati, " janganlah sampai kerana kebencianmu terhadap sesuatu kaum, menyebabkan
kamu tidak dapat berlaku adil."


" Benar Serindit kerana kerdilnya kita mudah dirempuh tatkala berseliseh sayap biar hanya dengan itik nila, apatah lagi cenderawasih helang atau kasawari."

" Usah merendah tidak pada tempatnya Tempua.Kita hanya membatas sikap kerana kecenderungan fitrah bersederhana pada setiap tindak dan kata. Siapapun kita sorotlah seketika hiba di dada bonda... tatkala bergelimpangan terbujur sekujur jasad... tanya suara bisik terjah ... tanpa menilik apa seragamnya... apa rupa warnanya... tiadakah kedengaran hiba tangis sedu sedan... tatkala perginya dilambai sayu ... pulangnya melara rindu bila wajah tidak lagi ditemu... hanya kerana segagas dasar memenuh kertas... bila muafakat rapi tertutup tak terbolos oleh sinar bersefahaman merangka damai."

Cacat cela milik manusia. 

Tilik Menilik Siapa Pemilik

Thursday, September 07, 2006


Blog saya di nurlailamohdali.blogspot.com, dengan tajuk Tilik Menilik Siapa Pemilik diambil sempena catatan di bawah ini yang saya tuliskan kira-kira lapan tahun yang lalu iaitu pada hari Khamis, 7 September 2006. Catatan-catatan di blog Kendiri Bentala Tunjangnya Akar Akidah ini adalah sejarah permulaan di mana saya mula menulis di siber. Ia memiliki seni kreatif penulisan kepada saya.



Tilik sejarah ikhbar disebar.
Hijrah jiwa minda tercabar.
Sengketa suku bangsa damainya pudar.

Puluhan tahun jiwa punah terkorban.
Kasih terkubur oleh gelap penglihatan.
Pada mega imlak bergabungan.

Helah menganugerah lelah.
Sedar bila yang tersirat tanpa hikmah.
Misi tetap diselongkar ummah.

Saduran iman marata lata manusia.
Gusarnya yakin terbenam dengan sia-sia.
Seleweng agama ilmu jahil tersua.

Usah gentar pada liku yang panjang.
Tegak adil saksama dengan bijak dijulang.
Muafakat runding bicara ini yang hilang.

Senjata berbilang berbagai jenama.
Bukti dalam medan kita masih tidak bermaya.
Bila teknologi dan ekonomi kita terhina.

Bukan tak sedar minda diasuh mungkar.
Terjajah dalamnya luka bila diselongkar.
Majoriti masih ria pana dek engkar.

Jadikan demokrasi ibarat senjata.
Diplomasi dengan bijak urus tadbir kuasa.
Supaya makna pilihanraya fahamnya berleluasa.

Individu bersama kreatifkan deria.
Runtuh empayar kerana abai agama.
Dusta cela taat beragama mundur didakwa !

Lalu bukan tidak gelisah malah luka bernanah.
Pada mangsa di mana-mana hancur dimamah.
Oleh tindas zalim diskriminasi berdarah !

Mari bersama luah rasa yang terbit.
Kita benar-benar telah berjaya seperti " Matahari Terbit " ?
Tewas dalam sengketa dunia kini berbilang sejarah tercatit.

Unggul generasi kerana sifat rabbani.
Bergerak seiring qalam dan sunnah nabi.
Indah pendidikan dari imej pekerti.

Setiap dari kita amanah berpesan nasihat.
Luas sebar biar seulas senyum yang terpahat.
Tunjukkan pada yang membenci amalan yang sihat.

Berhak kita jelaskan silap selama ini.
Buktikan maju kita kerana pendidikan tidak sekadar ekonomi.
Mahu duduk sama rendah bila berdiri sama tinggi.

Tertanya-tanya ' merdekakah ' kita? 

Sabtu, 1 November 2014

Pimpin Memimpin Agar Terpimpin

                                     

Kendiri Bentala Tunjangnya Akar Akidah 

 ( 4/September/2006)



Dua hari yang lalu anak yang sulung dan teman-temannya meluahkan rasa hati. 
Kekeliruan terhadap cara penyampaian salah seorang guru hingga mereka tidak dapat menerima kekurangan itu. Sedangkan guru itu miliki ijazah kedoktoran. 

Semakin jauh saya biarkan luahan hati-hati itu dizahirkan, semakin jelas duduk perkara sebenarnya.

Gambar milik AhmadMuttaqin bin Harith -

Kesimpulannya sebagai bakal calon untuk menduduki peperiksaan bulan September nanti, mereka khuatir tentang bagaimana Pengetua meletakkan tanggungjawab guru-guru yang seharusnya berkelayakan mengajar kelas mereka. 
Namun akhirnya apa yang dapat difahami adalah anak-anak ini berhadapan dengan masalah bahasa. Dialek kenegeraan yang tebal menjadikan ucap kata guru yang menggunakan bahasa inggeris tidak dapat difahami oleh mereka. 

" Masalah kecil sahaja, kami akan menulis surat kepada Pengetua." 
Mereka membuat keputusan.

Hal-hal anak-anak sering memaksa saya seperti biasa berfikif dan berbicara sendirian. 

Mereka adalah pemimpin yang memimpin diri sendiri.

Ujaran-ujaran mengistilah pemimpin wujud dalam berbagai sebutan.

Pada saya, pemimpin adalah orang yang berkuasa terhadap dirinya sendiri tanpa pengaruh tanpa kawalan untuk diletakkan di bawah pengaruh sesiapa. Tetapi pemimpin yang berkualiti mesti berdiri imej selari dengan peribadi. Ketrampillan semata-mata menggaya wibawa bukanlah bukti lengkap untuk dinilai jaya gagal sesuatu kepimpinan.

Pemimpin yang memperkemas rapikan spritual yakni rohani yang dibina oleh akidah  bagi membentuk akhlak akan berjaya melakukan perubahan. 

Syaksiahnya berupaya menarik sokongan dan meransang kekuatan. 
Dia juga berinspirasi yang sentiasa memanafaatkan setiap hubungan. 

Peka bahawa manusia saling memerlukan tanpa ada dorongan untuk saling menguasai menyelia kuasa. 

Pemimpin yang bijak menyedari tidak semua keinginan dapat dicapai jika dia sentiasa bersikap menyendiri dan berkecuali. Sewajarnya dia membuktikan sikap berdikari yang menambah yakin teguh kepercayaan rakyat terhadap dasar dan gagasan yang mahu dibawanya. 

Berinteraksi aktif menjalin hubungan dengan sangkaan-sangkaan baik bukan beragenda mengeruh harmoni.

Kekuatan dan keyakinan yang dipegang mampu diterjemahkan dalam perbuatan. Pemimpin baik dan adil melahirkan saf pemimpin bukan sekadar pengikut. 

Melahirkan teknokrat yang diberi peluang dan kesempatan dengan adil untuk sering bermuafakat.

Pemimpin dihargai apabila budaya dan akar budi bangsanya berupaya dijadikan neraca untuk menilai beza antara manusia.

Agama tidak dapat diabaikan bagi membantu meneladani kepimpinan para Kekasih Allah khususnya Rasulullah sallallah hu alaihiwassalam yang berjaya menatijjahkan makna kepimpinan dengan terbinanya Kota Mukminin di Madinah.

Sejarah agama dijadikan asas membina budaya sesebuah negara adalah antara kekuatan membina negara.

Sebagai seorang muslim gambaran seorang pemimpin adalah menurut ukur jati diri Rasul Kekasih Allah sallallah hu alaihiwassalam . Diplomasi baginda sallallah hu alaihiwassalam menyemai benih kasih sayang yang menyantun akal dan hati.
Kuasa baginda rasulullah sallallah hu alahiwassalam  bukan megah pada tawaran, hadiah juga harta, tidak juga rasa senang pada pujian melainkan amanah tanggung jawab sebagai kewajipan yang diminta persaksiannya oleh Allah Ta'ala.

Budi dan pekerti baginda sallallah hu alaihiwassalam menyingkir keras tindakan dan keputusan  tanpa akhlak.

" Dan sesungguhnya engkau ( Muhammad sallallah hu alaihiwassalam ) berada di atas budi pekerti yang tinggi. " 

Khamis, 21 Ogos 2014

Jernih Minda Bersinar Intelek


Minda duduk mulianya pada intelek.
Intelek dibayangi oleh imaginasi yang jitunya apabila terkupas sikap mahu dan sedia berinovasi yang kreatif. 
Sikap pula mencermin peri laku di mana budaya yang menjadi kendiri rupa bangsa manusia.

Manusia pula menterjemahkan pasif atau agresif nilai insaniah menerusi timbang tara sudut berseginya tindakan dan upaya mengimbangi kuasa dan kehendak agar tidak pudar amanah.

Konsistennya perlaksanaan mementingkan perapian strategi yang makna utama adalah menyuburkan potensi nilai-nilai baik yang mulia.

Perubahan memantulkan kesinambungan harga dan jati diri manusia.
Tanpa menyorot warna dan rupa fizikal juga kepercayaan. 

Paksi yang menegak jati diri merupakan kemanusiaan yang tidak berstatus jumud dan statis yang membeku.Ini antara cabaran yang merantai belenggu pemikiran manusia. Pasif untuk mengakui hakikat bahawa kecelaruan imbang guna kuasa dan monopoli harta menjurus kepada terbentuknya kezaliman penindasan yang membuka medan persengketaan untuk bertelingkah.

Ketidakadilan adalah manifestasi dari engkar mungkarnya naluri untuk menghambakan diri kepada Pencipta.
Darurat yang memenjarakan kemampuan interaksi antara manusia sesama sendiri melumpuhkan terciptanya kaedah perjuangan yang mantap menyebarkan keamanan kasih sayang demi pemeliharaan nilai mulia untuk diwarisi oleh generasi yang akan datang.

Sudah sekian lamanya kehampaan mengejar adab dan budaya. Seni mempertahankan maruah yang diperdagangkan selama ini merudumkan tanggapan bahawa intelektual tanpa panduan agama adalah sejahtera sejagat.

Malang yang mahu disingkir adalah pemberontakan kurang tepat untuk menjelaskan wujud kekeliruan terhadap Islam.

Namun silap jika bertafsir bahawa kita sentiasa sedia untuk mengalah dengan menerima bersahaja apa-apa kezaliman dan penindasan.

Mutu kata makna pada ilmu yang menggarap prinsip insan beramanah tanpa republik ideologi mementing diri. 


Sunday, September 03, 2006

POST BY THANAIF

Serapah Mantera Duka Anak Bangsa

Saturday, September 02, 2006

                       Mengenang merdekamu dan merdekaku. 

Mengapakah merdekamu ada dua tarikh 3 September atau 18 Disember tatkala merdekaku pada setiap 31 Ogos.



Setiap saat bergantian masa ada nilai yang berdaya bertindak mengklasifikasikan sorotan mata.

Seraya gelombang arus berkitaran biar pun kompleks, kompetensinya telah terarah hanya pada satu suara.

Sedangkan secara lumrah banding yang nyata adalah tempuh masa, beban sengsara yang melanda dan timbunan rugi menolak laba.

Duka rasa bila tiada saksama dalam menilai hujjah anak-anak saya.
Isunya masih serupa pada kaya bertalak kuasa tidak sama rata mencari agama sebagai sasar cela.

Anak memprotes kerana percaya sumber puas pada wang saku.

Anak membanding mengapa harus ada beza pada peri dan laku.

Anak berkata cermin putih tiada warna tetapi tatkala bercermin terlihat anika warna.

Anak dakwa penguatkuasaan hanya merantai tangan sedang kakinya masih boleh merentak menurut nada pilihan.

Aduh ... rakan-rakan mereka ikut membina selaras intonasi bersuara.

Mahu di apakan kata dan ujaran anak-anak ini ... kerana mereka berbicara tentang diri sendiri. Memperihal kemahuan dari ego hati.

Deria yang memerangkap suara hanya mampu menahan diri tanpa boleh beraksi-aksi.

Tergambar paparan dua stuasi berbeza.

Primitif sanubari tidak memungkinkan perubahan lantaran kongkongan
nafsu mengadili dengan bisu.

Serba tahu bukan agihan bongkak tidak juga melampaui luar batasan adab berpuak-puak.

Kebulur jahil membawa mundur. Sewenang-wenang asuhan mengguris perasaan bila mana kekosongan jauh melempar bayangan yang diulit impian.Lingkaran semalam usah mahu dijadikan sandaran manja bermanjaan.Kuatkan usaha melakukan perubahan.


" Percayalah dan yakinlah."
" Setiap usaha boleh dilaksanakan."
" Bersabar dengan iman, berakhlak luhur, berani kerana benar. "
" Bersalah akur dengan jujur. "
" Allah kasihkan kita. "
" Dia mahu kita keluar dari lingkaran kejahilan memandang ke arah masa depan."
" Untuk generasi yang di warisi yang akan berhadapan dengan 'tamaddun' dajjal yang canggih namun merobekkan iman. "

Selamat ulangtahun kemerdekaan ke 35 sebelum berusia 49.
Alhamdulillah pada usia 57 dikau masih belum dianggap tua.
Alhamdulillah.

Rentak Rait Sang Sahaya

Thursday, August 31, 2006

 


Semenjak malam tadi hingga saat ini baru saya menghayati makna dan fungsi menulis di blog.

Rumusannya baik benar atau sebaliknya, catitan-catitan di blog merupakan mukhtasar kenang-kenangan yang mampu mengeratkan hubungan tanpa mengira kita kenal atau tidak dengan pembacanya.

Ada kemungkinan kelak di antara yang menyapa dan yang sekadar membaca telah dan akan tidak bertemu mata ... berpisah sementara juga mungkin buat selama-lamanya ... terpinggir dan meminggir oleh kitaran perjuangan muktabar kasih Ilahi juga guna bermukabalah agar menikmati mukaddas yang mukaddis ...

Tanpa di duga tanpa di rencana atas kehendak Allah telah bersua beberapa hati yang bermatlamat satu melahir cinta buat dunia kerana Allah demi Allah untuk Allah.

Bertitik dari kenal dan faham persoalan bibit-bibit berderai cerainya rantai seutas, telah membina bersaat detik pendirian-pendirian yang berstatus budi mukhlis di hati.

Seharian sewaktu-waktu ada nilai yang terhenti ada nilai yang hilang ada nilai yang terbina ada nilai yang luput namun kerana miliki makna dan harga ... nilai itu tetap terpelihara tetap menjadi mulia kerana ia bukan ciptaan manusia tetapi Allah yang Maha Berkuasa.

Benar atau tidak pendirian prinsip juga persepsi ....
Sah atau khilafnya persaksian yang melaga pancaindera hingga bertarung beradu agenda ...

Kita tetap mengharap kilau cahaya sebagai sinar ... 

Zahir Dan Batin Mohon Takzim


Syawal 1435 / 2014

Salam lebaran kepada keluarga, sanak saudara dan handai taulan

Masih tanpa jabat salam dihulurkan

Ramadhan dan Syawal melebarkan kebajikan

Yang menghakikatkan sakinah kedamaian

Apakah tergugur juga gempita gema keselamatan?

Dan kesemua ikatan perjanjian.


Tidakkah sengketa dan hilang persefahaman menjadikan

Pengangguran dan kemiskinan

Melusuhkan ikhtiar usaha kemajuan tamadun peradaban?

Zahir dan batin

Syawal tersilu sendirian. 


-----------------------------------------------------------------------------------------------------


2 Syawal/ 13 Oktober 2007

Salam Lebaran Dari Diri Kepada Diri Sendiri

Kekacauan yang pasif
Asas dari leraian kasih yang daif
Bukan oleh miskin cinta tetapi oleh ihsan yang naif
Bila gerbang jendela dari kreatif yang aktif
Dipana adalah satu-satunya makna jaya inovatif.

Salam bertukar pada sessi yang hambar
Yang ingin dierat bukan semata jabat yang lelah terbiar
Yang ingin didakap bukan rasa yang sering terbiar
Yang ingin dijejak bukan sejarah moyang kelam oleh cahaya pudar
Bila yang dihindar adalah hayat iman yang dianggap senilai dengan dinar.