Khamis, 2 Julai 2015

Marhaban Ramadhan 1436


Catatan ini dinukilkan untuk menjelaskan identiti dan jati diri saya sebagai seorang muslimah, seorang wanita melayu, seorang isteri dan ibu dan berkerakyatan Malaysia.

2 Ramadhan 1436

Menerusi facebook Somaiyyah Ansari kelihatan qamar hilalku di Corniche namun masih belum dapat dipandang di atas langit rumahku di Abu Hamour.

Ramadhan masih kekal memisahkan ummat yang beriman dengan ummat yang tidak beragama tetapi masih inginkan kebaikan.

Berpuasa pada hari Jumaat sebagai puasa ke dua sangat-sangat dinikmati sakinahnya apabila tujuan ke Bazaar Ramadhan untuk mendapatkan air tangan masakan wanita-wanita seagama dan senegaraku dicapai saat menemukan kuih sampret yang hampir sepuluh tahun tidak dinikmati, dapat dibeli.

Tidak banyak makanan yang dijual dan tida banyak makanan yang dapat dibeli apabila tempahan melalui line telah menjadikan hampir kesemua makanan yang disediakan telah ada pembelinya.

Perjalanan dari Abu Hamour ke Aspire terasa sia-sia kerana bila wujud tempahan melalui line tidak wajar wujud tempat untuk dikatakan sebagai Bazaar Ramadhan.

Pembeli wajar mengambil tempahan atau penjual wajar menghantar tempahan ke rumah pembeli.

J

Bazaar itu sendiri bermakna lokasi yang menempatkan jualan murah yang  beranika jenis menurut bahasa.

Bazaar juga lazimnya tempat yang dijadikan sebagai cara menambah pendapatan.

Ringkasnya resepi masakan kegemaran saya dari menu masakan tanah air tidak ditemui di Bazaar Ramadhan.

Lalu kami membeli sahaja nasi arab dan ayam yang dimasak dengan resepi arab yang disaji dengan rojak buah.

Pulut berkelapa juga dimakan dengan kuah dari resepi arab walaupun dibeli dari Bazaar Ramadhan.

Apabila berniaga itu ialah antara cara untuk mendapatkan penambahan wang dari jumlah kos yang dikeluarkan, ketibaan Ramadhan sesungguhnya benar-benar telah menjadi hadiah istimewa zahir dan batin buat muslimin dan muslimat yang berpuasa kerana ketaatan.

Pembeli dianggap membantu penjual yang menyediakan kehendak pembeli dipenuhi sesuai dengan kemampuan pembeli walaupun disasarkan adlah untuk diperolehi keuntungan.

Apabila menipu dan berbohong bukan sikap mereka yang berpuasa, bulan Ramadhan saling membenihkan makna kesediaan untuk bertolak ansur.



Dan minda terus berenung sendirian apakah setiap wang pendahuluan benar-benar dipelihara jaminannya bagi menghindari penganiayaan apabila kerugian upaya menyusutkan wang pendahuluan yang disimpan? 

Lalu apakah sistem tetap gagal memberikan tempat dan ruang untuk  sikap bertolak ansur manusia difungsikan?

Bismillah hir Rahma nir Rahim

Wajar diterima bahawa blog ini adalah titik mula saya mencatat sebagai pemblog yang mempunyai hak cipta yang sewajarnya telah diketahui mempunyai pemeliharaan hak karya oleh undang-undang digital apabila saya masih belum membukukannya.

Pendaftaran ke akaun hotmail ini telah dibuat semenjak 18 Febuari 2006 dengan menggunakan nama tejathanaif atas nama sebenar saya Lelawati binti Mohd Ali, seorang wanita yang telah berkahwin yang berketurunan melayu, beragama islam dari mazhab sunni dan berasal dari Selangor, Malaysia.

Saya menulis blog ini sewaktu berada di Qatar di mana pada ketika itu suami saya telah menyewa salah sebuah apartment di Matar Qadeem.

Saya menulis blog ini tanpa bantuan sesiapa dan tidak mengupah sesiapa untuk menulis bagi pihak saya.Dan pada pertengahan tahun 2015 ini genab sembilan tahun saya menjadi pemblog.

Untuk kesekian kalinya saya berharap keterangan ini dapat diterima dan agar tidak wujud lagi pertindihan hak milik yang upaya mencemarkan hubungan baik saya dengan mereka yang mengenali saya secara peribadi.

Selasa, 2 Jun 2015

Serapah Mantera Duka Anak Bangsa


Saturday, September 02, 2006


Setiap saat bergantian masa ada darjah yang berdaya bertindak mengklasifikasikan sorotan mata.Seraya gelombang arus berkitaran biar pun kompleks, kompetensinya telah terarah hanya pada satu suara.

Sedangkan secara lumrah banding yang nyata adalah tempuh masa, beban sengsara yang melanda dan timbunan rugi menolak laba.

Duka rasa bila tiada saksama dalam menilai hujjah anak-anak saya.

Isunya masih serupa pada kaya bertalak kuasa tidak sama rata mencari agama sebagai sasar cela.
Anak memprotes kerana percaya sumber puas pada wang saku.

Anak membanding mengapa harus ada beza pada peri dan laku.

Anak berkata cermin putih tiada warna tetapi tatkala bercermin terlihat anika warna.

Anak dakwa penguatkuasaan hanya merantai tangan sedang kakinya masih boleh merentak menurut nada pilihan.

Aduh ... rakan-rakan mereka ikut membina selaras intonasi bersuara.

Mahu di apakan kata dan ujaran anak-anak ini ... kerana mereka berbicara tentang diri sendiri.Memperihal kemahuan dari ego hati.

Deria yang memerangkap suara hanya mampu menahan diri tanpa boleh beraksi-aksi.

Tergambar paparan dua stuasi berbeza.

Primitif sanubari tidak memungkinkan perubahan lantaran kongkongan
nafsu mengadili dengan bisu.

Serba tahu bukan agihan bongkak tidak juga melampaui luar batasan adab berpuak-puak.

Kebulur jahil membawa mundur. 

Sewenang-wenang asuhan mengguris perasaan bila mana kekosongan jauh melempar bayangan yang diulit impian.

Lingkaran semalam usah mahu dijadikan sandaran manja bermanjaan.Kuatkan usaha melakukan perubahan.

"Percayalah dan yakinlah."

"Setiap usaha boleh dilaksanakan."

"Bersabar dengan iman, berakhlak luhur, berani kerana benar. "

"Bersalah akur dengan jujur. "

"Allah kasihkan kita. "
" Dia mahu kita keluar dari lingkaran kejahilan memandang ke arah masa depan."

" Untuk generasi yang di warisi yang akan berhadapan dengan 'tamadun' dajjal yang canggih namun merobekkan iman. "

Selamat ulangtahun kemerdekaan ke 35 sebelum berusia 49. 

Hati Yang Semakin Rapuh

Tuesday, October 31, 2006


Bayu timur diasak deru menarikan awan gemawan yang menidurkan rembulan oleh ashik menekuni setia menanti panahan suria untuk dihuni bersama cahaya.

"Pernah tuan hamba suarakan gema rasa hati kita kepadanya? Seakan malap hatinya mengkabur ria di jiwa kita ... tiadakah terangkat hijab di mindanya bahawa sempit dada hanya memintas bahagia yang sering ingin menjenguk rupa... namun terbuang menjadi sia-sia."

"Budi bicara timurku telah kehilangan bahasa... utas tali temali yang rapuh mengikat hati-hati ini mulai pedih melilit hingga merekah jantungku menahan sesak oleh lautan mutiara yang sering berkaca."

"Usah bicaramu walang yang membekukan qalbumu. Mungkin keinginan dan hasrat hamba hanya untuk memperbaiki hubungan agar tidak berterusan redup yang gersang tidak tampak jelas oleh Helang."

"Arah kita yang bertentangan umpama penghujung yang tiada berkesudahan."

"Tidak perlu dirasa di sangkar dada perasaan itu, Tempua. Ia hanya mengurung rumit yang akan mengait menggetir pedih, di minda sempit ia akan terpalit."

"Tekukur dan Tempua hanya punya suara yang merdu sahaja... tiada sesekali bersama megah untuk membongkak rasa kerana indahnya mereka tidak senilai biar pun sehelai pelepah Cenderawasih."

"Benar, hamba terdengar ucap hiba Tekukur, "biar pun angsa, bangau juga itik serama tidak sama kepercayaannya dengan kita tetapi mereka sebangsa seketurunan semerah darah dengan kita yang tercipta dari tiada menjadi ada." 

"Hamba hayati ujar sayu rintih Tiung, "biar pun berbeza tetap angsa, bangau juga itik serama miliki hak-hak sama yang ada pada kita kerana tanggung jawab juga kewajipan mereka tetap serupa dengan kita... mereka ingin bertatanegara, ingin ada warganegara ingin miliki mengurus tadbir negara... sama hasratnya dengan kita..."

"Nyata kita dengan mereka sama-sama takutkan permusuhan kerana dengannya bangsa manusia telah memungkirkan kebenaran."

"Helang tidak upaya melihat bahawa antara mukmin berlainan jantina mereka menjadi penjaga sesama manusia... andainya haiwan umpama kita boleh berbicara... akan hamba bisikan agar terjaga pancaindera mereka."

" Penjagaan kepada kita adalah pemeliharaan bersama amanah juga jujur memaksi adil yang sungguh-sungguh. Menyimpul jalin kita menjadi saudara. Bebas yang ingin kita miliki bukan bermakna mahu bersikap berkecuali 'bernafsi-nafsi' bahkan ingin bebas bermasyarakat bertoleransi untuk saling mengenali agar dapat saling mengasihi."

"Angkasa ini akan harmoni bila kita bersama bisa terbang mencari rezeki. Mengindahkan etika untuk sentiasa adil dan simpati dalam kegiatan sumbangan berdagang menghulur kebajikan. Menyelidiki untuk miliki minda bebas umpama frekuensi yang menyalur gelombang minta pengertian dihayati, terhadap untaian atom berunsur cerakin satu dan dua menjana daya... tatkala panas laut dan samudera mulai meningkat haba... apakah sempit sempadan pembangunan reaktor nuklear akan menyelesaikan misteri tenaga ? "

Kehampaan hanya menerbitkan kerendahan. 

Apakah Kesudahannya

Sunday, October 29, 2006


Ombak dan pasir umpama teman akrab yang mudah ditafsir berkongsi pantai membina medan janji yang tidak pernah dimeterai.

Dari keharuman kuntuman kasturi membuak rasa seakan serampu yang menyempurnakan tandan-tandan denyutan nadi-nadi ... namun tidak akan seruh jiwa yang takrimnya pada takrir bertaklid pada kalimah bicara yang menggugah dhammi yang paling dalam, menyentuh sanubari yang meluluh rasa hingga rembesan mutiara manik dari mata, mengungkap tabir takbur Umar (alaihissalam) melunaskan cahaya yang menjadi perisai di dadanya.


"Kemuncak sepi telah melarutkan imaginasi mimpi-mimpiku." seolah-olah gema yang bertalun-talun berkumandang menulikan pendengaran ini."


" Jirim nabula dari bima sakti lakarannya yang bertabiat sejak azali, memancar sinar kosmik kerlipan saling meminta dijangka perhati diamati ... cumanya akal yang merajai minda sentiasa ingin dan sanggup menyanggahi di sebalik kitaran gelaksi ada Kebesaran yang Menguasai, mengundang sekian lama agar hati-hati hidup bernyawa selari dakapan cintaNya untuk menanam dan memetik buah iman agar jiwa tidak lusuh lalu layu punah tanpa semangat."


"Lalu, tuan hamba mahu mempersembahkan jujur di saat semuanya mahu diberikan penilaian?"


"Menilai seakan-akan membolak-bolakkan perasaan kerana kaedah apa sumber memaju daya. Di mana padamu duhai Cenderawasih, utama dalam menilai perkasa, pada sikap progreskah atau pembangunan? Nyata padaku senarionya menatang persamaan yang semakin menipiskan keperibadian."


"Ia berlaku lantaran tiada amanah... tiada ingin saling melindung... tatkala bergabung permuafakatan, wujud ketidak seimbangan meski saling mengenali, ijab kabul dan ikrar tidak pasti... memusnahkan kasih bila pertikaian laba oleh helah menimbulkan telingkah."


"Mimpi kita untuk menzahirkan agar saling berbantu dalam kebaikan untuk ketakwaan, ingin kita hindari berbantu di dalam perkara cela yang membawa permusuhan. Pasaran dan pasarana kita tidak terbukakah andai mahu memonopoli di serata negeri... bersaing untuk berjaya lantas pantaskah jika sering menyekat usaha, yang tergendala eko sistemnya adalah pengguna seperti kita... lihat sahaja tanda 'luput masa'
apakah ia demi mengelak penurunan harga hingga lebihan akan disita?"


"Apakah kerana sempit istilah kita semakin sengsara? Benarkah semakin maju kemodenan kita maka kemewahan mengurangkan kesukaran? Hanya yang jelas padaku manusia semakin dicorakkan menurut kehendak kemajuan dan pembangunan."


"Nah, kini tuan hamba cuba rasakan ke dalam hati, jiwa kita tidak bebas merdeka biar pun tiada lagi yang menjajah... rohani kita semakin lapar meski wang penuh sentiasa, keluarga kita tidak besar meski pun kita ramai saudara, unitnya kecil kerana bimbangkan ketiadaan keselesaan."

"Terlintas di minda hamba jua apakah wajar berhelah madah untuk saling mengatasi dari sebut nama kuasa dan kejituan senjata?"


"Di dada hamba juga terkeliru oleh frekuensi beribu sumber... jika terjadi pergolakan antara dua kuasa yang berbeza pendirian antara dua penerajunya...maka rakyatnya turutkah perlu diajak bersengketa?
Akan terpadamkah silaturrahim hingga sudah menjadi fenomena di abad ini... saksamakah bila kita menyeru kepada persaudaraan dan kasih sesama manusia maka ia bermakna agama dipaksa dengan bilah bermata?"


Sentiasakah perlu kita berkhilaf sedangkan fungsi utama wujud perbezaan antara bangsa, agama, bahasa, budaya juga pemikiran adalah untuk meluaskan penghayatan taaruf agar wujud kerjasama persefahaman kerana menurut agama Allah mesti dianjurkan falsafah "taaruf wa talaqi" bukan sekadar "al-baqa'lil aslah" tidak juga oleh "tanazul'ala albaqa".

Generasi mohon menyumbang rasa menggetarkan bicara demi persoalan yang mewujudkan sengketa sejak sekian lamanya. 

Pedih Tatkala Berduga-Duga

Thursday, October 26, 2006



"Apakah selayaknya pada waktu-waktu tertentu sahaja keinginan-keinginan di utama hingga himpunan hari-hari lainnya terbiar sia-sia? Aaah... lidah tidak bertulang tidak membekas batas kata-kata, bagaimanakah mahu ku pelihara lidah ini tatkala zikrullah hanya berlegar di lelangit bibir?"

"Kerdil jiwa turut mengerdilkan jasad kita hingga terasa lelah... tidakkah semangat kita kerap bergiliran kuat bersaingan lemah hingga mendorong batil bertingkah?..."

"Tidak juga... cumanya hamba terasa antara kekayaan dengan kemiskinan memang nyata mewujudkan beza... hingga seakan-akan tidak memungkinkan terpadamnya dendam yang mengikis santunan jiwa."

"Cenderawasih tidak duduk di tempat kita, tidak merasa perasaan kita, tidak juga menyusul sambut sengsara kita... lalu ucapnya sentiasa mahu lembut lunak berencah madu memaniskan rasa... sedangkan getaran kita tawar tanpa asin menggelorakan duka."

"Pertukaran masa menggilirkan peredaran ketika dan waktu telah menjarakkan timbang dengan duga... Antara kuasa dan kaya, miskin dan terlara utamanya adalah pada tawaduk takwa kerana terciptanya derita mesti disanggah dengan usaha."

"Boleh hamba tahu sikapmu terhadap erti tiada harta, tiada kuasa perlukah merempuh halangan, perlukah menceroboh sempadan hingga meroboh binaan kasih sesama insan, serupa bertingkah seperti yang memiliki kesemuanya?"

"Sangkarkan ilmu manafaatkan harmoni makna bebas, tanpa ikat yang membatas keupayaan mencari kemilau cahaya diri dengan sasarannya adalah hati generasi."

"Istiqamahkah andai peraturan sahaja yang berubah tetapi jiwa pengatur perubahan masih kekal serupa?"

"Bimbingan ujar ilmuan adalah latihan memercukan intisari keyakinan.
Tradisi mendakwa kita mundur andai menempatkan iman. Lalu rantai siapakah yang sebenarnya mengikat pemikiran kita hingga membelah bahagikan perasaan?"

"Nekad mahu "mengsubjektifkan" maksud global dalam diri ? !!"

"Pengkisahan menuntut pengubahsuaian...
seperti sesebuah cerita sering memerlukan penyuntingan semula agar ia menyegarkan kesan. Lontarkan sejenak bagaimana Rasul Kekasih Allah sallallah hu alaihiwassalam melaburkan qalam Allah jauh kehadapan, menjalinkan unsur kebendaan dengan rohani yang menyingkap kejujuran telus membuahkan kebenaran.
Buktinya penjanaan perdagangan dan ekonomi mengerat akhlak dan niat murni yang menginteraksikan persaudaraan menerusi persefahaman tanpa krisis dan konflik yang menindas hingga mewujudkan permusuhan. Tidakkah kebajikan manusia itu dizahirkan dari pengeluaran zakat?"

"Dialog siapakah di antara kita yang memendekkan hayat bimbing dan didik hingga bingar segi bebas oleh monopoli menaja kepentingan diri lalu pasif keinginan untuk bersikap terbuka kerana ingin bertolak ansur."

"Kompromi yang tidak sudah-sudah menghilangkan kepercayaan." 

Enak Yang Menyenakkan

Tuesday, October 24, 2006


Berlari-lari anak berkejaran meminggir kesepian memanggil andaian pada salasilah yang bergiliran berjadual buat menafsir anggaran.

"Corak terbangmu sentiasa melakar bentuk yang bermaksud hasrat namun ku lihat bagaikan muslihat."

"Membahagikan petak-petak angkasa adalah sesuatu yang mencabar duga berakal kerana ruangnya tiada garis sempadan. Cuba tuan hamba renung saujana serelung pandangan ... kita tidak bersua kaki langit andai tiada bertaup lautan bertebingkan daratan."

"Sumber kepercayaan berharganya andai tidak berlebih-lebihan keterlaluan mengobarkan maksud yang amat mudah diterjemahkan makna dan tujuan."

" Cenderawasih, sekian lamanya apa sahaja yang baik biar dari mana puncanya kita terima sebagai sesuatu yang mulia... tidak pernah cara hidup kita membelit lingkaran demi lingkaran,mengusut merumitkan keadaan hingga memesatkan singkat pemikiran mengabai peradaban menyusut asli kebudayaan, kerana bangsa kita sedar bahawa ilmu adalah proses perubahan bermodalkan kemajuan...namun tatkala bertilik ternyata suram pudar sinar kerana ia seakan memusuhi perhubungan... berkias pada persamaan sedang ujarnya pada darjat dan kasta kemampuan..."

"Istilah moden maksudmu masih menggusar rasa di pemikiranmu?"

"Usah dangkal menyempit minda meresah rasa, persaudaraan atas nama apa tercipta andai gugur selapis demi menipiskan perasaan haiwan kita, moden ikut jujur istilah makna... pastinya cuma satu, upaya mempengaruhi atau dipengaruhi."

"Tuan hamba mengukur tujuan hingga rela menyinggung perasaan?"

"Perasaan kita telah lama tercalar cemar Cenderawasih, berkali-kali tetapi kita rebahkannya jauh ke sudut dhammir yang paling dalam, tingkah kita sentiasa ditonjol sebagai rentak-rentak sumbang, hasrat dan kemahuan kita diremeh menjadi murah sedangkan urus dagang kita mencipta kebajikan menebar erat manhaj qalam Allah kerana Dia Pencipta kita juga bangsa manusia, niat kita sering disalah duga biar pun sekadar mahu berkasih sayang mendidik agar jujur bersefahaman demi generasi yang semakin terkeliru oleh perbuatan kita."

Jasmani tanpa rohani pada penglihatan mata pada penilaian dada kerapnya kilauannya tidak seindah purnama.