Ahad, 2 Jun 2013

(Raja Adil Raja Dikasihi)

Raja Adil Raja Disembah



Suara-suara yang bergema memacu serindit menghampiri pinggiran sepi yang terkurung di dalamnya seekor tempua kecil yang sedang menajam paruh kerana perut telah terisi kerongkong telah basah... berkedip-kedip mata serindit tatkala bertentang mata dengan tempua kecil... ' ayuh mari kita terbang bersama... akan ku temani pemergianmu dari sangkar ini... '

Kembali serindit merenung bersendirian melihat kerabat sebangsa... jauh hingga menyentuh hati.

Serindit cuma mahu bebas mematuk-matuk bijirin yang dulunya begitu mudah ditabur oleh pejalan kaki atas sikap pemurah... serindit juga mahu bebas menghirup air yang dulunya ditakung khusus untuknya menghilang dahaga setelah jauh terbang membelah angkasa...
Serindit perasan kini, helang yang mengawasi angkasa hanya tinggal bayang-bayang...

Kesunyian mencengkam hati serindit...

' Seperti makhluk lain serindit juga teringin bersama sanak saudara... yang ada kekuatan kerana akrab kasih kerana ikrab sayang... kerana serindit biarpun hanya seekor haiwan kecil  ia juga tunduk dan patuh pada tuntutan Pencipta...'

Biar dengan kicauan yang lemah namun nyaring serindit hijau berbicara di jiwa... ' agama itu asas dan kerajaan adalah pengawal...jika sesuatu tidak mempunyai asas yang mengukuh kekuatan akan rebahlah ia... sesuatu yang tidak ada pengawal akan hilanglah juga ia....'

Serindit tetap mahu terbang sambil berkicau-kicau melagu apa sahaja yang bisa mendamaikan jiwa.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Kini dari hanya miliki tiga anak teruna tanpa diduga Allah ' menganugerah ' tiga lagi anak teruna yang tampan untuk menjadi anak-anak saya... tidur lewat malam menjadi pembuka pintu, membakar pizza di tengah malam... bila mereka tidak tidur saya juga perlu berjaga... sebelum mereka tidur seteko nescafe dengan gorengan ayam perlu menjadi buah kasih antara kami...

Semalam mereka belumba-lumba bercerita tentang pengalaman mereka ketika menonton acara piala dunia di sebuah ' warung syisya ' secara ringkas difahami :

Seorang lelaki tua yang berseri wajah begitu ashik bersama anak-anak itu menonton acara dari peti televisyen.
Tanpa di sangka-sangka beberapa anak muda yang gagah tampan menyambar alat kawalan jauh menukar-nukar rangkaian stesyen tanpa silu..

Lelaki tua ini dengan rasa hormat meminta izin supaya di kembalikan rangkaian acara piala dunia...(saya tidak pasti - ianya acara bola untuk kejohanan apa)

'Aaaaaaaaahhhhhhhhhh! ' kata anak sulong saya yang ketika itu berusia lapan belas tahun, begitu durjana karenah anak-anak muda yang mungkin berpangkat abang kepada mereka...sambil menyergah marah meninggi suara menunjal jari ke muka lelaki tua bahkan ada yang dengan sadisnya menampar pipi lelaki tua tadi (ianya hanya tamparan lembut yang biasa dilakukan sesama mereka yang sebaya) ...membantah permintaan yang sopan penuh adab.

' Sedih mak... pakcik tu cuma menjawab dengan tenang, Allah akan membalas setiap perbuatan mu ! '


' Makcik, kami menganggap ini pendidikan buat kami untuk lebih menyedari Allah sentiasa kasih pada mereka yang teraniaya...' 
Bagai di cita saya menokoktambah, ' Ini perubahan ini kurniaan buat kamu semua. Mulakan dengan menjadi anak yang taat...berusaha menjaga solat yang lima, jujur pada diri usah bertingkah pada perkara yang kecil, saling mengasihi dan menghormati.'

Tak boleh berujar panjang masing-masing dah mula menguap, ..' pergilah tidur tengah hari nanti kita makan nasi lemak bersambal udang !...' 

Badmintonlah Pula

Apabila melihat anak mula membelek raket tenis abahnya, saya mula memasang angan-angan mahu mencari dewan untuk bermain badminton sambil terimbas semula dahulunya saya handal juga dalam permainan ini semasa bersekolah dahulu. 

Hanya mewakili sekolah  sahaja yakni di Sekolah Kebangsaan Jalan Low Ti Kok Kajang. Waktu itu Cikgu Yahya yang  bertangungjawab ke atas pasukan bulu tangkis sekolah. Antara rakan yang masih dingati ialah Zainab binti Buang. 

Malangnya kami tidak pernah menang.

Selain dari Cikgu Yahya masih cikgu-cikgu yang masih dingati adalah allahyarhamah Cikgu Fatimah Hj Hassan, Cikgu Mustpaha Rafie, Cikgu Normah dan Cikgu Abdul Jalil. 

Alhamdulilah saya masih dapat menemui salah seorang rakan sepersekolahan dahulu di facebook yakni Puan Norhanizah Kudus.


Saya masih ingat lagi ketika hanya China dan Indonesia sahaja yang mengungguli permainan badminton ini.

Badminton mempunyai nilai seni permainannya yang tersendiri... berstrategi, semakin lama pertarungannya berlansung di situlah kejaguhan sebenar pemain terserlah. 


Hantaran tinggi, pendek, menjunam, perlahan di depan jaring, melintang, diakhiri dengan 'smash' yang kencang memberi kutipan mata.


(Ketika membuka fail lama untuk menerbitka semula catatan KendiriBentala  ke blog KendiriBentalaTunjangnyaAkarAkidah saya (2013), ia membuatkan saya tersenyum kerana bahasa puitis saya amat keterlaluan nahunya ...agaknya kerana itulah ada yang pernah bertanya adakah saya mengupah sesiapa bagi menulis untuk pihak saya... aduhai saya sendiri tidak sedar bagaimana saya boleh menggunakan bahasa yang sebegini ... banyak kesalahan dari nahu bahasa)...



Hantaran-hantaran tidak boleh keluar dari gelanggang menjadikan permainan badminton memerlukan penumpuan seluruh sudut... dari saat berinteraksi dari mata ke mata dengan pihak lawan di awal permainan... hinggalah membantah keputusan pengadil jika berat sebelah.


Kombinasi yang bersefahaman pula adalah paling penting untuk menentukan rentak permainan beregu... perlu bertolak ansur, saling memberi ruang dan mencari peluang bagi mengutip mata demi mata untuk mendapatkan kemenangan.


Apabila semakin sukar rentak ditemui bermakna dengan mudahlah pemain beregu itu tewas di tangan lawan.
Sebaliknya bila gandingan rentak lancar licin dan seiring maka semakin panjang dan lamalah tempuh perlawanan akan berakhir.

Tanpa pernah menduga salah seorang rakan rapat sewaktu bersekolah di Sekolah Menengah Sultan Abdul Aziz Shah, KM 22, Kajang telah bertemu jodoh dengan pemain utama badminton negara membuatkan saya sering tersenyum sendirian setiap kali membaca nota ini.

Ya,peranan mata dengan hati juga kiranya memberikan pengaruh kepada pemain kebangsaan negara dengan penonton permainannya.

Seni permainan badminton ini adalah sukar kerana pemainnya mesti berupaya mengekalkan kecergasan dari awal hingga tamat permainan kerana itu bukan semua negara berjaya menyimpan Piala Thomas begitu kerap seperti mana yang pernah diakukan oleh negara China dan Indonesia.


Ke dua-dua negara ini  penduduknya terkenal dengan sikap rajin berusaha tidak suka menyukarkan orang lain... rajin merantau namun masih kuat memelihara adat resam budaya peninggalan nenek moyang mereka.


Biar di uji mereka tetap miliki keyakinan tinggi membangunkan ekonomi dengan cara yang baik dengan membetulkan diri dan berkongsi dengan adil kerana itu banyak barangan mereka murah dan mudah ditemui dimana-mana. 


Monday, July 10, 2006

Lagukan Kedamaian


Apakah sama dan serupa antara kepala dan ekor?

 Sambil terbang serindit bertenang mengilham bicara menyimpulkan rasa... 
Beburung akan berterbangan berkawan-kawan bersama jenisnya.

 Seperti mana manusia,sekufu dan setaraf membuatkan mereka senang berhimpun oleh persamaan sesama mereka... 
Selangkah bersama sederap segerak kehadapan bilamana keyakinan segar menguntum, jujur megah terjulang dari gelodak jiwa yang membawa mekar menjadi damai dan tenang...


Serindit tahu beza akal, adab dan harga diri. 


Emas kemilaunya pada warna kuning. 


Cendana wangi pada baunya yang harum bila dibakar.


Serindit menyimpul senyum... mengibar sayap menyantuni himpunan kedukaan semalam yang kini jelas berbeda warna... umpama warna pelangi yang pernah tercalar dihiris gerimis.


Seketika di saat melepas lelah di hujung laman taman yang sunyi... terbisik di telinga serindit bicara sahabat utama di hadapan jenazah Rasul sallallah hu alaihiwasallam,


 "Aku telah diangkat menjadi pemimpin kamu, tidak bemakna aku ini yang lebih baik daripada kamu. Orang yang lemah di antara kamu menjadi kuat di sisiku kerana haknya akan aku ambil dari yang kuat. Dan orang yang kuat antara kamu lemahlah dia di sisiku kerana hak yang lemah akan ku ambilkan darinya... 


Erti keadilan dari sudt pandangan Khalifah Abu Bakar As-Siddik radiallah hu anhu.

Sendirian serindit berkicau melagukan rasa hati...


Kemanusiaan telah lama hilang,
Kini yang tinggal hanya ketakutan,
Musnah kasih sayang dan persaudaraan,
Tandus akhlak dan keimanan,
Menyemai persengketaan.

Namun dalam kicauannya serindit pasti... lagu kedamaian akan kedengaran kembali...

"Apabila engkau telah berazam maka bertawakkallah kepada Allah." 


Sunday, July 09, 2006

POST BY THANAIF

Sabtu, 1 Jun 2013

Pesan Emak Usah Tamak






Emak bersama anak-anak saya Hanan, Mustaqim dan Hilman Ogos 2015


Bila mahu memulakan perjalanan,
Emak selalu memberi pesan,
Jika sesat berjalan balik ke pangkal jalan,
Usah malu bertanya nanti diri banyak membuang masa,
Usah terlalu bertegas bila ternyata ada jalan pintas.


Emak... emak... ujar hati kecil saya,
Jalan pintas tak selalunya ku temu,
Matlamat bisakah menghalalkan cara yang beribu?

Dunia yang luas terbentang menimbul seribu persoalan,
Pabila mahu memilih tindakan,
Mana satu yang tepat kewajaran pilihan,
Mengikut persepsi atau menurut-nurut pandangan,
Merelai sangka-sangkaan atau menunduk-nunduk pada andaian...

Kesudahannya saya yang jadi buntu namun tidak sedia diri bertukar dungu,
Pabila membuka semula lipatan sebuah sendu.

Berliku jalan bersimpang selekoh,
Bisa akhirnya bertemu jalan yang satu,
Sudut di hati sekian lama terbina kukuh,
Kepercayaan kita adalah serupa sama kerana asalnya satu.

Usah bohongi hati di dalam,
Iri dan hasad tak membawa kejayaan,
Dendam hanya bisa menyuram seluruh alam,
Sengsara menyepi merana di kuburan.

Yakin yang baik memberi faedah,
Buat seluruh makhluk di dunia,
Akan indah bila sedia bertukar kaedah,
Dari iman menerbitkan amal ia adalah kurnia. 

Keroncong Terkenang-Kenang

 

Serindit menebarkan sayap jauh termanggu-manggu, ke manakah arah mahu dituju, 
ke manakah mahu dilabuhkan sayap ini. 

Ruang udara seakan tidak cukup terbuka keluasannya untuk diredahi seakan perlu ada pengenalan diri untuk memastikan serindit ini benar-benar burung yang kerdil, 
boleh dipaksa hijrah andai sayapnya tidak mampu diangkat lagi?

Apakah telah dilupakan?


 Serindit ini lahirnya di sini di tengah dentuman bersama letusan lahar marah nan berapi. 
Ini angkasa ruang tempat ia menghirup dan melepaskan udara biarpun ada ketikanya udara yang dihidu berbau nitrogen ia tetap hirup bagaikan menghirup secangkir madu sedangkan sebenarnya ia menghirup secawan racun.


Serindit tidak bisa mati oleh apapun kerana biarpun kerdil, serindit miliki jiwa yang suci tak mampu ditebuk hatta oleh sebilah jarum....


Serindit masih berkicau. Kicauannya masih sama sama serupa.



Serindit terfikir mahu berdiam diri sahaja kerana menyedari hakikat bahawa jika mahu berkata-kata biarlah bicaranya yang benar dan baik sahaja.


Bunyian dari lidah bahasanya mudah tidak sesukar bahasa perbuatan. 


Namun bahasa perbuatan lebih menjadikan manusia mudah terpengaruh.


Serindit hijau bersama kerabatnya berfikir-fikir dan terkenang-kenang, benarkah jika terlalu kerap memikir natijjah, lama berkekalan akan memudarkan niat yang benar......



Serindit terbawa-bawa dalam perasaannya, hingga bilakah burung sebangsanya harus memamah masa untuk dijadikan alasan, baru teman sepeguruannya bangau, flamingo, kasawari, cenderawasih malah itik nila menyedari kelayuan dan kelesuan kuakkan sayap serindit dan saudara-saudaranya?


Menyendiri serindit meminggir diri. 


Benarkah kepatuhan itu adalah dengan menurut dan menunduk sahaja?


" Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya.
Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya ( iaitu ) ketika dua orang malaikat mencatat amal perbuatannya. Seorang duduk di kanannya dan yang lainnya duduk di sebelah kirinya.
Tiada satu ucapan pun yang diucapkannya melainkan ada dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir. " 

Ketuk-ketuk Nurani Hati

Wednesday, July 05, 2006

 

Rabu
5/7/06
Aus dan Khazraj,
Bersahabat seperti sedarah sedaging,
Berkasih sayang seperti bercantum hati,
Satu saat pada satu ketika diungkit sejarah lama.

" Masihkah kau ingat ... Perang Ba-ats...? "

Lantas tiba-tiba keras bertegang urat,
Membantah dalam menyelongkar,
Mengganas kata tingkah merubah,
Sesaat yang mesra jadi sengketa.

" Sudahkah kau lupa...? "

Siapa yang ada hasad, awas ! akan menjadi benci,
Siapa yang berkuasa, awas ! akan merana bila tidak adil saksama,
Siapa yang zalim menindas memeras mengganas, awas ! ekonomi sosial budaya akan terhakis.

Usah cemas oleh kata-kata bersandar semata pada otak,
Bila yakin pada jalan yang satu,
Barakah meliputi setiap gerak yang sentiasa menolak,
Apa sahaja yang menghalang biar sekeras kerikil batu.

Jika tidak bercerai berai,
Pasti kekuatan upaya dipupuk,
Mari bersama membina peribadi insan,
Yang menjadi teladan,
Berpulang ke pangkal jalan,
Sebelum merangkak usia ke hujung landasan. 

Terbang Rendah Bukannya Mengalah

Tuesday, July 04, 2006

 

Selasa 
4/7/06


Seekor serindit kerdil berbulu hijau terbang rendah melewati kabus nipis memijar mata, sayunya dari kejauhan terlambak runtuhan-runtuhan bata yang membentuk berbagai petak, perisai-perisai besi tebal yang seakan-akan lesu dipaksa sekian lama meredah menerjah membedil apa sahaja... menurut dengan setia.

Serindit terkejut kiranya panas terik tiada upaya membawa manusia berteduh berlindung buat menyeka nafas seketika...sebelum diiring ke pendidihan jutaan megawatt.

Jauh di sudut hati serindit sentiasa terasa kekerdilan diri bilamana tersua rakan sebangsa...itik nila, bangau flamingo, kasuari juga cenderawasih.....
Namun serindit ini merasa ia telah diberi hak telah dipelihara untuk berada di sini.
Jalannya jalan yang sahih yang didukong oleh hakikat sebuah kemenangan...anih, apakah kerana bulunya hijau serindit di dakwa punya kuasa seekor helang yang sentiasa memburu menerkam dengan gelojoh mangsanya sebelum menjadi santapan....serindit cuma menjejaki kerabatnya yang terus tanpa bicara terpenjara.
Tiadakah hak serindit di angkasa tempat ia mengirai sayap?

Hajat hati ingin pulang begitu keluhan serindit dalam kicauannya. Namun emosinya mengawal sepenuh kemahuan hati itu... sayapmu masih lemah, kuakannya sentiasa terganggu oleh tiupan angin yang menderu, kekerdilanmu serindit akan memaksa dirimu menyinggah di celah rimbun pepohonan kering....
Ada ketikanya kau terjah melawan menyonsang tiupan angin itu, berkali-kali...
Meskipun tertunda terbangmu, kau tetap memastikan kedudukanmu sentiasa berubah dari asalmu berdiri.

Serindit burung kerdil paruhmu tidak mampu mengeryih di saat kau tersasar arah.
Serindit burung kerdil paruhmu juga tidak mampu kau kernyingkan di saat berkali-kali kau bersua permainan yang di perolok-olokkan.
Serindit si burung kerdil dahimu juga tidak mampu berkernyit...
Cuma jantungmu yang berdenyut.
Kernyutnya menikam hati nuranimu.
Sesak dan bersama rebas hujan yang menitik matamu sahaja yang berkaca.

Serindit berbicara sendiri kekerdilanku bukan halangan mengujar alasan.
Cuma bisik serindit aku belum mahu menempuh kenangan lama biarpun ia telah berzaman hilang dari hatiku.
Dan kerana di sini serindit bebas berkicau megah buat cenderawasih yang bermahkota melagukan keroncong refleksi bersegi reformis.........