Selasa, 2 Jun 2015

Esok Hari Raya

Sunday, October 22, 2006

Kali ini kami menyambut eidil fitri tanpa perlu lagi kami berbaris panjang menunggu giliran di hadapan kaunter 'cashier'... berlama-lama hingga lenguh kaki tatkala memilih dan membelek di petak longgokan kotak pakaian-pakaian murah untuk anak-anak.

Empat orang anak bermakna perlu kami berhadapan dengan empat jenis karenah yang miliki cita rasa sendiri sehingga menjadikan saya dan suami sering beralah dengan ujaran "pakaian kita pilih kemudian sekali..."


Biarpun banyak karenah, anak-anak ini tidak memilih pakaian berjenama yang berharga tinggi ... sekitar RM 60- RM 12o merupakan 'standart piawaian' untuk sepasang dua pakaian buat setiap diri yang awal-awal lagi telah dipersetujui tiada rundingan lagi. 

Kelaziman bagi anak yang tiada ingin meminta-minta, tahu mencari imbang, peka untuk bertolak ansur mendahului urusan hingga mencambah kepercayaan kami untuk memberinya membuat keputusan terhadap perkara yang melibatkan keperluan dirinya.

Tahun ini cuma suami dan anak-anak lelaki sahaja bertukar pakaian baru ... kerana cita rasa mereka mudah ditemui... di kedai yang menawar potongan separuh harga memikat hati.

Anak gadis saya Hanan hanya membeli aksesori rantai berharga QR 30... manik-manik besar seperti biji getah... yang tidak diketahui entah bilakah masanya mahu ia kalungkan ke lehernya... 

Seakan-akan tepat tatkala bersatu hati berupaya mengusir resah bila mana masih terlaksana demokrasi di dalam keluarga kami. 

Selagi tidak menurut kehendak hasrat hati, selagi akal aktif berfungsi, fikiran-fikiran positif pasti menjadikan kami lebih memahami. 

Penasihat utama adalah hati kerana hati yang menghidupkan rasa. Rasa untuk sentiasa sedar mencegah urusan yang mungkar... dhamir pangkalnya jujur ikhlas hati dan nurani.


Sering persiapan-persiapan menyambut lebaran akan menerbitkan kecemasan pada emosi saya kerana pernah kami diuji tatkala menyambut eidil fitri di London... malam sesudah berbuka sewaktu bersiar-siar bersama anak-anak di Leicester Square, anak lelaki ke dua kami hilang tiba-tiba dari pandangan mata. 

Hampir sejam mencari kami bertawakkal kepada Allah sebelum membuat keputusan mahu mencari polis agar membantu. 

Di dalam hati dhamir menyakini Ahmad Mustaqim pasti cuma menanti kedatangan kami dilokasi di mana dia berada setelah menyedari kami tiada bersama-samanya. 

Sanubari hati menyakini anak kami itu berada di dalam pandangan Allah itu yang pasti. 

Benar... apabila saya menjejaki semula di awal tempat kami menaikkanya di medan putaran kuda berpusing, terlihat anak yang berusia enam tahun itu sedang didakap oleh seorang wanita Inggeris yang ditemani oleh suaminya dan seorang polis, menanti dan mengharap agar kami kembali menyusuri jalan yang telah kami tinggalkan.

Hanya airmata dan senyuman untuk menanda sesal di hati... sehingga anak tertinggal tidak disedari...peristiwa yang berlaku pada tahun 2000 itu kira-kira lebih lima belas tahun lalu masih upaya membuatkan hati saya berasa gelisah sekiranya tidak mendapat khabar anak-anakwalaupun mereka kini telah dewasa.

Kehendak anak-anak tahun ini (2015) agar saya tidak berduka kerana kira-kira dua bulan lagi kami akan bereidil fitri di rumah Mak Wan, allahyarhamhu Tuk Bak dan allahyarhamha Tuk Mak dan semua saudara mara sementelahan pada eidil fitri ini insya Allah akan menjadikan ahli keluarga kami bertambah lagi."...  

Bulan Ramadhan Pemanis Minda

Thursday, October 19, 2006

Antara blog yang menarik hati hingga mengganggu tumpuan saya adalah satu pertanyaan... sesudah bulan Ramadhan bagaimanakah kita?

Saya amat gembira pada hari ini (
2/6/2015- selepas lapan tahun enam bulan catatan ini dituliskerana remaja dan kaum muda yang melayari internet mempunyai niat dan matlamat yang semakin baik selain dari menghabiskan masa yang terluang, mereka membina sikap proaktif yang membina kreatif untuk mencari makna kehidupan dengan mulai mengenal kewajipan dan tanggung jawab bukan semata-mata mendapat hiburan.

Mereka bersedia memandang jauh ke hadapan tatkala mulai rasa gelisah untuk berpisah dengan bulan Ramadhan yang penuh barakah.

Berakhirnya bulan Ramadhan adalah umpama jendela yang mulai terbuka lalu menerpakan sinar fajar yang ghairah menerbangkan hama-hama halus yang menduduki setiap ceruk penjuru diri kita.

Gelap rohani telah tersuluh oleh cahaya risalah yang aliran kudusnya telah mulai mendenyutkan nadi dan jantung buat mereka yang terpilih dari jutaan jiwa... memandu arah yang benar agar terkuak rintang yang membelenggu pemikiran hingga minda mengecil tak mampu berkembang oleh cabaran-cabaran halus yang lunak menghulur kasih berhulur kasihan mengundang pedih luka yang berpanjangan.

Pakaian kasih sayang Allah selama tiga puluh hari di bulan Ramadhan umpama jilbab yang memelihara penghormatan dan meraikan kemegahan mengindah seri wajah yang terpilih menyaluti khusyuk hingga menghidupkan degupan qalbu.

Di hadapan kita menanti kewajipan untuk menterjemahkan makna berkasih sayang... menukar sengketa menjadi bahagia... memajukan dunia dengan persefahaman saling berkerjasama tanpa membeza.

Sepeninggalan bulan Ramadan nanti usahakan bersama agar upaya berasa kasih pada kebenaran membela tanpa mencari ruang-ruang menempatkan kepentingan.

 Kita berasa gembira kerana bulan Ramadhan melunaskan hutang-hutang yang tidak tertunai bila mana kelemahan dan kekurangan diri kita ukur seakan-akan sifat mazmumah menjauh pergi tetapi tampak ketara karat yang tebal sukar tertanggal!


Ada catitan di buku lama saya, kisah purbakala yang dikatakan pernah terjadi ketika Ratu Holland dan suami bertamu di istana Ratu England
seekor anjing miliki puteri Ratu England telah melintasi ruang tamu.

Ratu Holland tanpa menghitung tingkah... berlari mendapatkan anjing itu lalu didakap dan diciumnya dengan kasih. 
Ratu England terkejut kehairanan tatkala melihat Ratu Holland memangku sambil menangis anjing itu yang didakapnya umpama bayi. 
Waktu itu adalah era kepercayaan wujudnya perpindahan roh. Ratu Holland percaya putranya yang telah mati, ruhnya telah berpindah kepada anjing itu... lantaran mata anjing itu milik persamaan dengan mata anaknya...


Nilai dari peribadi saya melalui kisah ini adalah remaja tidak perlu berpura-pura dalam mencari erti kebenaran... 

Perlu miliki jati diri yang mengendung identiti budaya dan lingkungan peradaban Islam kerana kita adalah muslim.

Budaya dan adat ini adalah tamadun Islam yang dinukilkan oleh Al-Quran dan dijelaskan oleh Sunnah Rasul sallallah hu alaihiwassalam. 

Bersama-samalah kita tidak merendahkan Islam oleh perlakuan dan tingkah laku diri yang sentiasa diteliti, amati, perhati dengan tertib kaji untuk dihakimi oleh 'petugas' sukarela demi membenarkan pendirian-pendirian yang berprasangka.

Teruslah mendapatkan ilmu-ilmu lantaran teknologi bermaklumat adalah teras yang perlu dirintis untuk merubah perspektif agar ummah berdimensi baru dalam mengisi sifat akhir zaman.

Ukuran kita adalah sudut Islam kerana agama benar ini menyeru persamaan yang bersifat kemanusiaan... melibatkan diri dalam perkongsian pembangunan dan perkembangan tamadun yang mengadun kemajuan ekonomi, perindustrian, pertanian, kesenian, kajian penyelidikan menurut acuan Islam menerusi kebebasan info media yang tidak dihalang menyebar dan meluaskan keadilan. 

Tanpa penyertaan kita, pasti dunia akan terus diselewengkan dari tujuan asal iaitu membina keamanan untuk seluruh alam... membebaskan kemiskinan... meninggikan taraf hidup menerusi pendidikan dan kesihatan yang mensejahterakan akal dan fikiran. 

Kita telah melihat bagaimana kekalutan ekonomi yang tidak dirintis oleh landasan mencari membina meneroka peluang-peluang perniagaan demi menyalurkan perkhidmatan berkebajikan kepada ummah, hingga mewajarkan agenda bermega hingga derita menyakiti minda membungkus jiwa.

Kebajikan di dalam Islam adalah ummah terbina oleh dasar persaudaraan kerana kita mencari keredaan Allah bukan keredaan manusia. 

Semoga kita dipanjangkan usia untuk melalui bulan Ramadan di tahun-tahun mendatang, insyaAllah. 

Merealitikan Mimpi

Rakaman gambar ini diambil dari https://m.flick.com/#/photos/
77095813@N00/5701323034/


Mendakap dingin oleh desiran bayu yang menyelimuti langit hati, mencampah hingga mencamurkan rasa di sukma yang sesekali perit seakan mendugalkan...

'Duga-dugaanmu memecah menyelerakkan hingga menjadi fonem yang perlu dicantum semula. Tumpunya menterjemah fobia yang memperalatkan ujaran untuk membenarkan sangkaan-sangkaan... relakah tuan hamba andai kebenaran mematuhi keinginan oleh runtunan nafsu?"

"Paras hamba tidak akan bertahan lama, apakah salahnya jika sesekali ia dikongsi untuk persapaan mata... atau masih mahu mengujarkan bicara agar tafsirmu tentang ideal yang indah ini atas kurniaan di sia-sia?"

"Berhadapan denganmu menahan gelora di mindaku... mahu didahulukan antara yang logik dengan hak atau kewajipan ditundukkan oleh keinginan... puan hamba jelita... 
raut menguntum ashik tatkala memandang oleh mekar hingga tertawan. 
Sempurna indah buatku oleh cantik lahir juga batin... yang lahir untuk dapat dilihat dari batin yang memberi maklumat. Namun membubuh noda di mataku khusyuk solatku hilang."

"Lantas... jiwaku kotor hingga terlihat oleh matamu?"

"Itulah yang hamba maksudkan, duga-dugaanmu oleh timbang menurut nafsu sedangkan sebenarnya kita ini hamba, niatnya mahu mempelajari agama, menghayati dan mengamalkan apa yang ditemui.
Kelaziman kita sebagai hamba perlulah tatkala berbicara bertingkah fikir di minda, jalinan cetusnya dari yakin tunjang pegangan sahih di jiwa... akur oleh lidah tidak sempurna tanpa iktikad di hati kerana tanpanya kita tidak mampu menyaring antara hak dan batil lantas kita akan sentiasa di dalam kekurangan kelemahan yang mengalpakan."

"Lalu... mahumu menyelubungi jasadku hingga aku bebas merenung dan mengamati?"

"Kebersihan itu mengundang tuannya untuk beriman manakala iman itu akan bersama-sama tuannya di dalam syurga. Namun mahu ku agar malu mu kekal ada didirimu walau hijab itu yang ditukar."

"Jujurkah tuan hamba atau berpura-pura berlakon dusta?"

"Duhai Jelita, rohmu miliki unsur bernilai mulia... benihmu dari kalimah Allah yang menyimpul cinta berkudratkan tenaga... cuma kelaziman asuhan dan persekitaran kebiasaanmu yang menilai bagaimana dirimu ... imbasan sejarah tidak ditemui dusta... cuma mungkin percaturan masa oleh siasah keturunanmu, tatkala disoroti seakaannya mahu diundang gelisah... dirimu dan diriku jua saling memimpin peribadi agar usia yang dipinjamkan ditadbir tanpa keliru.
Pemimpin menjadi mulia apabila ia berupaya menyatukan ummah, ummah itu adalah hati perasaan jiwa akal dan minda kita."

"Berjela-jela memualkan rasa... "

"Fahamilah, kita tidak akan menjadi mulia andai hanya menggempur dengan jaringan-jaringan rasa bermedankan syak curiga sahaja. Kita perlu membina dan membentuk pendirian-pendirian hati agar peribadi kita berjaya mengubah diri. Santapkan rohanimu dengan siraman wahyu agar nafasmu berhela selawat dan zikrullah, hindari dari terasa lelah."

"Maksudmu menilik mundur akan menjulang azam dan menangkaskan sikap berlaku adil yang benar di dalam diri?"

"Khairan ummatin... ukhrijat lin naasi."


"Celikkan matamu Tempua... hari telah meninggi... mengigau berbicara seperti manusia!"

" Hamba bermimpikan Serindit lagi, Jelatik." 

Sabtu, 2 Mei 2015

Teriring Doa Munajat Harapan

Thursday, October 12, 2006

 


Hari semakin meninggi oleh cahaya yang kini menjelmakan bebayang separas sama diri tatkala berdiri.Hanya dedaunan kering yang silih berganti gugur bersama desir angin yang menemani sepi di puncak pohon yang berupa tunggul kaku tanpa dahan dan ranting.

"Usah dinanti dia telah pergi. Berdoalah agar takdir mengembalikannya semula ke sini."

"Begitu sahaja... tanpa lambai dan ucap salam?"

"Tuan hamba satu-satunya teman sebicaranya biar tanpa perkongsian hati... dengan hanya kerana itu telah mengasuh tertib kuntum rasa di jiwanya."

"Tahukah dia hamba ada menyimpan rasa?"

" Ya,hamba yakin dia tahu kerana ujarnya sebelum pergi,"hamba kerap terleka hingga tidak mengukur baju di badan sendiri, gentar hamba pada qalam Ilahi,adakah patut kamu menyuruh manusia berbuat baik tetapi kamu melupakan diri kamu sendiri, sedang kamu membaca Kitab, tidakkah kamu mengerti?"

Hamba tanyakan, apakah tuan hamba berduka?" 

Seperti biasa ujarnya, selagi Allah menjadi saksiku, selagi Raqib dan Atiq mencatit benar dan salahku, hamba tidak akan berpedih hati."

" Hamba akui sesekali kebencian menguasai diri tatkala berhadapan dengannya, namun hanya sekadar di awal ketika tatkala kami belum saling memahami. Semakin hari hamba hayati nyata dia tidak mampu menyembunyi resah sendiri lantaran tidak pasti dengan stuasi yang dilalui." 

Marah hamba, mengapa suka dengan rela diizin bergabung memberi makna yang mudah diteka?" 

Ujarnya,perlukah
membenarkan makna paksa hingga menjadi rela, sedangkan kekurangan diri andai diteliti ia meningkat kualiti peribadi."

Pesannya lagi, "Usah lemah apabila berpisah, berpecah itu umpama retak-retak menanti belah, kekerdilan kita kuatnya pada setia bersatu teguh menyandar utuh pada kalimah Allah... hidupkan bashirah
kerana hidayah tidak putus menziarah, barakah Ramadan sinar menerang kegelapan... " Jangan berseliseh kerana sesungguhnya orang-orang sebelum daripada kamu telah binasa iaitu hancur musnah kerana perselisehan di antara mereka."

" Pemergiannya membuktikan dia lemah, tidak mampu mengendali emosi kerap mengizin pasrah oleh kata-kata caci."

" Tidak! Belum ada sepatah kata pun yang melumpuhkan semangat Serindit kerana yakinnya pada akal yang sihat melahir minda yang kuat.
Hati yang jujur menempat kasih tanpa diukur pada sempadan dan jarak, pada bangsa maju atau mundur kerana ad-deen nilainya satu di sisi Allah cuma menjadi berbilang di tangan kita atas dasar pecah dan perintah. Itulah musykil yang membawa dia pergi meninggalkan kita.
Selain itu dia memperihalkan akan kisah bagaimana Bilal (r.a) sahabat Kekasih Allah SAW tatkala sejenak berehat di satu tempat bernama Badaria... malamnya ia bemimpi Rasulullah SAW yang ketika itu telah wafat... bersabda, "Wahai Bilal, kini mengapa kau melupakan aku? Tidakkah kau teringat untuk menziarahiku?" Bilal terjaga lantas mengunjungi Madinah dan menangis di makam baginda lantaran rindu dan sedih atas kealpaan diri. Waktu itu Hassan dan Hussin menerpa kepada Bilal memohon agar Bilal kembali mengumandangkan azan.
" Duka kerana di bumi barakah... Rasulullah SAW hanya menjadi simbol
sejarah."antara sebab dia perlu pergi.

" Tidak adakah yang lain di fikiran teman kita itu?"

" Burung kerdil itu sukanya melihat ikan kerana perlu dilumur garam di darat untuk menjadi masin... tapak sulaiman pula di laut tidak berubah bentuk membulat nekad Serindit mengharung badai biar kelihatannya pelik dan ganjil, takutnya pada bangsa hamba kerana virus berpenawar vaksin jika rebah kerana 'flu' hatinya tidak menentu, gemarnya melihat kucing yang semakin gentar tatkala bersua tikus kerana manja hingga mudah ditawan... bimbangnya pada ketam yang mengajar anak berjalan betul sedang cacatnya bila berjalan sentiasa bengkok."

Biarlah Serindit pergi lantaran menggalas amanah tanpa janji, setia kerana mengenang jasa dan budi... burung kerdil terbangnya tidak tinggi
kehendaknya sahaja yang masih belum dipenuhi... jujur tidak bermakna dia bebas mendedah aib diri... dia tidak berilmu kerana masih mencari pada banyak maksud yang tidak di ketahui. 

Sepi Yang Menyingkir

Monday, October 09, 2006

 


"Kemana jua perginya si Jelatik, masih gagah bersahut gigih sedang tatkala hentam membentak hengit, di kurungan ini kita saling bersahut kicau... hening tanpa herdik biarpun kita hanyalah haiwan herbivor."

"Herbivor lantang suara tidak membawa ke mana pun Serindit... bilamana hanya butir gandum pucuk dedaunan dan buah-buah kecil menjadi hidrat yang diserat menjadi uraian di saraf halus, kicauan kita hanya bisikan yang tidak kedengaran."

"Hiba merayu rintih meracau jiwa ibarat racun yang memusnahkan perkasa,Tempua. Tidakkah terhidu olehmu bagaimana kicau kita walau di tepi jendela, di sudut genting juga rembia... ia menawan ashik hingga Tekukur ,Tiung dan saudara yang lain dijejaki oleh Pemikat Burung untuk disangkar dan dikurung demi kerana merdu suara... bebas dibatas
biar sangkar indah terhias ia tetap kongkongan yang membatas luas."


"Terfikir juga hamba, kita yang kerdil ini sering bertempat di hati Sang Pemikat. Mengapakah Helang dan Cenderawasih yang menawan tidak disangkar agar sentiasa berdekat dengan Sang Pemikat sedangkan mereka ini jinak mudah dirapat?"


"Perbandinganmu tidak menyinarkan positif Tempua. Inilah yang akan menguburkan kita kerana dorong semangat tanpa imbangan antara rasa dan keinginan ia mencela sikap bersahaja lantaran hanya cekap mendengar lantas pantas menterjemah hingga kerap berkhilaf."

"Lama dimenung hamba semakin bingung melihat ukur tanda yang menjurus menang sahajakah atau menilik lemah untuk melahir hemah yang menjulang hikmah."

"Kelihatannya kita kehilangan syumul yang memenuhi ruang intelek kerana bangsa kita masih berbilang dinasti dengan ciri kebanggaan sendiri... kita tidak lagi ada mukim urus menadbir dengan pembinaan masyarakat tanpa cemar. Selaku makhluk ciptaan Allah kita masih rapuh untuk digugat terheret dalam berbagai karenah... urus dagang kita sahaja tampak cemerlang..."

"Untuk itu mari kita jadi cerdas dengan mencari madu dari kuntuman bunga pula... sihat kita melingkar nafas yang nyaman sejahtera suasana bernatijahkan bahagia."

"Madu... yang manisnya terbina dari runtuhan sebuah satu rasa...
Mana tahu jika ia pembuka bahagia?"

"Madu mempunyai alasan ia tidak menjadi pahit. Mungkinkah kerana hudud tidak mampu diintelekkan oleh peradaban  moden muslimin.
Namun akan tersingkirkah gelap buat seorang buta jika celiknya di malam dan siang tetap serupa? 

Santun Budi Kerana Rasa

Friday, October 06, 2006


Riak-riak kocak alunan ombak merela perlakuan angin mencerna pusar air yang hijau kebiruan bersatu berpecahan menghempas ke pantai. 

Ciak-ciak sekawan kelicap menjadikan bingar seketika angkasa yang hanya bertemankan deruan ombak yang berburuan di pantai.

"Tidak adakah pertanyaan lain untuk tuan hamba luahkan pada hamba?"

"Sekian lama itu yang ingin hamba tanya... tidakkah tuan hamba milik sesiapa?"

"Saudaraku bilangannya tidak terkira... satu waktu hamba punyai ibu dan bapa juga saudara-saudara... hinggalah turun dugaan... saat itu kami terlontar menjadi hina oleh kelaparan... kami derita oleh kemiskinan.
Hamba masih tidak dapat melupa... saat akhir hayat ibunda memohon pinta,"Serindit, pergilah ketuk pintu jiran kita... mintalah sebutir dua terigu emping atau ulas-ulas roti kering baki bersisa... lihat saudara-saudaramu yang
sudah tidak mampu membuka kelopak mata... tiadakah hibamu menyentuh jiwa?"

"Waktu itu bukan hamba sengaja engkar pada permintaan bonda...
Cuma hamba berahsia, sudah berkali-kali hamba kehilangan suara... melaung merintih hingga luka paruh dan berdarah kuku kaki... mengetuk pintu-pintu agar terbuka... hamba kelilingi segenab inci luas mukim kejiranan pintu yang ada... bukan sehari dua atau sepurnama malah bertahun hampir berabad lama... jiran-jiran hamba tidak punya jendela pintu itu tidak juga mahu terbuka... hingga satu demi satu saudara hamba terkorban nyawa..."


"Sudah Serindit tiada mahu lagi ku dengar tentang keluargamu...

Tuan hamba bukan si lemah oleh sebuah rasa... kerana rasa sukma tuan hamba menggagahkan jiwa...imbas semula pesan Kekasih kita Sallallah hu alaihiwassalam, menuntut ilmu itu wajib bagi setiap muslim... berdagang punca rezeki ...mari kita cari itik nila, angsa, kasawari jika tersua cenderawasih diajak bersama... berguru untuk menyantun bahasa bukan beradu oleh sengketa hasil minda beragenda."

"Benar Tempua, Rasulullah Sallallah hu alaihiwassalam ada bersabda yang menerusi pertanyaan di satu ketika:

"Mengapakah sesetengah kaum tidak berusaha memahamkan dengan mengajar, tidak memberi nasihat tanpa menyuruh berbuat kebaikan melarang berbuat yang jahat kepada jirannya. Dan mengapa sesetengah dari mereka tidak mempelajari dari jirannya untuk memaham dan menambah ilmu dan tiada menerima nasihat? Demi Allah hendaklah sesuatu kaum itu mengajar jirannya, memahamkan, menasihati, menyuruh sambil melarang terhadap sesetengah perbuatan.
Hendaklah ada suatu kaum itu mempelajari dari jirannya memahamkannya, menerima nasihatnya atau disegerakan balasan terhadap mereka." 

Punah Yang Pedih

Thursday, October 05, 2006

Semalaman mata ini pudar penglihatan oleh kepedihan asakan desir angin yang menerjah paksa. "

Angin dari arah kutub yang berbeza bukan lagi pandangan luar biasa bila peka rasa indera tidak perlu dipaksa mengakui apa yang dirasa... lazimnya umpama sesudah ranum buah-buahan, maka pasti ada sisa teriang di ranting dahan, luruh sebelum berbunga semula.

"Tidak ada sehelai daun pun yang gugur yang tidak diketahui olehNya. Tidak ada sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak pula sesuatuyang basah atau yang kering tidak tertulis di dalam Loh Mahfuz.

Waktu ini terigu atau dikenali juga sebagai jerlai atau gandum  sudah masak ranum hanya menanti dituai... angan-angan imbauan masa silam... mengusik kenangan yang kerap menggugah rasa.


"Masih gemar menyendiri hingga hamba lelah menanti! Apalah makna teleku tuan hamba jika sirat tidak mampu menyurat dilemma."

"Sudah panjang tela telaahku... telahan yang hanya singkap telagah...
Tekstur seni pada hasil tenunan dapat ditekuni, malang tekstur seni hati elak di amati... ia sering kecundang bila di adili... akhirnya sia-sia itu yang pasti."

"Telanjur memungkin kembali ke destinasi, mahu tuan hamba menyanggahi?"

"Tempua, tidak kita berkias pada nama kerana ia bukan memberi beza tetapi yang mesti kita lihat adalah niatnya... nukilan pusat keinginan hasratnya! Syariat kita dukung bukan sekadar hanya untuk sesuatu prestasi bermisal jana paksi ekonomi sedang kita diriba oleh mainan yang teliti... hamba sangsi pada imbuh dan janji kerana sumber bukan yang pasti...qalam Ilahi dipinggir sepi... sedang ia menjalin bentuk fikir dan hati... mantap yakin diri kerana sifat insani bukan segi detik helah memagari agenda buat selari paksi merintangi..."

" Bangsa kita hanya jenis beburungan... kerdil berbilang rupa... terbang tidak mahu berkawan-kawan... memagut tidak mahu sehidangan... gurau bukan sepermainan... 
sehati sejiwanya tatkala mengadap ke Baitullah... sesudah itu bertempiaran 'bernafsi-nafsi' hingga tersadung akar dan duri."

" Manusiakah, burungkah, kucingkah,. seroja atau kembojakah (kemboja adalah sejenis tanaman bunga yang lazimnya ditanam di pusara oleh bangsa melayu muslim di Malaysia) ... kita ini makhluk ciptaan siapa? 

Menyelongkar diri usahakan kaji jikalah kita ini berlainan Pencipta... 
Maju gemakan bukti dalaman kita adalah roh... cuma akal sahaja tidak menjadi semata-mata senjata. Bangsa manusia gemar pada kata sengketa tatkala ada yang tidak kena di jiwa... sangka-sangka dengan duga dari rasa percaya... inginnya memecah cerakinkan upaya... utamakan diri kerana kurang periksa... sudah sepikah pada mata perlunya bina, cuba, bertarung untuk pengukuhan kematangan kaji, bila wujud kekeliruan susun semula secara tertib menurut adab hingga maksud tercapai.
Sikap kita ya Tempua, sikap kita tatkala bertemu kontra... ganjilnya bila haru sendu Hittin dikambus bersama putaran masa... Islam dasarnya merangkumi akidah yang benar... hukumnya yang mensejahterakan dan mengistimewakan kita... kerana adil dan saksamanya bersama benar. Hittin itu sejarahnya tidak lagi dibaca."


"
Ketuklah pintu hatimu demi penerus generasi warisan yang semakin keliru oleh permainan, mundur oleh perpecahan di setiap penjuru alam.

Mulia kita bersama Islam tanpanya siapakah kita di sisi Tuhan Rabbul A'lamin, Allah pemilik seluruh alam.