Sabtu, 9 Januari 2016

Kemanusiaan Nilainya Pada Harga?

Malam-malam begini teringat kisah lama semasa bersekolah  sehingga membuatkan saya kembali tersenyum bersendirian.

Teringat kelas Perdagangan sewaktu di dalam tingkatan tiga, cikgu mahukan kami menerangkan bagaimana akan kami lakukan jika berhadapan dengan dua keadaan iaitu :

1- Sebidang tanah yang perlu ditafsir nilai semula.

2- Seorang pelanggan yang sentiasa setia membeli khidmat kita.

Saya beri jawapan di mana ada permintaan di situ ada penawaran kerana kuasa beli ada di tangan kita.



Teringat pula madah cikgu Sejarah, "Seorang suami yang tiada harapan lagi untuk hidup bukanlah bermakna dia sudah mati untuk ditinggalkan."


Dalam hidup kita mesti berani mengatakan kebenaran sesudah membuat silap perhitungan...

Bukan menjadikan nyawa manusia cagaran hidup matinya perjuangan...


Penyemakan semula keamanan tidak lengkap dengan berpillih-pilih harga kemanusiaan...


Membuka jalan dan menukar tanda nama kepada jalan yang baru jelas membuktikan siapa kita dan dari jenis apa kerjaya kita...


Kita pastinya sentiasa mahu menjadi 'professional' juara atas setiap kejayaan biarpun meradak jantung insan yang tidak berdosa....


Tertanya-tanya agak-agaknya darah manusia menjadi berbeza jenis kerana apa ya? 

Semakin Waraskah Bicara?

Usah kita terbiasa-biasa menghimpun diri untuk merasa istimewa.
Meninggikan status diri, berkelompok membina ras etnik diri untuk menjadi terbilang hingga bangsa yang lain hanya menjadi keturunan yang terbuang.


Kembalilah menghitung semakin jauh zaman meninggalkan kita semakin terjulang kemegahan ilmu, perlukah kerana teknologi menjadikan semakin kita mencengkam diri menyalutkan pakaian jahiliyah sehingga menutup mata hati menggelapkan akal budi?



Benar atau salah apa yang di hati dibukti oleh tindakan dan di sahihkan oleh kata-kata?



Enggan untuk bertindak, hanya menjelaskan rupa sebenar ketidak bijakan untuk berhikmah atau ' dungu yang rakus ' kerana ditenggelamkan oleh hati yang dikemudikan oleh buta yang dari kecelikan dan kecerdikan akal.

Fenomena ini bersebab oleh kelalaian yang mengaibkan, mencalar maruah, menghimpun bala menjengah hangat bingar gelodak kepanasan perseteruan...


Hak apakah yang diterima pakai oleh dunia untuk menafikan keupayaan menasihati dan membetulkan penguasa jika menyeleweng?



Hak apakah yang di istilah benar oleh dunia jika kelukaan yang berbekas sekian lama oleh penindasan masih mahu dan perlu dipercaturkan atas pentas perbalahan bertikam undi?



Sejauh manakah benarnya menjadi milik si gagah perkasa yang sekadar menjuih bibir  sesudah menyempurnakan arahan yang tidak mampu di timbang tara?

Apa sahaja kalimahnya maka kalimah itu tiada mampu disanggah.


Menjadi agung kiranya manusia kerana kuasa?
Menjadi kerdil manusia bila tiada di adili oleh kuasa.
Masih samakah makna di sebalik perbandingan ini?


Apakah tinggal menjadi baki jika selepas demokrasi dijulang keputusan di genggaman tanpa diduga bagai helang menyambar menyergah dengan garang...


"Nah! Inilah padah pilihan mimpi-mimpimu! "


Seekor serindit bersyair mendayu-dayu...

Baki telah menjadi daki,
daki kerana miskin budi.
Budi telah terhakis oleh iri,
iri kerana telah disumpahi.


Kedudukan manakah yang hendak dicari.
Kedudukan sekadar muslim dan bukan mukmin?
Kedudukan mana yang hendak dipilihkah?

Kedudukan sekadar muslimah dan bukan mukminah?


Kedudukan sebagai hartawan dermawan atau sekadar peminta belas kasihan?...

Pilih Memilih Untuk Bahagia

Serindit ingin terbang berkawan-kawan bersama Tempua. 

Sama membina generasi yang beramal dari keyakinan yang benar dari metod Ilahi kerana jazirah mereka pilihan Allah Ta 'ala sejak dahulu lagi.

Budaya dan peradaban yang pernah memacu kegemilangan tamadun yang mengibar kemanusiaan bersendi kasih sayang dari rahmat Pencipta yang satu.

Namun Tempua ingin memilih arah tujunya sendiri kerana Tempua sentiasa beranggap dia tetap punya perbezaan dari Serindit.



" Tidak mengapa Tempua jika kita sekadar dapat berkasih di dalam hati sahaja..."



Maka akan terleraikah persaudaraan persepupuan sejak dari Nabi Ibrahim (alaihisallam) ini?


Jika menurut hati Serindit haruskah dia bermetafora yang bermelankolikkan perasaan semata-mata.



Tempua semakin menjauh pergi... berbekas cuma kepulan mega hitam umpama metana di Capetown.



Rutin penggiliran memaut kecelikan kerana yang pergi tidak akan kembali lagi.



Kini yang tinggal hanyalah waris-waris yang mewarisi khazanah untuk menerus atau memecahkan tradisi anutan yang terpasak sekian lama menjadi urat nadi yang bersimpul mati.



Hakikat yang perlu diakui Serindit dan kerabat sa
udaranya ialah bertanggungjawab membersihkan pencemaran generasi dengan amanah kerana waris-waris ini yang akan berhadapan dengan ujian zaman yang telah termaktub di dalam qalam Ilahi.



Sayang, Tempua tidak upaya memikirkan persoalan hidup bahagia atau derita tatkala berhadapan Rabbul Alamin. 

Cukuplah persengketaan perseteruan sejak Isa Al-Masih.

Serindit cuba tidak mahu mengungkit, namun berbekaskah di hati jika tidak dibuka lembaran sejarah bila Paus Paulus VI pernah memberi ampun...


" Aaaahhhh... bukan menjadi urusanku..." bisik Serindit sambil menguak sayapnya.


Dalam diam Serindit berkicau, bahasa itu bermutu jika ada makna. Makna tersimpul oleh keinginan.

Ingin hidup bahagia tidak hanya di dunia yang fana. Bahkan kekal berjiran mesra dalam syurga berkekalan.


Serindit suka bernyanyi jika bersedih hati...



" Gerak langkahmu memikat hati. Lirik senyum manis sekali. Namun kini aku menyedari ia adalah ranjau berduri.
Yang sentiasa daku lalui yang menguji iman di hati setinggi mana ketakwaan sekuat mana keimanan.
Janganlah dicuba menggoda diriku membuang waktu dan tenaga. 


Cintaku cinta abadi cinta Allah Allah Ya Rabbi.
Senyummu itu racun berbisa menggugat naluri menggoda jiwa walau rupamu amat menawan namun ku tetap pilih yang beriman..."


Kini Serindit tersenyum sendirian. 

Regu Yang Ragu

Semangat berkobar menemui pudar, yang keras dibisik usah bertegas, mahu bersaudara di titip bibit ragu berbencian, bebas suara berkongsi kebenaran diunjuk mencabar kejaguhan ... sedang sendu tangis masih kedengaran ... yang merindu masih berhati rawan ... yang bebas ditawan-tawan ... saat keringat peluh merah menumpah dedah cinta pertiwi percikan bola api tumbang jiwa sanggup diredah ... saat-saat begitu sekadar sapaan manis kerana kasih lantaran iman kerana berjiran ...menjadi ungkapan beracun menerbit resah ...
... seolah-olah sunyi hening damai tidak dan bukan lagi irama merdu ...

"Serindit! Kongsikan dengan hamba senyumanmu itu."

"Tempua, senyum hamba senyum yang dipaksa dibuat-buat menunjuk-nunjuk ria!"

"Katakan apa durjanya?"

"Bagaimana mahu hamba bendung sengsara dipaksa-paksa tanpa rela?"

"Adakah bukti dakwaan tuan hamba?"

"Bukti yang hamba sering timbang tara, andai kerap beranggap kata hamba yang yang terlebih segala-gala,bijak tanpa sarjana, saksama mahu membela, bistari bermegah diri, pada masa serupa hebat pantas merembat ...
cenderungkah tingkah hamba laksana diktator?"

"Tuan hamba meremehkan teman seperguruan atau saudara sebangsa?"

"Aaahhhh, tidak pernah terlintas terbit di benak hamba dakwaan tuan hamba, yang wujud tercipta di minda hanya mahu muafakat mencari berkat ... selebihnya hamba musyawarah untuk hati dan diri sahaja."

"Hamba tidak melihat keterlanjuranmu Serindit! Darah muda kita membangunkan jiwa guna untuk memperbaiki rasa ... "

"Tuan hamba sudah pandai bermain kata ya Tempua, amat berbeza di saat dirimu masih di dalam sangkar kurungan.  Sukar gundah gulana ini dipudar ... masih bermain saat mengira masa menjarak niat yang jauh di hasrat dasar ... mahu apa jika mendidik merawat hingga bahagia bernikmat masih tersadung hasrat?"


"Perbaiki kerana perihatin, ubah kerana ingin mengelak musibah ... hamba tidak mahu hidup terus ungkit-mengungkit membangkit menyempit ... sejarah berulang tercipta cetak mengulang tayang ...hubungan dunia mengira kirai untung harta dana sahaja ... bertirai bercekak silat agar seninya seni hulubalang akur pada panglima... kini bersalahan nasib andai berpeluk tubuh sedang batuan bata diroboh melanda kepala ... memelihara mempertahan negara diri juga keluarga sudah di kelas tender hanya khas milik sebangsa ... jika yang lain mencuba diujarkan, 'awas! kamu mencari sengketa.' ... 



Bila demokrasi di junjung atas batu jemala hamba ... terdengar pula herdikan, 'awas kamu ... pandai bermadah kata,binasa!'

"Jalan kita Tempua saling berbeza, hamba kerap temui jalan yang menyingkir bebas semangat untuk sering bermungkir, dinyah usir tuah demokrasi, bimbang hamba tak mampu lagi kendali emosi...seperti itu mahu di cari.' 


'Sedangkan bicara akidah kami demokrasi itu yang paling mudah di fahami jika solat berimamlah dengan yang kamu suka juga redha.."


"Hamba mahu tegas pendirian utuh kemahuan bijak menjadi kebiasaan bukan separa strategi separa kombinasi separa regu membiar ragu, kemudian menjadi pengecut bila janji dituntut untuk amanah diturut, iman tidak dikerah dengan menjadi pak turut, bermusim-musim trend untuk berhiruk pikuk dek sifat anak muda terngadah hanya bila kepala terhantuk...berdegar-degar hati mudah ditawar..."


"Tuan hamba tetap pendirian tidak mahu di cabar? "


"Mencabar hanya jika untuk melumpuh akal rohani di tuntun jalan oleh kompas ekonomi sombong kerana iri memimpin ala diktator, seni tari berhalus oleh diplomasi bahaya polisi kerana meminggir rakyat dinamik mahu berdimensi, berakar akidah sejahtera ummah ...."


"Nanti ... nanti Serindit! Aduh ... idea-idea ini bukan kita sang burung pantas membicarakannya ... "


"Bagi kita dedak, gandum, barli, jagung dan air setabung ... cukup memadai. Begitukah?"


" Tembeluk hamba kecil sahaja ... kita haiwan yang ada rasa, akal tidak menjadi harta kita namun kita dengan manusia tetap serupa ... makhluk kepada Yang Esa ... setiap perbuatan akan di ambi kira! Tiada arang yang menconteng ke muka, kita musafir yang membawa cupak ke negeri orang, kasih yang jauh kita sahutkan sebagi pembangkit andang yang terendam."
 



"Bila berjanji usah dimungkiri, walaupun kita haiwan, kita bukan seperti bangau kasihkan kerbau!"

Allah Ta'ala Saksi Saya


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

2016 telah dimulai terlebih dahulu dengan ketibaan 1437, lalu apakah yang perlu dilihat pada hari-hari dan saat yang telah berlalu  tatkala kitaran semula ke atas apa yang telah berlalu itu tetap berulang?

Catatan di dash board saya masih diganggu.

Allah adalah saksi saya.

Sabtu, 5 Disember 2015

Permohonan Mengisi Jawatan Kosong


Satu ketika di zaman Khalifah Umar Al-Khattab (radiallah hu anha) ada seorang lelaki telah datang memohon untuk berkhidmat di salah satu jabatan kerajaan.


"Datanglah kembali bersama seseorang yang mengenalimu, pinta Khalifah Umar Al-Khattab."


Esoknya dia kembali bersama seorang teman.


"Apakah kamu mengenali lelaki ini ?",tanya Khalifah kepada teman lelaki itu.

"Ya, saya kenal beliau."

"Apakah lelaki ini jiran kamu?"

"Tidak ya Khalifah."

"Apakah kamu pernah bersama-sama dengannya hingga kamu tahu dengan jelas tabiat dan tingkah lakunya?"

"Tidak," balas lelaki itu.

"Apakah kamu pernah meminta bantuan dengan meminjam wangnya sehingga kamu tahu bahawa dia takut dan menghindari dari mengambil yang haram?"

"Belum pernah," jawab lelaki itu.

"Apakah dia hanya kamu kenali ketika di masjid sahaja?"

"Ya."


"Ternyata sebenarnya kamu tidak mengenalinya, pulanglah.. "


Kepada lelaki yang memohon jawatan itu Khalifah memintanya datang semula dengan membawa orang lain yang benar-benar kenal dengan dirinya. 

Lingkaran Semalam

Bersikap ekstrim dalam membetulkan persepsi supaya makna keadilan dapat dihayati adakalanya menuntut pengorbanan. 
Ia lahir bersama keinginan yang disuarakan samada dengan bicara bahasa atau bicara laku.


Persepsi yang berubah-ubah membuktikan ilham manusia tidak sempurna sepertimana perubahan iklim dan suhu dunia. 


Kebekuan salji diselidiki dikaji akan mencair menaikkan paras air di lautan...menenggelamkan beberapa daratan... urus tadbir Allah diakui secara tidak sedar oleh manusia yang berproaktif menguruskan kekayaan dunia tanpa sedar Ar-Rabb turut menguruskan hal-hal alam yang menjadi milikNya.

Apa yang jarang dikaji selidik adalah bukti kesempurnaan Islam yang memperakui akal manusia yang terpimpin dengan akidah yang sahih akan terus mengalami perkembangan kreatif membangunkan keinsanan setelah membaik pulih nilai kemanusiaan.

Pertarungan hanya milik mereka yang berani bertanggungjawab tidak sekadar memejamkan mata terhadap penyelewengan kesilapan yang mengorbankan harga dan maruah nilai diri manusia.

Timbang taranya pada cerdas akal setelah wahyu-wahyu langit menegaskan orang yang beriman itu adalah orang-orang yang sering memikirkan kejadian langit dan bumi oleh kecerdasan aqal mereka. 

Cerdas akal kerana tatasusila yang meninggikan nilai akhlak apabila Ar-Rabb menjadikan Al-Quran dalam bahasa arab agar kamu mengerti. 

(Namun mengapakah bukan pemilik bahasa ini yang kelihatan seolah-olah lebih mengerti?)

Penyakit oleh virus yang mudah merebak akibat dari menilai setiap sudut berpandu kepada hawa nafsu, membangunkan kelesuan lalu melumpuhkan pandangan dan keyakinan untuk menyedari manusia bukan dan tidak bersifat malaikat. 

Keutamaan membina interaksi menghubungjalinkan persefahaman sesama insan berupaya mendekatkan jurang perbezaan.

Miskin harta upaya berusaha. 

Miskin ilmu upaya menuntut. 

Miskin jiwa upayakah bercinta ? Miskin hati upayakah menurut?

Pastinya kemiskinan adalah penyakit!

"Serulah manusia kepada jalan Ar-Rabbmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik dan berdebatlah dengan cara yang baik. "

Perbuatan lebih tajam dari kata-kata. Setiap kesukaran tentu pastinya akan berakhir kerana kita perlu membenarkan bahawa kebaikan itu memutuskan lidah. Lantas jika kita berupaya menjadikan kemaafan buat musuh bermakna kita bersyukur pada keupayaan itu kerana ia anugerah Allah.