Isnin, 24 Jun 2013

Monday - July 31- 2006

Istirehatlah Usah Sampai Terleka

Teringat dahulu semasa remaja saya dan rakan-rakan amat 'tertarik' dengan abang-abang berjanggut sejemput yang apabila berjalan mereka tunduk memandang ke bawah... bila berlaga mata cepat abang-abang ini melarikan pandangan ke arah bertentangan, bila bercakap nadanya perlahan menyakinkan tidak membentak marah-marah, sering bergamis longgar dan banyak menyendiri dan berhalakah membaca quran dan di dalam majlis iftar.

Abang-abang ini memiliki wawasan idea yang idealistik berancang dan berencana dengan semangat yang erat berukhuwwah saling berpesan dalam nada mendidik. 


Abang-abang ini juga tidak kecewa dalam melaksanakan tahap demi tahap agar adik-adiknya terus beriltizam istiqamah menjadikan risalah Islam sebagai realiti menjadikan diri muslim yang berfikrah.

Kami juga terpaut pukau dengan kakak-kakak yang berjilbab kelabu sepasang, bila berjalan dalam kelompok berdua bertiga dan berempat, langkah yang pendek namun pantas dan tidak kedengaran suara mereka ketika berada di khalayak ramai.


Senyum mereka tersimpan di balik tudung yang membalut wajah telus bersinar oleh ketenangan. 


Kakak-kakak ini sering menemani kami dengan bicara "tangan kita ini yang menggoncang buaian akhirnya insyaAllah tangan ini akan menggoncang dunia namun pastikan goncangan kita adalah dengan iman dengan amal sebagai hamba Allah bukan hamba manusia."

Hinggalah peristiwa luka menyinggah melakar ingatan hingga kini masih kekal di ingatan bila sedang dalam perjalanan pulang dari sekolah sebuah kereta menghampiri seperti pemandunya mahu bertanya, dan saya pula memberhenti langkah bersedia dengan senyuman di tepi jalan, rupanya saya di beri ludah dengan senyum mengejek, "tutup aurat jika tidak mahu masuk neraka."... Ahhhh abang-abang berjubah dan berserban entah keluhan entah keinsafan tatkala melihat adik-adik perempuan yang masih tidak sempurna berpakaian.

Saat ini ternyata perlu bersama berusaha membetulkan salah tanggapan terhadap Islam kerana terlalu luas jangkaun untuk saling bekerjasama dan berusaha menegakkan keadillan tanpa penindasan terhadap hak-hak kebebasan individu untuk mendapatkan pembelaan. 


Namun maruah kita jangan sampai terus diinjak permudahkan...kita perlu menyedarkan mereka yang teralpa berbuat silap, kita juga di benarkan mempertahankan diri namun kita masih mahu berkasih sayang kerana agama kita adalah agama yang di anugerah Allah untuk kesejahteraan dunia dan akhirat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan