Sabtu, 14 Mac 2015

Kuasa Pada Kehendak



Monday, September 25, 2006

Ralat merakam resah bila harus mengambil masa yang lama mencari keperluan namun masih tidak tersua sesudah berderatan kedai dimasuki. 

Susunan premis petempatannya saling terpisah dan berjauhan ketika itu (kira-kira sepuluh tahun lalu) 
Pasarananya pula tidak tersusun. Dipencilkan oleh sifat pembawaan bangsa yang ditawarkan pekerjaan. Terpencil dan tersisih oleh infra struktur yang  berjenis-jenis karektor tanpa piawaian. 
Bangunan dan rupa sebuah petempatan seringnya perlu bersih. Bandar dan kota serta pekan yang kotor menzahirkan risiko penularan penyakit. 

Cuaca bukan pesalah untuk dijadikan mangsa jika kemalasan itu sifat yang membina diri bangsa. Sangat sadis jika bangsa dan negara itu dikenali oleh sifat pengotornya.

Bila bangunan berjiran apakah permit penggunaan ruang ditentukan oleh tuan tanah atau kerajaan?

Menemukan sebuah bengkel kereta yang berjiran dengan kedai runcit yang menjual keperluan harian tatkala yang dicari adalah nat skru kecil.

Akhirnya menemukan sebuah kedai kecil yang hampir-hampir tidak dilihat oleh mata. Rak-rak tiada petak khusus, kategori tidak disenaraikan jenis dan nama, uuhhhhh bercelaru kusut terlihat 'nat' skru kecil terbenam ditindih oleh paku-paku dan skru besar juga sederhana ukurannya. Semua ini adalah pengalaman kira-kira sepuluh tahun lalu...

Lalu lazim yang kekal terbit dari lipatan kenangan terimbas selayang ingatan terhadap tanah sawah di kampung emak yang ditanam semula dengan kelapa sawit. 
Rumah kampung di tanah adat itu yang sepi dan sunyi kerana jauhnya dari bandar semakin 'gelita' apabila pohon kelapa sawit semakin meninggi merimbun daun-daunnya menenggelamkan sinar mentari.

Kelapa sawit yang telah tua

Kampung di mana emak saya dilahirkan - Kampung Terentang Seberang

Sungai Terentang

Emak mendapat hasil dari tanaman kelapa sawit di tanahnya itu tidak pernah mencecah hingga empat angka (tanpa dikumpulkan pendapatannya) yang diketahui telah didebitkan ke dalam akaun hanya setelah berulangkali menalipon 'adik' kerani di bank ketika itu (kira-kira dua puluh tahun yang lalu ketika saya masih remaja)


Seketika terkenang pada kelas Perdagangan (lebih tiga puluh tujuh tahun yang lalu) ketika cikgu mengungkap tafsir ' sistem barter '( tukar suka sama suka ). 

"Kamu ada beras memerlukan ikan sedangkan cuma ayam dan itik sahaja di depan mata, apa yang perlu kamu lakukan?."

"Pergi cari siapa yang ada ikan cikgu."  


Kata ustaz pula, "emas dan dirham bukan kuasanya pada benda tetapi pada nilainya yang menyeimbangkan antara semua jenis harta."

" Tak faham ustaz, cikgu Perdagangan tak ajar lagi..."

" Makna kata yang lain ialah emas dan dirham itu hanya bersifat sebagai perantara. Nanti jika kamu belajar ekonomi kamu akan lebih jelas lagi, insyaallah," ujar ustaz yang bermurah hati membayarkan yuran peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran saya dan kakak.

Kini setelah dewasa telah jelas kepada saya bahawa mata wang tidak dicipta dengan tujuan menjadi bahan riba.

Mengenang sayu di manakah cikgu kini... mengesahkan bahawa masa adalah modal pelaburan jika tidak ditadbir dengan baik akan menghilangkan banyak kesempatan. 

Pergantian masa memimpin penjanaan tangkas untuk melengkaskan minda dari acuan lama yang bersaiz keterlaluan.

Minda yang yakin dan percaya pada semangat ehsan dan kasih sayang merujuk masa sebagai medan untuk melaksanakan sebanyak-banyaknya kebaikan. Lantas saling melakukan muafakat dan bekerjasama bukan sanggah mahukan kuasa mengadun daya memberi tenaga bagi berkreatif berinteraksi.

Memandang jauh ke hadapan dengan mengesan hidu khazanah nilai tamadun yang menyeimbangkan duniawi dan ukhrawi guna menyepikan ketidakstabilan imbangan menyukat nilai kemanusiaan.

Mewahkan generasi dengan tangkas rohani agar tidak hilang jati diri tanpa miskin hati. 

Dorong Didik Diri


Sesudah dua hari menjejaki bumi bertuah ini (negara tempat kami bermaustautin), tanah tempat terhimpunnya roh dan semangat yang sedang bergelut antara sinar suram dan terik cahaya, kota yang sering disangka bernama Dubai dek kerana tiada selidik didik kaji yang dimanipulasi dengan selang seli, buat pertama kalinya kami disapa oleh seorang peribumi.

Saatnya adalah di ketika yang sama kereta kami serentak mahu memasuki petak menempatkan kenderaan.

Menyedari kami adalah tetamu yakni orang asing, kami meraikan lelaki peribumi itu dengan mencari tempat yang lain dan membiarkannya mengambil petak yang kami temui terlebih awal darinya. 

Ketika kami menuju ke pintu utama premis perniagaan itu, seorang syeikh yang  gagah namun tidak setampan syeikh yang biasa kami temui, tidak secerah dengan rapi misai jambang serta janggutnya, menerpa ke arah suami, dengan manis mesra kuntuman senyum ia berjabat salam dengan suami dan anak-anak lelaki mengenalkan diri, beramah kata mengucap bicara selamat datang ke Doha...berterima kasih kerana mendahulukan dirinya di petak tadi.
Biasanya rakyat peribumi yang lebih tua yang agak kusut masai dan tidak rapi ketrampilannya lebih sedia menyantuni kami...pada mata saya mereka mungkin meruapkan penduduk tempatan yang mendiami kawasan-kawasan yang jauh dari bandar...ya mereka mungkin penduduk di kampung-kampung yang berada jauh dari petempatan masyarakat bandar Doha.

Sukar untuk menyukat tepat jika berhakimkan dengan mata sahaja. 

Lidah pantas menutur kata istilah makna tanda bahaya , akan erti kasar roman wajah dan rupa oleh khalayak yang ceria dan dipuja walau tiada wujud percikan tumpahan merah menabur cerbis meninggalkan rangka.

Bahaya di mata ukirnya di jiwa, benamnya di dada, ungkapnya pada bicara lalu mewarnalah berbagai rupa di minda sedia berhujjah kata...hingga natijahnya derita dan sengsara hanya kerana rupa.(21/9/06)


Terimbas jauh tentang isu cetak rompak ekoran ketangkasan China dan India dalam menduplikasi software perisian palsu kerana tiada beretika bila negara itu bukan negara yang dibina dengan agama, penawaran kekal di pasaran dek adanya permintaan yang darinya wujud pekerjaan... sambil berjalan-jalan minda mengitar sinis, memiliki  jumlah besar untuk penduduk yang layak menjadi pengundi tidak boleh dijadikan contoh bagi diistiharkan pengamal utama demokrasi bila tragedi membunuh pemimpin oleh rakyat sendiri kerana memprotes menjadi amalan. 

Walaupun Pakistan atau India mahupun Cina amalan demokrasi di negara ini mewujudkan pembunuhan dan rampasan kuasa...perlahan-lahan emosi ini bersuara...


Masalah cetak rompak dan pemalsuan ke atas hak cipta sebagai harta intelek didakwa kata memerlukan masa paling kurang sepuluh tahun untuk mengatasinya...sejak bilakah ianya bermula? Dan adakah ianya benar-benar telah berjaya didepani?

Lalu anakku (Ahmad Muttaqin dan Mustaqim) yang telah mula memberi khidmat dan yang masih di bangku kuliah... sedarkah dikau kedukaan minda ibumu ini? 

Mukmin dan mukminah, muslimin dan muslimah umumnya tidak berharta bila kekayaan seringnya diujar sebagai jalan dan cara untuk berkebajikan.

Nah, terasa lelah bagaimana untuk mengadili makna bahaya jika sukatan pada mata...bukti tergambar nyata bukan dibingkai yang melakar arca. 
(14/3/15)

Pilihan di hati, jiwa yang membebaskan kongsi untuk sentiasa berdurja.
Pilu untuk terus menahan sendu kerana yang mahu dicapai adalah impak bahaya yang telah terungkai...

Kesamaran dari sikap untuk menilai makna dari baris kata yang tanpa telliti akan menyangkar diri.

Kemelut dari gelodak sukma melenggang lengguk mengetuk nurani minta berdiri cari kemudi erti insani hidup bukan di persada duniawi bahkan ukhrawi sandaran sejati.

Lantas mahukah terus bersenda loka pada sendu tanpa usaha yang keramatnya adalah tekad berkorban bersama iman... bergelanggang tidak sekadar di sekitar di persada dagang , bangsa atau kuasa tetapi di medan gelanggang minda yakin percaya atas diri yang bersendi agama sebagai asas berbudaya, membicara dengan bahasa bual minda disepakati, gugusan ditadbiri dengan muafakat bersama kesempatan yang mendalami makna membawa tujuan.

"Dan jika Kami hendak membinasakan sesebuah negeri maka Kami perintahkan kepada orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi apabila mereka engkar (melakukan maksiat) lalu negeri itu dibinasakan dengan sehancur-hancurnya."

Jumaat, 6 Februari 2015

'Jajah' Minda Adalah Kuasa Yang Baru

Hujan langit membawa rezeki,
Hamparan luas buat manusia haiwan tumbuhan di bumi,
Tanah air angin api tenaga rezeki untuk dinikmati.

Ragukah pada agihan ekonomi?,
Bila niat insafkan manusiawi,
Sedang globlalisasi rangka berstrategi.

Kini alam minta tunjukkan adil,
Tiada mahu sengsara oleh 'stail ',
Biar gaya sederhana asal tiada bakhil.

Pasaran terbuka tutupkan minda,
Hati diam bibir bisu dari bicara,
Sedang mengerti jujur sifat mulia.

Adab meminta dengan senyum,
Akan luka jika teriak mengaum,
Guna gentar singkir beza prestasi kaum.

Niat ikhlas baiknya manis,
Kuntum segar jiwa khalis,
Bukan agenda berkesan sadis!

Benarkah nasib miliki tuah?,
Jika faedah sekitar pemerintah,
Memutih mata marhaen hatinya lelah.

Jajah minda tanpa senjata,
Bertarung untuk mulia sejahtera,
Ekonomi pemupuk adil saksama.

Liberalisasi seiring globlalisasi,
Elak guna istilah sosial kapitalis malah lestari,
Silang istilah yang rugi waris generasi.

Telekomunikasi penghubung jaya,
Aspirasi dari latih, serang, bina,
Agar tiada beku statis hati dan minda.

Spekulasi urusan berantaian,
Muslihat terkandung oleh berbagai aliran,
Memeras ragut tindih persamaan.

Miskin kaya kasta berdarjat,
Sukar diubah dalam masyarakat,
Agar adil agihan khidmat untuk rakyat.

Dagangan baik luaskan usaha,
Galakkan sikap percaya jiwa dan raga,
Tetap jujur asas yang utama.

Tanah teman erat Pak Tani,
Urus tanaman ternakan untuk anak isteri,
Tulang empat kerat bakti terpuji.

Air sumber semakin kehabisan,
Kreatifkan teknik pertanian perindustrian,
Dengan saluran didik juga bimbingan secara permuafakatan.

Ekonomi sumber insan berkasih sayang,
Syariatnya yang kaya kuat membantu yang miskin berhati walang,
Prinsipnya jelas saling tolong untuk semua bukan seorang.

Didikan ibu sumber kejayaan,
Ekonomi adil lahirkan keinsafan,
Pengguna tidak resah kehampaan.

Qalam Allah ajar insan bersifat ihsan,
Kepentingan ramai yang mesti di dahulukan,
Hitung untung harus semaksimum dalam perniagaan.

Pesan Rasul SAW usah menipu yang memudratkan,
Gambaran hati yang rosak oleh kotoran,
Menghilang kepercayaan sesama insan.

Apa sahaja yang baik di manafaatkan,
Tujuan agar berkasih sayang bukan perpecahan,
Permuafakatan tanpa percakaran dan penindasan. 

Terang Menyuluh Sinar


Wednesday, September 20, 2006


Mitos si Pari-Pari

Menganggap diri bak dewa-dewi,
Hakikatnya hanya seorang abdi.

Hamba mengabdi diri,
Bukan injak mentaliti,
Tetapi abdi pada Ilahi.

Merujuk kasih sepenuh hati,
Anjuran lunak budi pekerti,
Cerna bina dari acuan budi.

Muslim menjulang kasih bersaudara,
Lantaran ia pakaian agama,
Tidak sah memelihara mulia atas sengketa.

Kita mesti seperti dinding terjalin,
Batuannya saling meneguh yang lain,
Roboh kita dirikan tanpa bermain-main.

Teman baik menunjuk jalan,
Bersama mengapai kebahagiaan,
Tidak terhenti tatkala bertemu keperluan.

Muhammad Sallallah hu alaihiwasalam  bukan jelmaan,
Ia insan pillihan,
Barakah buat alam juga insan.

Juang bukan cekap berpedang,
Tetapi marah yang dikekang,
Sabar menjadi akar tunjang.

Gentar diri oleh kata jihad,
Sedang ia usaha bersama tekad,
Bukan berbunuh oleh nekad.

Pelihara diri dengan syukur,
Mahu bahagia hidup makmur,
Derita sengsara bantu dihulur.

Mati manusia meninggal nama,
Sanjung hanya jika berjasa,
Bukan derita oleh tuba.

Hulur bantu usah bersanggah,
Biar jujur tiada maksud bercanggah,
Lantaran keliru amat sukar disanggah!

Tamu kerap mengundang luka,
Sedang derita penawar tiada,
Mundur lantaran tiada maju yang nyata.

Berkat telus hati ikatnya di jiwa,
Bukan tarungan cari isu tajuk bicara,
Tidak juga untuk gelar ekstrim fanatik milik siapa?

Ilmu dicari untuk hasrat bahagiakan dunia,
Damai tanpa didikan kita bersengketa dari patah bicara,
Dasar ilmu cari kebenaran ikat diri dengan Pencipta.

Atas kasih sayang Tuhan,
Air ditabur turun sebagai limpahan,
Buat tenaga bekal untuk warisan.

Ubah dengan rangka cinta,
Bukan dengan sengketa,
Tidak juga berbalas kata. 

Lahirkan Cinta Untuk Dunia


Sunday, September 17, 2006

 

Angin perubahan adalah badai yang melanda di hati yang sering sendiri sepi.

Ingin ku simbah keringat peluh agar tidak terasa lelah oleh minda yang telah bersisa.

Lantaran...

Buana alam singgahsana.
Tertimpa bala ke atas ummat sebangsa.
Lelah oleh sengsara sengketa.
Mudah beradu kuasa sedang usaha silih berganti saat menjelma masa.
Menyelongkar cinta yang telah terbenam minta dijulang sinarnya cahaya.

Obor kasih telah tiada lagi bernyala.
Pada saat amal baik mulia teramat siksa untuk aman dari cela.

Luar biasa ikatan yang mengikat manusia.
Berlainan suku berbilang rupa tetap bersaudara.
Tonggaknya adalah cinta.
Indahnya pada didik bimbing bicara beriman kerana beragama.

Insan memerlu santun tatkala di ajar lunak mesra elak sanggah jiwa meluka.
Jika didik gagal hingga teruja.
Bantu tolong pinta apa yang perlu enakkan suara.

Sesuatu yang hilang pasti ditemu akan tersua.

Istimewa jiwa tatkala kombinasi roh menemani jasad di sisi.
Realiti dan ilusi.

Impian meruang tindakan.
Gerak memberi kesepakatan.
Idea membentuk permuafakatan.

Bertolak dari seulas bibir.
Seungkap kata melontar bicara.

"Biasakanlah lidahmu oleh perkataan yang benar penuh redha."

Di hati berbekas segala rasa namun cantumnya tetap mencari adil dan saksama. 

Variasi Warnawarta

Tafakur lalu renung ke dalam hati hujjah kepada diri. 
Bicara bersama jiwa ungkap tafsir bual yang tersirat penuh makna. 

Interpretasi terhadap kewujudan ciri untuk berintervensi memperlihatkan keintiman antara intikad dengan intimidasi sedangkan intisari bersesak nafas oleh intonasi satu introspeksi!

"Hamba tidak faham, mengapa perlu helah kata untuk bukti makna?"

" Pungutan, undian, persepakatan yang hamba dengari sekali gus mengisyaratkan penafian terhadap demokrasi."

 "Kita tidak bernegara duhai Tempua, namun atas rahmah kasih Ilahi, angkasa terbentang luas buat kita bebas berterbangan, pohon yang ditanam ranting dahannya kita jadikan sarang. Bebas kita biar kerdil tetap hayati berdirinya sebuah daulah yang berdaulat adalah lahir dari aspirasi memahami makna bebas tanpa membatas diri untuk bersikap berkecuali apatah lagi untuk menguasai."

"Lantas lalu apakah makna ujarmu wahai Serindit? "

"Dengan lidah kata-kata tidak terbatas, dengan hati dan jiwa tiada satu apa pun yang layak disembunyikan, jiwa tanpa raga ... musnah cinta... cinta atas nafsu... manusia terkedu kaku... Akal sahaja... jejaskan upaya melepasi sempadan... qalbu sahaja... singgahsananya, benar jujur bersatu letaknya culas khianah oleh amarah yang sesekali berbaur lawwamah jauh dari mulhamah apatah lagi muthmaimnah yang jauh dari radhiah."

"Hamba masih tidak dapat menafsirnya, Serindit."

"Aduh Tempua, senyum mahu hamba kuntumkan buatmu... sebegini kerap lontaran bicara, tuan hamba masih mahu penjelasan kata. Tiada tajamkah gelombang frekuensimu?"

"Tuan hamba bermadah pujangga atau berseloka... ini bukan kicauan biasa burung sebangsa kita... nanti bimbang selidik berumbi kaji tilik, kita dipagari oleh jerajak besi."

"Makna kata hamba, kita tidak boleh menolak hakikat demokrasi memiliki dasar dan intipati yang menzahirkan rupa bentuk sebuah realiti."

"Ilmiah akademik mahu disanggahikah Serindit?"

"Ujar hamba ujaran akidah... yang menyakini kita bebas untuk memilih siapa yang akan mewakili kita."

"Sistem apa yang mahu kita istilahkan jika pilihan kita pada yang tidak seleweng, yang tidak didasari oleh mahligai megah harta melimpah ruah sedang harga dan hormat diri telah tercerai oleh palsu sumpah dan janji, adab dan etika urus kerja tadbir negeri tatkala dipersoalkan... bagaimana untung mahu dikongsi, kita terusir dari bumi tempat dilahir, kita tersiksa oleh derita hanya kerana ingin menjadi mulia.
Udara di Darfur bukti dari imej yang telah tercalar oleh makna hakiki sebuah diplomasi... berabad mata kita menjadi saksi..."

"Apakah islamisasimu akan mengisolirkan dirimu dari massa?"

"Itu buah fikir yang tidak berlandas kebenaran! Seimbang yang sederhana inti pada akar syariatku, tetap kita menolak kebebasan peribadi yang keterlaluan seperti berbilang jenis bentuk pasaran... ditara antara sistem yang meminggir sedia berkorban demi belas simpati untuk berkasih sayang."

"Atau sengajakah tuan hamba tidak melihat makna pungutan suara, hak penguasa ke atas majoriti yang melahirkan minoriti yang kekal ditawar bisanya, media dan lidah bicara ilmuan yang tekun bertaakul sepi dari sejahtera rohani lalu yang muda tidak didengari yang dewasa menuntut dihargai. Perlu jelas penguasa untuk rakyat dan rakyat untuk penguasa tanpa memberi ruang untuk hak Pencipta ... kita yang akan berdosa.
Kita tidak mampu terus-terusan menjadi halimunan di sisi Allah ! Sikap kita adalah jelas dunia adalah jembatan ke akhirat... apa yangdisemai itulah yang akan dituai. Kita menuruti dunia untuk menentukan amal."

"Seolahnya tuan hamba akan terus berujar bersendirian selama-lamanya... dek kicauan burung yang tiada siapa dapat mendengarnya... apatah lagi untuk memahaminya."

" Apa salahnya hamba berolahraga bertarung akal dengan jiwa... yang berpeluh lesunya minda.Apa yang pasti qalbu obor mutiara tetap bercahaya."

Dialog bicaranya di ulas bibir menepati janji bukan sekadar untuk berdiplomasi tetapi adilnya terpinggir sepi. 

Jiwa Yang Menjejak Minda Menjadi Sebak Bila Nafas Menjadi Sesak

Bagaimanakah caranya untuk mendapatkan modal bagi meransang kasih sayang di dalam jiwa kanak-kanak?

Imbasan soalan seorang penceramah yang masih diingati ketika menghadiri kursus berkaitan emosi kanak-kanak.

Guru dan pelajar mengajar untuk belajar supaya menjadi terpelajar. 

Ragam ayat mempengaruhi emosi kerana disebut dalam minda tenang mesra untuk lahirkan rasa enak dan girang.

Harmoni adalah keseimbangan minda dan hati. Sukar untuk mewujudkannya jika guru selaku pendukong utama tidak bersedia berfikiran terbuka bertolak ansur untuk mengubah sikap semasanya.

Kanak-kanak syaksiahnya berbeza... ia menjanjikan risiko... iaitu jika tiada minat yang tinggi, guru secara tidak disedari berupaya menyalurkan bijak yang kurang hikmah... misalnya letih guru jika terzahir, bosan jemu anak-anak terungkap dalam laku yang agresif. Bila agresif ia membawa kepada perlaksanaan menghukum yang menerbitkan dendam. 

Guru sering terlupa anak-anak memerhati untuk mengamati.

Lantaran itu merealisasikan cenderung minat untuk mengasihi dengan jujur pasti akan menyalurkan cabaran minda untuk berinteraksinya antara akal dan hati... agar segar harmoni berkomunikasi. 


Tanpa komunikasi hubungan hanya sehala biarpun ada perantara!
Tidak dinamakan komunikasi jika ianya hanya sehala sahaja.


Guru wajar menyebar kasih dengan tabah dan sabar agar lahir nilai mulia untuk dicetak ulang oleh jiwa anak-anak didiknya. 


Mulianya guru kerana sentiasa bersedekah ilmu dan bimbingan.

" Setiap seruas tulang dari seluruh manusia itu harus memberikan sedekahnya pada setiap hari yang menerbitkan fajar. 


"Mendamaikan dengan cara yang adil di antara dua orang adalah sedekah, membantu saudaranya dengan mengangkat beban barangannya adalah sedekah, ucapan yang baik adalah sedekah, setiap langkah untuk solat adalah sedekah, menghilangkan perkara yang menghalang di jalan juga sedekah."