Monday, July 17, 2006
Lingkaran Semalam
Bersikap ekstrim dalam membetulkan persepsi supaya makna keadilan dapat dihayati
adakalanya menuntut pengorbanan. Ia lahir bersama keinginan yang disuarakan
samada dengan bicara bahasa atau bicara laku.
Persepsi yang berubah-ubah membuktikan ilham manusia tidak sempurna sepertimana
perubahan iklim dan suhu dunia.
Kebekuan salji diselidiki dikaji akan mencair
menaikkan paras air di lautan...menenggelamkan beberapa daratan... urus tadbir
Allah diakui secara tak sedar oleh manusia.
Apa yang jarang dikaji selidik
adalah bukti kesempurnaan Islam yang memperakui akal manusia yang terpimpin
dengan akidah yang sahih akan terus mengalami perkembangan kreatif membangunkan
kemanusiaan.
Pertarungan hanya milik berani mereka yang bertanggungjawab tidak sekadar
memejamkan mata terhadap penyelewengan kesilapan yang mengorbankan harga dan
maruah nilai diri.
Timbang taranya pada cerdas akal.
Cerdas akal kerana tatasusila yang
meninggikan nilai akhlak.
Penyakit oleh virus yang mudah merebak akibat dari menilai setiap sudut
berpandu kepada hawa nafsu, membangunkan kelesuan lalu melumpuhkan pandangan
dan keyakinan untuk menyedari manusia bukan dan tidak bersifat malaikat.
Keutamaan membina interaksi menghubungjalinkan persefahaman sesama insan berupaya
mendekatkan jurang perbezaan.
Miskin harta upaya berusaha.
Miskin ilmu upaya menuntut.
Miskin jiwa upayakah
bercinta ? Miskin hati upayakah menurut ?
Pastinya kemiskinan adalah penyakit !
"Serulah manusia kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang
baik dan debatah dengan cara yang baik. "
Perbuatan lebih tajam dari kata-kata. Setiap kesukaran tentu pastinya akan
berakhir kerana kita perlu membenarkan bahawa kebaikan itu memutuskan lidah.
Lantas jika kita berupaya menjadikan kemaafan buat musuh bermakna kita
bersyukur pada keupayaan itu kerana ia anugerah Allah.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Permohonan Mengisi Jawatan Kosong
-----------------------------------------------------------
Satu ketika di zaman Khalifah Umar Al-Khattab (ra) ada seorang lelaki telah
datang memohon untuk berkhidmat di salah satu jabatan.
"Datanglah kembali bersama seseorang yang mengenalimu."
Esoknya dia kembali bersama seorang teman.
"Apakah kamu mengenali lelaki ini ?",tanya Khalifah kepada teman
lelaki itu.
"Ya, saya kenal."
"Apakah lelaki ini jiran kamu?"
"Tidak ya Khalifah."
"Apakah kamu pernah bersama-sama dengannya hingga kamu tahu dengan jelas
tabiat dan tingkah lakunya?"
"Tidak," balas lelaki itu.
"Apakah kamu pernah meminta bantuan dengan meminjam wangnya sehingga kamu
tahu bahawa dia takut dan menghindari dari mengambil yang haram?"
"Belum pernah," jawab lelaki itu.
"Apakah dia hanya kamu kenali ketika di masjid sahaja?"
"Ya."
"Nyata kamu tidak mengenalinya, kembalilah. "
Kepada lelaki yang memohon jawatan itu Khalifah memintanya datang semula dengan
membawa orang lain yang benar-benar kenal dengan dirinya.