Selasa, 25 Jun 2013

Saturday - August 05 - 2006

Sembang Buat Satria Perwira


Susur angin berhempas pulas memberi ruang buat si layang-layang yang mahu terbang di awan.
Kerasnya angin memutus tali. Tali di simpul berikat-ikat, ikat diregut ketika kecuh, kecuh kecut akan kecundang, kecundang oleh kekecuhan yang kerkak dek kerkau yang kerlap, kerlap kerana keruh yang lama lantas mengundang kerumun Sang Kesateria yang terkesap-kesap dek riang mahu kisi menjadi naga.

"Masih bermadah wahai Serindit?"

"Masih mahu berujar sendiri-sendiri tanpa sedia mahu berkongsi?"

" Buatmu madahku ini wahai Tempua ... ternyata kita spesis sekerabat namun bahaya yang membengkak di hatimu tidak mampu tuan hamba sembunyikan ... siapa pun kita sentiasa mahu berasa diri yang benar, tidak mahu memungkin diri yang tersalah mengambil langkah ... mahu menang biar dengan harga yang murah."

"Sejenak mari kita merenung bangsa manusia ... di dakwa konon bertamadun ... berupaya bermega milion malah trillion dek dollar, ke sana sini menawar untuk  ditinggikan kemanusiaan mereka, berpuitis umpama dewi dewa ... cuma yang lucu masih mahu melastik kita tanpa kasihan ... rela pula tergelak menyeringai bila sayap kita yang lemah dengan bulu yang bertaburan ... masih berebut kita tercungap menghirup udara ... dipijaknya kita hingga bersembur meletus berderai akal hiasan minda kita ... otoriter agaknya bangsa manusia ini, ya Tempua."

"Hati-hati Serindit, otoriter itu egoistik nanti kita disulacela oleh akta tidak di izin berkicau murai lagi ... nahas kita! Sudahlah bila berbicara tiada yang ambil peduli ... bernyanyi kicau kita di kata sumbang ... menari disenda kaku dan keras ... menulis kita tak pandai ... mereka hanya sudi kita berderai air mata ... melihat sarang kita dijolok api mereka amat-amat berbangga ... telur yang kita eram di pecah paksa tetas ... ibu kita yang tua kereput tak cukup tenaga di ajak berunding dengan senjata ... bapa kita di terjah setiap masa hingga sudah lama tidak kenal kewajipan dan tanggungjawab dalam berumah tangga ... sudahlah angkasa kita berhujan mutiara hitam ... terang bercahaya sinar mata mereka kita yang tinggal dengan hati yang sentiasa gelap hitam ... hati-hati Serindit."

"Hamba tidak gentar duhai Tempua ... sudah di ketahui tak perlu di hurai ... jatuh, hina bangsa manusia kerana hasad di alas kuasa ... kaya mahu di hadap seorang rugi kita yang menanggung sepanjag usia."

"Harapan hamba bangsa manusia mampu melahirkan warisan yang berwibawa agar tidak serupa sama seperti bangsa kita si haiwan-haiwan, gagah liar di udara hutan ...Lihat sahaja Sang Singa lahirnya di hutan namun Sang Penguasa tetap gelar di pakai sebagai gelaran." Lain gaya bangsa manusia Penguasanya mesti berilmu ... ilmu sahaja jika peribadi sentiasa menconteng arang di muka ... bagaimana tu ya Tempua??? "

"Hamba teringin mahu menjadi Penguasa yang memimpin bangsa kita Serindit, namun hamba ini gemar mencetus masalah bijak menggempur rintangan melintasi halangan ... maklum sahaja hamba anak emas Sang Kesateria usah tuan hamba berjauh hati ya Serindit, namun malang nasib hamba kerana itu sahaja teladan hamba kepada bangsa kita."

"Sudahlah Tempua ... tuan hamba sentiasa berujar madah ... umpama Badan Mergastua yang jalan sentiasa tersekat-sekat mamai oleh pujuk rayu Kesateria, sentiasa juga jalan mahu di pimpin ... bertongkat pun rela tak mampu berdikari ... Badan Mergastua tidak tahu diri yang tua mesti matang terbuka hanya mahu bermanja-manja seperti anak muda ... paling parah tak tahu emas itu di ukur oleh masa ... mencuai saat untuk bermadah pujangga ... sakit hati hamba ... arah telah menyonsang bila tidak kenal mana intan mana kaca, mana duka mana ria, mana senyum mana tangis luka, mana yang tepat mana yang pahit kelat."

"Hamba sesekali benci kepada bangsa manusia!" 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan