Selasa, 2 Jun 2015

Serapah Mantera Duka Anak Bangsa


Saturday, September 02, 2006


Setiap saat bergantian masa ada darjah yang berdaya bertindak mengklasifikasikan sorotan mata.Seraya gelombang arus berkitaran biar pun kompleks, kompetensinya telah terarah hanya pada satu suara.

Sedangkan secara lumrah banding yang nyata adalah tempuh masa, beban sengsara yang melanda dan timbunan rugi menolak laba.

Duka rasa bila tiada saksama dalam menilai hujjah anak-anak saya.

Isunya masih serupa pada kaya bertalak kuasa tidak sama rata mencari agama sebagai sasar cela.
Anak memprotes kerana percaya sumber puas pada wang saku.

Anak membanding mengapa harus ada beza pada peri dan laku.

Anak berkata cermin putih tiada warna tetapi tatkala bercermin terlihat anika warna.

Anak dakwa penguatkuasaan hanya merantai tangan sedang kakinya masih boleh merentak menurut nada pilihan.

Aduh ... rakan-rakan mereka ikut membina selaras intonasi bersuara.

Mahu di apakan kata dan ujaran anak-anak ini ... kerana mereka berbicara tentang diri sendiri.Memperihal kemahuan dari ego hati.

Deria yang memerangkap suara hanya mampu menahan diri tanpa boleh beraksi-aksi.

Tergambar paparan dua stuasi berbeza.

Primitif sanubari tidak memungkinkan perubahan lantaran kongkongan
nafsu mengadili dengan bisu.

Serba tahu bukan agihan bongkak tidak juga melampaui luar batasan adab berpuak-puak.

Kebulur jahil membawa mundur. 

Sewenang-wenang asuhan mengguris perasaan bila mana kekosongan jauh melempar bayangan yang diulit impian.

Lingkaran semalam usah mahu dijadikan sandaran manja bermanjaan.Kuatkan usaha melakukan perubahan.

"Percayalah dan yakinlah."

"Setiap usaha boleh dilaksanakan."

"Bersabar dengan iman, berakhlak luhur, berani kerana benar. "

"Bersalah akur dengan jujur. "

"Allah kasihkan kita. "
" Dia mahu kita keluar dari lingkaran kejahilan memandang ke arah masa depan."

" Untuk generasi yang di warisi yang akan berhadapan dengan 'tamadun' dajjal yang canggih namun merobekkan iman. "

Selamat ulangtahun kemerdekaan ke 35 sebelum berusia 49. 

Hati Yang Semakin Rapuh

Tuesday, October 31, 2006


Bayu timur diasak deru menarikan awan gemawan yang menidurkan rembulan oleh ashik menekuni setia menanti panahan suria untuk dihuni bersama cahaya.

"Pernah tuan hamba suarakan gema rasa hati kita kepadanya? Seakan malap hatinya mengkabur ria di jiwa kita ... tiadakah terangkat hijab di mindanya bahawa sempit dada hanya memintas bahagia yang sering ingin menjenguk rupa... namun terbuang menjadi sia-sia."

"Budi bicara timurku telah kehilangan bahasa... utas tali temali yang rapuh mengikat hati-hati ini mulai pedih melilit hingga merekah jantungku menahan sesak oleh lautan mutiara yang sering berkaca."

"Usah bicaramu walang yang membekukan qalbumu. Mungkin keinginan dan hasrat hamba hanya untuk memperbaiki hubungan agar tidak berterusan redup yang gersang tidak tampak jelas oleh Helang."

"Arah kita yang bertentangan umpama penghujung yang tiada berkesudahan."

"Tidak perlu dirasa di sangkar dada perasaan itu, Tempua. Ia hanya mengurung rumit yang akan mengait menggetir pedih, di minda sempit ia akan terpalit."

"Tekukur dan Tempua hanya punya suara yang merdu sahaja... tiada sesekali bersama megah untuk membongkak rasa kerana indahnya mereka tidak senilai biar pun sehelai pelepah Cenderawasih."

"Benar, hamba terdengar ucap hiba Tekukur, "biar pun angsa, bangau juga itik serama tidak sama kepercayaannya dengan kita tetapi mereka sebangsa seketurunan semerah darah dengan kita yang tercipta dari tiada menjadi ada." 

"Hamba hayati ujar sayu rintih Tiung, "biar pun berbeza tetap angsa, bangau juga itik serama miliki hak-hak sama yang ada pada kita kerana tanggung jawab juga kewajipan mereka tetap serupa dengan kita... mereka ingin bertatanegara, ingin ada warganegara ingin miliki mengurus tadbir negara... sama hasratnya dengan kita..."

"Nyata kita dengan mereka sama-sama takutkan permusuhan kerana dengannya bangsa manusia telah memungkirkan kebenaran."

"Helang tidak upaya melihat bahawa antara mukmin berlainan jantina mereka menjadi penjaga sesama manusia... andainya haiwan umpama kita boleh berbicara... akan hamba bisikan agar terjaga pancaindera mereka."

" Penjagaan kepada kita adalah pemeliharaan bersama amanah juga jujur memaksi adil yang sungguh-sungguh. Menyimpul jalin kita menjadi saudara. Bebas yang ingin kita miliki bukan bermakna mahu bersikap berkecuali 'bernafsi-nafsi' bahkan ingin bebas bermasyarakat bertoleransi untuk saling mengenali agar dapat saling mengasihi."

"Angkasa ini akan harmoni bila kita bersama bisa terbang mencari rezeki. Mengindahkan etika untuk sentiasa adil dan simpati dalam kegiatan sumbangan berdagang menghulur kebajikan. Menyelidiki untuk miliki minda bebas umpama frekuensi yang menyalur gelombang minta pengertian dihayati, terhadap untaian atom berunsur cerakin satu dan dua menjana daya... tatkala panas laut dan samudera mulai meningkat haba... apakah sempit sempadan pembangunan reaktor nuklear akan menyelesaikan misteri tenaga ? "

Kehampaan hanya menerbitkan kerendahan. 

Apakah Kesudahannya

Sunday, October 29, 2006


Ombak dan pasir umpama teman akrab yang mudah ditafsir berkongsi pantai membina medan janji yang tidak pernah dimeterai.

Dari keharuman kuntuman kasturi membuak rasa seakan serampu yang menyempurnakan tandan-tandan denyutan nadi-nadi ... namun tidak akan seruh jiwa yang takrimnya pada takrir bertaklid pada kalimah bicara yang menggugah dhammi yang paling dalam, menyentuh sanubari yang meluluh rasa hingga rembesan mutiara manik dari mata, mengungkap tabir takbur Umar (alaihissalam) melunaskan cahaya yang menjadi perisai di dadanya.


"Kemuncak sepi telah melarutkan imaginasi mimpi-mimpiku." seolah-olah gema yang bertalun-talun berkumandang menulikan pendengaran ini."


" Jirim nabula dari bima sakti lakarannya yang bertabiat sejak azali, memancar sinar kosmik kerlipan saling meminta dijangka perhati diamati ... cumanya akal yang merajai minda sentiasa ingin dan sanggup menyanggahi di sebalik kitaran gelaksi ada Kebesaran yang Menguasai, mengundang sekian lama agar hati-hati hidup bernyawa selari dakapan cintaNya untuk menanam dan memetik buah iman agar jiwa tidak lusuh lalu layu punah tanpa semangat."


"Lalu, tuan hamba mahu mempersembahkan jujur di saat semuanya mahu diberikan penilaian?"


"Menilai seakan-akan membolak-bolakkan perasaan kerana kaedah apa sumber memaju daya. Di mana padamu duhai Cenderawasih, utama dalam menilai perkasa, pada sikap progreskah atau pembangunan? Nyata padaku senarionya menatang persamaan yang semakin menipiskan keperibadian."


"Ia berlaku lantaran tiada amanah... tiada ingin saling melindung... tatkala bergabung permuafakatan, wujud ketidak seimbangan meski saling mengenali, ijab kabul dan ikrar tidak pasti... memusnahkan kasih bila pertikaian laba oleh helah menimbulkan telingkah."


"Mimpi kita untuk menzahirkan agar saling berbantu dalam kebaikan untuk ketakwaan, ingin kita hindari berbantu di dalam perkara cela yang membawa permusuhan. Pasaran dan pasarana kita tidak terbukakah andai mahu memonopoli di serata negeri... bersaing untuk berjaya lantas pantaskah jika sering menyekat usaha, yang tergendala eko sistemnya adalah pengguna seperti kita... lihat sahaja tanda 'luput masa'
apakah ia demi mengelak penurunan harga hingga lebihan akan disita?"


"Apakah kerana sempit istilah kita semakin sengsara? Benarkah semakin maju kemodenan kita maka kemewahan mengurangkan kesukaran? Hanya yang jelas padaku manusia semakin dicorakkan menurut kehendak kemajuan dan pembangunan."


"Nah, kini tuan hamba cuba rasakan ke dalam hati, jiwa kita tidak bebas merdeka biar pun tiada lagi yang menjajah... rohani kita semakin lapar meski wang penuh sentiasa, keluarga kita tidak besar meski pun kita ramai saudara, unitnya kecil kerana bimbangkan ketiadaan keselesaan."

"Terlintas di minda hamba jua apakah wajar berhelah madah untuk saling mengatasi dari sebut nama kuasa dan kejituan senjata?"


"Di dada hamba juga terkeliru oleh frekuensi beribu sumber... jika terjadi pergolakan antara dua kuasa yang berbeza pendirian antara dua penerajunya...maka rakyatnya turutkah perlu diajak bersengketa?
Akan terpadamkah silaturrahim hingga sudah menjadi fenomena di abad ini... saksamakah bila kita menyeru kepada persaudaraan dan kasih sesama manusia maka ia bermakna agama dipaksa dengan bilah bermata?"


Sentiasakah perlu kita berkhilaf sedangkan fungsi utama wujud perbezaan antara bangsa, agama, bahasa, budaya juga pemikiran adalah untuk meluaskan penghayatan taaruf agar wujud kerjasama persefahaman kerana menurut agama Allah mesti dianjurkan falsafah "taaruf wa talaqi" bukan sekadar "al-baqa'lil aslah" tidak juga oleh "tanazul'ala albaqa".

Generasi mohon menyumbang rasa menggetarkan bicara demi persoalan yang mewujudkan sengketa sejak sekian lamanya. 

Pedih Tatkala Berduga-Duga

Thursday, October 26, 2006



"Apakah selayaknya pada waktu-waktu tertentu sahaja keinginan-keinginan di utama hingga himpunan hari-hari lainnya terbiar sia-sia? Aaah... lidah tidak bertulang tidak membekas batas kata-kata, bagaimanakah mahu ku pelihara lidah ini tatkala zikrullah hanya berlegar di lelangit bibir?"

"Kerdil jiwa turut mengerdilkan jasad kita hingga terasa lelah... tidakkah semangat kita kerap bergiliran kuat bersaingan lemah hingga mendorong batil bertingkah?..."

"Tidak juga... cumanya hamba terasa antara kekayaan dengan kemiskinan memang nyata mewujudkan beza... hingga seakan-akan tidak memungkinkan terpadamnya dendam yang mengikis santunan jiwa."

"Cenderawasih tidak duduk di tempat kita, tidak merasa perasaan kita, tidak juga menyusul sambut sengsara kita... lalu ucapnya sentiasa mahu lembut lunak berencah madu memaniskan rasa... sedangkan getaran kita tawar tanpa asin menggelorakan duka."

"Pertukaran masa menggilirkan peredaran ketika dan waktu telah menjarakkan timbang dengan duga... Antara kuasa dan kaya, miskin dan terlara utamanya adalah pada tawaduk takwa kerana terciptanya derita mesti disanggah dengan usaha."

"Boleh hamba tahu sikapmu terhadap erti tiada harta, tiada kuasa perlukah merempuh halangan, perlukah menceroboh sempadan hingga meroboh binaan kasih sesama insan, serupa bertingkah seperti yang memiliki kesemuanya?"

"Sangkarkan ilmu manafaatkan harmoni makna bebas, tanpa ikat yang membatas keupayaan mencari kemilau cahaya diri dengan sasarannya adalah hati generasi."

"Istiqamahkah andai peraturan sahaja yang berubah tetapi jiwa pengatur perubahan masih kekal serupa?"

"Bimbingan ujar ilmuan adalah latihan memercukan intisari keyakinan.
Tradisi mendakwa kita mundur andai menempatkan iman. Lalu rantai siapakah yang sebenarnya mengikat pemikiran kita hingga membelah bahagikan perasaan?"

"Nekad mahu "mengsubjektifkan" maksud global dalam diri ? !!"

"Pengkisahan menuntut pengubahsuaian...
seperti sesebuah cerita sering memerlukan penyuntingan semula agar ia menyegarkan kesan. Lontarkan sejenak bagaimana Rasul Kekasih Allah sallallah hu alaihiwassalam melaburkan qalam Allah jauh kehadapan, menjalinkan unsur kebendaan dengan rohani yang menyingkap kejujuran telus membuahkan kebenaran.
Buktinya penjanaan perdagangan dan ekonomi mengerat akhlak dan niat murni yang menginteraksikan persaudaraan menerusi persefahaman tanpa krisis dan konflik yang menindas hingga mewujudkan permusuhan. Tidakkah kebajikan manusia itu dizahirkan dari pengeluaran zakat?"

"Dialog siapakah di antara kita yang memendekkan hayat bimbing dan didik hingga bingar segi bebas oleh monopoli menaja kepentingan diri lalu pasif keinginan untuk bersikap terbuka kerana ingin bertolak ansur."

"Kompromi yang tidak sudah-sudah menghilangkan kepercayaan." 

Enak Yang Menyenakkan

Tuesday, October 24, 2006


Berlari-lari anak berkejaran meminggir kesepian memanggil andaian pada salasilah yang bergiliran berjadual buat menafsir anggaran.

"Corak terbangmu sentiasa melakar bentuk yang bermaksud hasrat namun ku lihat bagaikan muslihat."

"Membahagikan petak-petak angkasa adalah sesuatu yang mencabar duga berakal kerana ruangnya tiada garis sempadan. Cuba tuan hamba renung saujana serelung pandangan ... kita tidak bersua kaki langit andai tiada bertaup lautan bertebingkan daratan."

"Sumber kepercayaan berharganya andai tidak berlebih-lebihan keterlaluan mengobarkan maksud yang amat mudah diterjemahkan makna dan tujuan."

" Cenderawasih, sekian lamanya apa sahaja yang baik biar dari mana puncanya kita terima sebagai sesuatu yang mulia... tidak pernah cara hidup kita membelit lingkaran demi lingkaran,mengusut merumitkan keadaan hingga memesatkan singkat pemikiran mengabai peradaban menyusut asli kebudayaan, kerana bangsa kita sedar bahawa ilmu adalah proses perubahan bermodalkan kemajuan...namun tatkala bertilik ternyata suram pudar sinar kerana ia seakan memusuhi perhubungan... berkias pada persamaan sedang ujarnya pada darjat dan kasta kemampuan..."

"Istilah moden maksudmu masih menggusar rasa di pemikiranmu?"

"Usah dangkal menyempit minda meresah rasa, persaudaraan atas nama apa tercipta andai gugur selapis demi menipiskan perasaan haiwan kita, moden ikut jujur istilah makna... pastinya cuma satu, upaya mempengaruhi atau dipengaruhi."

"Tuan hamba mengukur tujuan hingga rela menyinggung perasaan?"

"Perasaan kita telah lama tercalar cemar Cenderawasih, berkali-kali tetapi kita rebahkannya jauh ke sudut dhammir yang paling dalam, tingkah kita sentiasa ditonjol sebagai rentak-rentak sumbang, hasrat dan kemahuan kita diremeh menjadi murah sedangkan urus dagang kita mencipta kebajikan menebar erat manhaj qalam Allah kerana Dia Pencipta kita juga bangsa manusia, niat kita sering disalah duga biar pun sekadar mahu berkasih sayang mendidik agar jujur bersefahaman demi generasi yang semakin terkeliru oleh perbuatan kita."

Jasmani tanpa rohani pada penglihatan mata pada penilaian dada kerapnya kilauannya tidak seindah purnama. 

Kembali Dan Pergi

Monday, October 23, 2006


"Hamba tahu, pohon yang menaungi kita ini benihnya dari paruh moyang yang menerbangkannya dari pepohonan malar hijau lalu terdampar di tanah ini, membesar hingga mencengkam bumi menjadi payung buat berteduh."

"Hamba bersua dengan Cenderawasih, pesannya usah mahu disisih, biar ukuran tidak setanding, perlu jelas gagahnya siasah kerana makna umarak dalam agama tidak terpisah."

"Sudah rela mempercayai kata-katanya? Di taman sahaja menetapnya ia...bagaimana mahu ia fahami bicara yang dikata?

"Tuan hamba usah biasa bercuriga... ia cemarkan minda tatkala nyata diri mencela... mendakwa Cenderawasih tidak jujur bila mengasah bibir tatkala berbicara."

"Mahuku apakan si Tempua ini, andai bersua sentiasa gemar berdakwi berdakwa... pergiku diminta kembali... bertentang mata sering mahu berkelahi...

"Marahkah tuan hamba?... Burung kerdil tidak akan bersarang tinggi kerana sayap kita terbangnya rendah... begitu mudah mahu dilupa?"

"Tenang dahulu... usah rasa terhina kerana kerdilnya diri, jika kita sering bersanggah... serupalah dengan bangsa manusia... lantaran dunia, seliseh bila bicara... sedangkan puncanya hanya kecil, pada ukur untuk bezakan rupa."

"Sekali lagi sering dilupa! ... rupa itu bingkisan kuasa... jiwa terbinasa oleh habuan dunia, punahnya zuriat lantaran tumpahnya keringat merah, bajakan tanah semakin gersang... tanam-tanaman tidak mahu mengembang."

"Cenderawasih sekadar bertanya, bukankah benar para anbiak diutus untuk berfungsi sebagai pemberi pesan di atas setiap aksi?"

"Maksud yang tepat, mencabar atau menyelesaikan kemelut krisis ummah... apakah kaitannya dengan umarak andai ulamak dipermudah?"

"Di setiap zaman dan eranya dalam beragama, siasah persoalan urus tadbir tidak pernah berpisah... itulah maksud Cenderawasih, namun hamba tetap tidak akan mengubah pendirian sekadar berkongsi pandangan, ia membina keserasian untuk bertukar ujaran."

Sehari dengan tingkah yang mulia dan baik memberi sinar membuah ceria tatkala jujur niatnya untuk mendidik mengasuh jiwa sedia berkongsi apa sahaja yang memberi manafaat mengundang berkat. 

Esok Hari Raya

Sunday, October 22, 2006

Kali ini kami menyambut eidil fitri tanpa perlu lagi kami berbaris panjang menunggu giliran di hadapan kaunter 'cashier'... berlama-lama hingga lenguh kaki tatkala memilih dan membelek di petak longgokan kotak pakaian-pakaian murah untuk anak-anak.

Empat orang anak bermakna perlu kami berhadapan dengan empat jenis karenah yang miliki cita rasa sendiri sehingga menjadikan saya dan suami sering beralah dengan ujaran "pakaian kita pilih kemudian sekali..."


Biarpun banyak karenah, anak-anak ini tidak memilih pakaian berjenama yang berharga tinggi ... sekitar RM 60- RM 12o merupakan 'standart piawaian' untuk sepasang dua pakaian buat setiap diri yang awal-awal lagi telah dipersetujui tiada rundingan lagi. 

Kelaziman bagi anak yang tiada ingin meminta-minta, tahu mencari imbang, peka untuk bertolak ansur mendahului urusan hingga mencambah kepercayaan kami untuk memberinya membuat keputusan terhadap perkara yang melibatkan keperluan dirinya.

Tahun ini cuma suami dan anak-anak lelaki sahaja bertukar pakaian baru ... kerana cita rasa mereka mudah ditemui... di kedai yang menawar potongan separuh harga memikat hati.

Anak gadis saya Hanan hanya membeli aksesori rantai berharga QR 30... manik-manik besar seperti biji getah... yang tidak diketahui entah bilakah masanya mahu ia kalungkan ke lehernya... 

Seakan-akan tepat tatkala bersatu hati berupaya mengusir resah bila mana masih terlaksana demokrasi di dalam keluarga kami. 

Selagi tidak menurut kehendak hasrat hati, selagi akal aktif berfungsi, fikiran-fikiran positif pasti menjadikan kami lebih memahami. 

Penasihat utama adalah hati kerana hati yang menghidupkan rasa. Rasa untuk sentiasa sedar mencegah urusan yang mungkar... dhamir pangkalnya jujur ikhlas hati dan nurani.


Sering persiapan-persiapan menyambut lebaran akan menerbitkan kecemasan pada emosi saya kerana pernah kami diuji tatkala menyambut eidil fitri di London... malam sesudah berbuka sewaktu bersiar-siar bersama anak-anak di Leicester Square, anak lelaki ke dua kami hilang tiba-tiba dari pandangan mata. 

Hampir sejam mencari kami bertawakkal kepada Allah sebelum membuat keputusan mahu mencari polis agar membantu. 

Di dalam hati dhamir menyakini Ahmad Mustaqim pasti cuma menanti kedatangan kami dilokasi di mana dia berada setelah menyedari kami tiada bersama-samanya. 

Sanubari hati menyakini anak kami itu berada di dalam pandangan Allah itu yang pasti. 

Benar... apabila saya menjejaki semula di awal tempat kami menaikkanya di medan putaran kuda berpusing, terlihat anak yang berusia enam tahun itu sedang didakap oleh seorang wanita Inggeris yang ditemani oleh suaminya dan seorang polis, menanti dan mengharap agar kami kembali menyusuri jalan yang telah kami tinggalkan.

Hanya airmata dan senyuman untuk menanda sesal di hati... sehingga anak tertinggal tidak disedari...peristiwa yang berlaku pada tahun 2000 itu kira-kira lebih lima belas tahun lalu masih upaya membuatkan hati saya berasa gelisah sekiranya tidak mendapat khabar anak-anakwalaupun mereka kini telah dewasa.

Kehendak anak-anak tahun ini (2015) agar saya tidak berduka kerana kira-kira dua bulan lagi kami akan bereidil fitri di rumah Mak Wan, allahyarhamhu Tuk Bak dan allahyarhamha Tuk Mak dan semua saudara mara sementelahan pada eidil fitri ini insya Allah akan menjadikan ahli keluarga kami bertambah lagi."...